Aubrey Suwito & NSO Temukan Karya Pop Dengan Dunia Simfoni


ADA karya muzik yang sekadar singgah di telinga, namun ada juga yang terus melekat dalam ingatan dan menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik sesebuah generasi.

Nama Aubrey Suwito antara yang cukup dekat dengan cerita itu, terutama menerusi karya-karya yang bukan sahaja popular, malah turut membentuk warna muzik pop tanah air.

Melihat kepada sumbangan dan perjalanan panjangnya dalam industri muzik, Istana Budaya meneruskan usaha menghargai tokoh seni tanah air menerusi National Symphony Orchestra (NSO) with Aubrey Suwito 'Pop Meets Symphony' yang bakal berlangsung pada 2 dan 3 Oktober 2026 di Panggung Sari, Istana Budaya.

Program ini memberi ruang untuk karya serta kepakaran Aubrey Suwito diraikan dalam susunan orkestra, sekali gus mengangkat keagungan seni dan kepakaran seorang komposer yang telah mencorak landskap muzik pop Malaysia sepanjang kerjayanya.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Md Nordin, pemilihan Aubrey sebagai tokoh muzik yang diketengahkan amat bertepatan dengan pencapaian serta sumbangannya dalam melakar sejarah industri muzik tempatan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Pemilihan Aubrey Suwito sebagai tokoh muzik yang diketengahkan ini amatlah bertepatan dengan pelbagai pencapaian serta sumbangannya dalam melakar sejarah industri muzik tempatan hinggalah ke tahap antarabangsa,” ujarnya.

Konduktor NSO, Eric Lee, turut melihat persembahan kali ini sebagai satu bentuk penghargaan kepada figura yang telah lama memberikan sumbangan kepada perkembangan muzik tanah air.

“Jika sebelum ini NSO mengangkat serta mendukung pelapis bakat-bakat pemuzik tempatan menerusi Lambang Sari Series, kali ini kita ingin menghargai jasa tokoh komposisi muzik tanah air yang telah banyak menyumbang bakti kepada negara iaitu Aubrey Suwito,” katanya.

Sosok Di Sebalik Karya

Perjalanan Aubrey dalam muzik sememangnya hadir dengan deretan pencapaian yang cukup panjang. Sepanjang kerjayanya, pemegang Master of Creative Arts (MOCA) serta graduan Berklee College of Music dengan anugerah Summa Cum Laude ini telah menerima sebanyak 26 Anugerah Industri Muzik (AIM), merangkumi kategori Album Terbaik Tahunan, Susunan Muzik Terbaik, Penerbit Album Pop Terbaik, Pencipta Lagu Etnik dan Bahasa Inggeris Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik (Jurutera Bunyi) serta Album Rakaman Terbaik (Jurutera Bunyi).

Sebagai komposer dan pengubah muzik, Aubrey turut mencatat pelbagai pencapaian tertinggi dalam beberapa majlis anugerah.

Pengaruh dan pengalaman muziknya juga membawanya bekerjasama serta terlibat dalam persembahan bersama nama-nama besar antarabangsa seperti David Foster, Brian McKnight, Peter Cetera, CeeLo Green, John 'Jr' Robinson, Chaka Khan, Eric Benet, Babyface, Kris Dayanti dan Yuna.

Di sebalik karya-karya yang menjadi siulan pelbagai artis tanah air, Aubrey juga terus mengembangkan perjalanan seninya menerusi penghasilan enam buah album muzik sendiri, selain terlibat dalam pelbagai siri persembahan serta produksi sebagai Penerbit, Pengarah Muzik dan Penggubah Muzik Filem.


Kini, karya-karya tersebut akan diberi nafas baharu menerusi NSO with Aubrey Suwito 'Pop Meets Symphony'. Sebanyak 16 buah lagu ciptaannya bakal dipersembahkan menerusi tiga segmen iaitu Inspirasi, Ekspresi dan Apresiasi.

Antara lagu yang bakal didendangkan termasuk Gemilang, Seribu Impian, Memori Tercipta, Gemuruh, Awan Yang Terpilu dan Menuju Puncak, selain karya-karya lain yang pernah mewarnai perjalanan muzik tanah air.

Menambah tarikan pada persembahan ini, tiga penyanyi terkenal tanah air iaitu Ernie Zakri, Syamel dan Shiha Zikir bakal membawakan karya-karya Aubrey dalam sebuah persembahan yang menggabungkan kekuatan vokal dengan susunan muzik orkestra.

Lebih istimewa, Aubrey turut mengambil kesempatan memperkenalkan sebuah lagu baharu ciptaannya untuk Shiha Zikir yang bakal diperdengarkan buat pertama kali secara eksklusif di Istana Budaya.

National Symphony Orchestra with Aubrey Suwito 'Pop Meets Symphony' akan berlangsung selama dua malam pada 2 dan 3 Oktober 2026, jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya. Tiket boleh didapati menerusi laman web CloudJoi dengan harga antara RM78 hingga RM259.

Lebih daripada sekadar sebuah persembahan muzik, pentas ini menjadi ruang untuk karya dan perjalanan seorang komposer tempatan diraikan melalui perspektif orkestra.

Dalam masa yang sama, ia mengingatkan bahawa karya yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan pendengar masih mampu menemukan bentuk baharu untuk terus hidup, didengar dan dihargai. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments