SELEPAS melalui pelbagai fasa dalam perjalanan seninya, Karol G kembali dengan sebuah karya yang lebih introspektif menerusi album studio ketujuh, No Me Arrepiento De Sentir Tanto.
Bersama pelancaran album yang menampilkan 14 buah lagu itu, video muzik rasmi Still yang dirakam secara langsung di Stadium SoFi turut diperkenalkan kepada peminat.
Artis rakaman global yang pernah memenangi Anugerah Grammy serta lapan Anugerah Latin Grammy itu meneroka pelbagai emosi menerusi 14 lagu yang terkandung dalam album tersebut. Cinta, patah hati, kemarahan, nostalgia, harapan dan proses penyembuhan antara perasaan yang diketengahkan.
Namun, emosi tersebut tidak hadir sebagai fasa yang tersusun dalam satu kisah. Sebaliknya, album ini melihat perasaan sebagai pengalaman yang dekat dengan kehidupan manusia, tanpa perlu dilabel sebagai sesuatu yang perlu disembunyikan atau dielakkan.
No Me Arrepiento De Sentir Tanto mengajak pendengar menerima setiap emosi tanpa rasa kesal atau perlu memohon maaf kerana merasainya. Ia bukan tentang melupakan apa yang telah berlaku dan terus melangkah, tetapi memberi ruang kepada diri sendiri merasai setiap perasaan sepenuhnya sebelum belajar menerimanya.
Idea tersebut turut berakar daripada perjalanan hidup Karol G sendiri, selain pelbagai kisah yang dikongsikan peminatnya sepanjang tahun. Daripada pengalaman yang berbeza-beza, album ini menemukan satu persamaan, emosi yang dirasakan manusia sering menjadi penghubung paling dekat antara satu sama lain.
Sebuah Perjalanan Emosi Menerusi Muzik
Dihasilkan sebagai sebuah karya yang dinikmati dari awal hingga akhir, setiap lagu dalam album ini mewakili bab yang berbeza dalam perjalanan emosi tersebut. Susunannya dirancang bagi membawa pendengar menyelami keseluruhan naratif album, bukannya sekadar menikmati lagu secara berasingan.
Lebih daripada koleksi lagu, penyanyi bersuai 35 tahun itu menggunakan muzik sebagai ruang untuk pendengar mengenali sebahagian daripada diri dan pengalaman mereka sendiri. Pada masa sama, karya ini membawa satu peringatan bahawa apa sahaja perasaan yang sedang dilalui bukan sesuatu yang perlu dihadapi sendirian.
Dari sudut muzik pula, album ini memperlihatkan evolusi yang lebih berani dalam perjalanan seni penyanyi ini. Eksplorasi tersebut memperluaskan lagi dunia muziknya menerusi gabungan pop alternatif, pengaruh Latin, produksi atmosfera dan instrumentasi organik yang menghasilkan pengalaman pendengaran yang imersif, intim tetapi tetap luas.
| Karol G dan Bruno Mars |
Album ini turut menampilkan beberapa kolaborasi bersama nama-nama besar seperti Bruno Mars, Drake, Greg Gonzalez, Judeline dan Rusowsky, yang menambah variasi pada bunyi muzik dalam No Me Arrepiento De Sentir Tanto.
Antara karya yang mencuri perhatian ialah Still, kolaborasi bersama Bruno Mars yang turut menjadi rakaman pertama Karol G dinyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
Kini tersedia di semua platform penstriman digital, No Me Arrepiento De Sentir Tanto hadir sebagai sebuah karya yang mengajak pendengar bukan sekadar mendengar muzik, tetapi turut memberi ruang kepada setiap emosi untuk dirasai, diterima dan difahami. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments