Kaws Perkenal Karakter Baharu Companion Menerusi Koleksi UT Kaws Universe


ADA cerita yang tidak memerlukan banyak kata untuk menghubungkan manusia. Kadangkala, cukup dengan simbol yang dekat dengan kehidupan dan karakter yang mudah dikenali untuk membawa mesej tentang kebersamaan.

Idea itulah yang menjadi asas kepada Kaws Universe, koleksi UT terbaharu hasil kolaborasi Kaws bersama UNIQLO yang mengangkat tema ‘We are better together’.

Koleksi ini mempertemukan Companion, karakter ikonik yang sinonim dengan karya Kaws, bersama beberapa karakter baharu yang diperkenalkan buat pertama kali.

Kehadiran mereka bukan sekadar menambah wajah baharu dalam dunia visual tersebut, sebaliknya membawa gambaran tentang harapan, kehangatan dan hubungan yang dikongsi manusia tanpa mengira sempadan.

Karakter baharu berkenaan mendapat inspirasi daripada simbol universal seperti Bumi, Bulan dan Matahari, sesuatu yang dekat dengan kehidupan manusia di seluruh dunia. Melalui elemen tersebut, koleksi ini membayangkan sebuah dunia di mana manusia daripada latar budaya dan generasi berbeza boleh saling mengenali serta menghargai antara satu sama lain.

Dunia Kaws Lebih Dekat

Konsep ini diterjemahkan menerusi rekaan yang menampilkan Companion dan karakter baharu dalam gaya grafik yang lebih santai, bersama perincian halus serta sulaman menggunakan motif ‘XX’ yang sinonim dengan identiti visual Kaws.


Pilihan rekaan tersebut hadir pada T-shirt dan sweatshirt untuk dewasa serta kanak-kanak, menjadikan koleksi ini sesuatu yang boleh dikongsi merentasi usia.

Tidak terhad kepada pakaian, kolaborasi kali ini turut memperkenalkan plush charms buat pertama kali, hadir dalam tiga rekaan yang membawa karakter daripada Kaws Universe ke dalam bentuk lebih kecil dan mudah dibawa ke mana sahaja.

Bagi Kaws, pengenalan karakter baharu ini menjadi sebahagian daripada usaha untuk meraikan perkara yang dikongsi manusia, tanpa mengira latar belakang.

“Saya teruja untuk melancarkan koleksi terbaharu ini bersama UNIQLO, yang menampilkan karakter baharu diinspirasikan oleh simbol universal seperti Bumi, Bulan dan Matahari iaitu perkara yang kita semua berada di bawahnya dan kongsikan bersama sebagai meraikan apa yang menyatukan kita,” katanya.

Kaws Universe akan mula tersedia di butik UNIQLO di Malaysia serta platform dalam talian UNIQLO pada 14 September 2026.

Daripada Companion hingga karakter baharu yang diinspirasikan oleh simbol universal, Kaws Universe membawa cerita tentang kebersamaan. Pada akhirnya, perbezaan tidak semestinya menjadi jarak antara manusia.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments