| Pasukan pelayaran UPSI meraikan kejayaan bersejarah selepas muncul juara keseluruhan UNISAIL 2026 di Pulau Duyong, Terengganu | FOTO: UPSI |
KEJAYAAN dalam arena sukan bukan sahaja diukur menerusi pingat atau trofi, tetapi juga keberanian mencabar had kemampuan sendiri.
Itulah yang dibuktikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila mencipta sejarah dengan muncul juara keseluruhan buat pertama kali dalam Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 yang berlangsung di Pulau Duyong, Terengganu.
Pencapaian bersejarah itu menyaksikan pasukan pelayaran UPSI menewaskan beberapa pasukan universiti berpengalaman dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi berkenaan sebagai antara pencabar baharu yang semakin menyerlah dalam sukan pelayaran universiti di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata, kejayaan tersebut dicapai hasil gabungan disiplin, strategi serta semangat berpasukan yang dipamerkan atlet sepanjang kejohanan.
UPSI menamatkan saingan dengan kutipan 26 mata untuk muncul juara keseluruhan, mengatasi pasukan tuan rumah Malaysia University Sailing Team dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mengumpul 24 mata, manakala Team NUS dari National University of Singapore (NUS) berada di tempat ketiga dengan 22 mata.
Menurutnya, kemenangan sulung itu adalah pencapaian yang amat membanggakan kerana membuktikan atlet UPSI mampu bersaing setanding dengan pasukan antarabangsa yang lebih berpengalaman.
“Kejayaan julung kali ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi bukti jelas bahawa atlet UPSI mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan antarabangsa yang jauh lebih berpengalaman.
“Disiplin yang tinggi, percaturan strategi yang berkesan serta semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pasukan UPSI wajar dijadikan teladan.
"Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah membuktikan bahawa ‘Impossible Is Nothing’ apabila kita berusaha dengan gigih,” ujarnya.
Momentum Cemerlang
Perjalanan UPSI menuju kejuaraan turut dipacu prestasi yang konsisten sejak peringkat kelayakan. Pasukan itu menjuarai Kumpulan B dengan kutipan 14 mata selepas mengumpul empat mata dalam perlumbaan pertama dan kedua, serta tiga mata bagi perlumbaan ketiga dan keempat.
Momentum tersebut diteruskan ke pentas akhir apabila UPSI menampilkan aksi yang lebih meyakinkan dengan memperoleh enam mata dalam perlumbaan pertama, lapan mata pada perlumbaan kedua, diikuti enam mata bagi perlumbaan ketiga dan keempat sehingga mengesahkan kejuaraan keseluruhan.
Jelas Dr. Md Amin, kejayaan itu turut mencerminkan usaha berterusan universiti dalam membangunkan bakat sukan selain kecemerlangan akademik.
“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya melahirkan atlet yang kompetitif di pentas antarabangsa melalui pembangunan bakat dan latihan yang berterusan,” katanya.
Kejohanan antarabangsa anjuran UMT itu menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan serta luar negara termasuk Singapura dan Taiwan, sekali gus menjadikan kemenangan UPSI sebagai satu pencapaian yang cukup bermakna dalam landskap sukan pelayaran universiti. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments