Iman Troye Teruskan Eksplorasi Pop Etnik Menerusi 'Jung Jung Inai' Bersama Asslahierah

Iman Troye dan Asslahierah teruja dengan sambutan Jung Jung Inai | FOTO: Azzudin Ahmad Zin

WARISAN muzik tradisional Melayu tidak pernah benar-benar jauh daripada masyarakat. Dari satu generasi ke satu generasi, melodi dan mesej yang dibawanya terus menemukan cara untuk disampaikan semula mengikut perubahan zaman.

Dalam landskap muzik hari ini, unsur tradisi turut hadir dalam bentuk yang lebih santai dan kontemporari, sekali gus membuka peluang untuk khazanah muzik tempatan terus dikenali oleh pendengar daripada pelbagai latar dan generasi.

Pendekatan itu turut dapat dilihat menerusi single Jung Jung Inai, karya yang menemukan Iman Troye dan Asslahierah dalam sebuah lagu berteraskan elemen tradisional Melayu.

Di sebalik rentak ceria dan melodi yang mudah didekati, karya ciptaan Amirul Azhar dan Amir Firdaus yang menampilkan lirik tulisan bersama Iman Alyssa ini turut membawa mesej tentang adab, budi bahasa serta pengalaman hidup.

Jung Jung Inai mengajak pendengar supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan, menjaga adab dan budi bahasa serta mengambil iktibar daripada pengalaman yang dilalui.

Gandingan Iman Troye dan Asslahierah ternyata memberikan warna tersendiri kepada karya berkenaan, khususnya menerusi penyampaian yang lebih moden tanpa mengetepikan identiti tradisional yang menjadi asas lagu.

Mengulas tentang karya ini, Iman menyifatkannya sebagai peluang terbaik untuknya terus mengangkat irama tradisi agar tidak ditelan zaman.

“Ini adalah lagu pop etnik kedua saya, selepas Nang. Sebenarnya saya dalam perancangan untuk tampil dengan album pop etnik, tetapi disebabkan kekangan masa dan beberapa perkara lain yang perlu diselesaikan, ia ditangguhkan ke tahun depan.

"Jadi sementara itu, kenapa tidak saya tampilkan single Jung Jung Inai ini dulu untuk peminat,” ujarnya.

Sementara itu, Asslahierah pula meluahkan rasa terharu apabila ditawarkan peluang untuk berkolaborasi dengan Iman Troye yang turut merupakan salah seorang penyanyi idolanya.

“Saya sangat terkejut ketika ditawarkan untuk berkolaborasi dengan Iman kerana saya bukanlah penyanyi profesional dan percaya ramai lagi yang lebih bagus daripada saya.

“Waktu kali pertama saya dengar lagu Jung Jung Inai ni, saya tahu lagu ni sangat best. Jadi saya berkali-kali tanya betul ke nak bagi saya duet lagu ni dengan Iman. Namun bila mereka kata lagu ini memang sesuai dengan saya, tawaran itu saya terima dengan rasa terharu dan gembira.

"Saya bersyukur tak terkata dan sangat berterima kasih pada XO House sebab bagi peluang dan nampak bakat saya yang orang lain tak nampak,” katanya yang juga merupakan seorang pempengaruh popular.


(Dari kiri) Asslahierah, Iman Troye dan Adib Hamid ketika majlis pelancaran muzik video JUng Jung Inai | FOTO: Azzudin Ahmad Zin

Muzik video Jung Jung Inai juga rasmi dilancarkan menerusi sebuah acara istimewa yang turut menghimpunkan peminat dan wakil media di XO House baru-baru ini.

Menariknya, sebelum video muzik tersebut dilancarkan, lagu berkenaan terlebih dahulu mencatat lebih 1.5 juta streams, sekali gus memperlihatkan sambutan yang diterima daripada pendengar dan pengguna media sosial.

Diamond Artist

Acara istimewa itu pada masa sama menjadi ruang buat XO House meraikan enam tahun perjalanan Iman Troye bersama label berkenaan.

Penyanyi berusia 24 tahun itu turut diiktiraf sebagai Diamond Artist selepas menjana RM2.5 juta hasil pendapatan pada 2025, sekali gus menjadi antara pencapaian penting dalam perjalanan kerjayanya bersama XO House.

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, Adib Hamdi, berkata, Iman mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam perjalanan label itu memandangkan penyanyi tersebut merupakan artis pertama yang ditandatangani ketika XO House memulakan perjalanan.

“Melihat sejauh mana dia telah berkembang sepanjang enam tahun ini, daripada permulaan kerjayanya bersama kami sehingga mencapai RM2.5 juta hasil pendapatan pada tahun 2025, merupakan sesuatu yang sangat membanggakan bagi saya,” katanya.

Tambahnya, pengiktirafan sebagai Diamond Artist itu mencerminkan usaha, konsistensi dan dedikasi yang diberikan Iman sepanjang perjalanan kerjayanya, selain membawa makna tersendiri kepada XO House sebagai label yang menyaksikan perkembangannya sejak awal.

Bagi Iman, apa yang diraih itu bukan hanya tentang dirinya, sebaliknya peranan dan sokongan padu orang-orang di sekeliling yang ingin melihat dia Berjaya. 

"Saya tak akan dapat capai atau ada kat sini tanpa XO House dan keluarga yang banyak membantu serta memberikan sokongan. Jika mereka tiada, mungkin saya juga tiada di sini hari ini. 

"Alhamdulillah saya ada tulang belakang yang sangat kuat, sentiasa bagi saya semangat dan tak pernah putus asa untuk meneruskan perjalanan walau apapun yang jadi. Susah senang hanya kami yang tahu," luahnya.

Kini, perjalanan Iman diteruskan menerusi Jung Jung Inai,  sebuah karya yang membawa elemen tradisional ke dalam susunan muzik yang lebih semasa. Single ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi XO House. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments