MEDIA sosial kini bukan lagi sekadar platform untuk berkongsi kandungan, malah menjadi ruang penting kepada pencipta kandungan membina kerjaya dan menjana pendapatan. Menyedari perubahan itu, Shopee dan Meta memperkenalkan Instagram Affiliate Partnerships, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada kreator di Asia Tenggara, Taiwan dan Brazil untuk menjadikan cadangan produk sebagai sumber pendapatan.
Melalui kerjasama ini, kreator yang layak boleh memautkan akaun Shopee Affiliate ke akaun profesional Instagram sebelum memilih produk untuk dipromosikan menerusi Reels dan Feed.
Setiap pembelian yang dibuat menerusi cadangan tersebut membolehkan mereka memperoleh komisen, sekali gus mewujudkan pengalaman yang lebih lancar daripada penemuan produk di Instagram kepada pembelian di Shopee.
Pelancaran ini menyusuli kejayaan Facebook Affiliate Partnerships yang diperkenalkan pada 2025. Sehingga Mac 2026, lebih lima juta kreator di seluruh dunia telah memautkan akaun Facebook mereka dengan Shopee Affiliate, manakala hampir separuh daripada jumlah itu merupakan peserta baharu program berkenaan.
Pencapaian tersebut mencerminkan peningkatan minat terhadap kandungan berasaskan cadangan produk yang dihasilkan oleh kreator.
Menurut Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Lim Wei, tabiat pengguna yang semakin gemar mencari inspirasi membeli-belah melalui media sosial menjadikan kandungan kreator sebagai antara medium paling berkesan untuk menghubungkan jenama dengan pembeli.
Jelasnya, kejayaan kerjasama bersama Meta di Facebook membuktikan cadangan daripada kreator yang dipercayai mampu meningkatkan penemuan produk, justeru peluasan ke Instagram dijangka memberi lebih banyak manfaat kepada kreator, penjual dan pengguna.
Memperluas ekosistem perdagangan kandungan
Instagram Affiliate Partnerships turut memudahkan kreator memaparkan beberapa produk dalam satu kandungan menerusi ikon beli-belah dan label commission eligible.
Ciri ini membantu penonton mengenal pasti produk yang dipaparkan serta memudahkan proses pembelian tanpa perlu meninggalkan pengalaman melayari kandungan.
Bagi kreator Malaysia, Ubai Hani, ciri baharu itu menjadikan proses berkongsi produk lebih mudah dan semula jadi.
Menurutnya, keupayaan memaparkan produk Shopee secara terus dalam Reels bukan sahaja memudahkan pengikut mendapatkan barangan yang disyorkan, malah membuka ruang untuk beliau terus berkembang sebagai pencipta kandungan sambil membina kerjasama yang lebih bermakna bersama jenama.
Selain memberi manfaat kepada kreator, kerjasama ini turut membuka peluang lebih luas kepada penjual dan jenama di Shopee untuk menjangkau audiens yang lebih cenderung membuat pembelian melalui kandungan media sosial.
Dengan menggabungkan pengaruh kreator, rangkaian produk Shopee serta pengalaman membeli-belah yang lancar, jenama berpeluang meningkatkan penemuan produk dan kadar penukaran pembelian dengan lebih berkesan.
Dalam masa sama, Shopee dan Meta turut menguji penyelesaian Affiliate Ads di beberapa pasaran terpilih di Asia Tenggara. Melalui ciri ini, kandungan afiliat yang mendapat persetujuan kreator boleh dipromosikan sebagai iklan berbayar, sekali gus membantu penjual memperluaskan capaian kandungan yang telah mendapat sambutan dan meningkatkan pulangan pelaburan.
Pengarah Urusan Meta Singapore, Nicole Tan berkata, peluasan kerjasama bersama Shopee membuka lebih banyak peluang kepada kreator untuk menjana pendapatan daripada kandungan yang dihasilkan, di samping membantu perniagaan daripada pelbagai saiz menjangkau pelanggan baharu.
Katanya, sambutan positif terhadap Facebook Affiliate Partnerships sebelum ini membuktikan terdapat permintaan yang kukuh terhadap penyelesaian yang menghubungkan kandungan kreatif dengan pengalaman membeli-belah.
Instagram Affiliate Partnerships bersama Shopee kini tersedia kepada kreator yang layak di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina, Taiwan dan Brazil.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments