| Belon udara panas di Cappadocia |
BAYANGKAN membuka mata pada awal pagi dengan langit dipenuhi belon udara panas, sebelum meneroka lembah berbatu, kota bawah tanah dan mengakhiri hari dengan sajian tradisional Turki.
Itulah antara pengalaman yang menjadikan Cappadocia, Türkiye, begitu istimewa buat pelancong yang mencari percutian dengan gabungan alam semula jadi, sejarah, budaya dan gastronomi.
Tidak hairanlah destinasi yang sering digelar ‘Bumi Kisah Dongeng’ ini semakin mendapat perhatian pelancong Malaysia. Gabungan landskap luar biasa, pengalaman unik serta warisan budaya menjadikan Cappadocia antara destinasi yang menarik untuk mereka yang mahukan percutian dengan pengalaman berbeza.
Antara pengalaman yang paling sinonim dengan Cappadocia ialah menaiki belon udara panas ketika matahari terbit. Belon berwarna-warni yang terapung di atas lembah dan formasi ‘cerobong pari-pari’ mencipta pemandangan ikonik, terutama apabila cahaya pagi mula menyinari landskap berbatu di bawahnya.
Pengalaman ini bukan sekadar menawarkan pemandangan dari udara, tetapi menjadi antara cara paling menarik untuk melihat bentuk muka bumi Cappadocia yang terbentang luas. Dari atas, lembah dan formasi batuan kelihatan semakin jelas, dengan deretan belon memenuhi ruang langit ketika pagi.
Selain dari udara, keindahan Cappadocia juga boleh diterokai dari dekat. Aktiviti gunung berapi dan hakisan selama berjuta-juta tahun membentuk lembah serta formasi batuan unik yang menjadi identiti wilayah ini.
Bentuknya yang luar biasa turut menghasilkan formasi ‘cerobong pari-pari’ yang kini menjadi antara simbol paling dikenali di Cappadocia.
Paşabağ, Devrent Valley, Love Valley dan Red Valley antara kawasan yang boleh diterokai. Setiap lembah menawarkan pemandangan dan karakter tersendiri, manakala aktiviti seperti mendaki dan menunggang kuda memberikan peluang untuk menikmati landskap tersebut dengan lebih dekat.
Dari hotel gua hingga warisan beribu tahun
Pengalaman di Cappadocia turut melangkaui aktiviti meneroka alam. Hotel gua yang dibina dengan memanfaatkan formasi batuan dan rumah lama menawarkan penginapan unik yang menggabungkan ciri sejarah dengan keselesaan moden.
Pengunjung boleh memilih suite yang menghadap lembah, menikmati pemandangan belon dari teres pada waktu pagi atau berehat selepas seharian meneroka kawasan sekitar. Sesetengah penginapan turut menawarkan kemudahan seperti spa, manakala secawan kopi Turki boleh menjadi teman untuk menikmati suasana Cappadocia dengan lebih santai.
Di sebalik landskapnya yang memukau, Cappadocia juga menyimpan warisan sejarah yang panjang. Muzium Terbuka Göreme, yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1985, memperlihatkan peninggalan komuniti Kristian awal menerusi gereja yang dipahat pada batu serta lukisan dinding yang masih dapat dilihat hingga hari ini.
Kota bawah tanah seperti Derinkuyu dan Kaymaklı pula membawa pengunjung menyelami sisi lain sejarah Cappadocia. Terowong, ruang kediaman dan pelbagai struktur yang dibina jauh di bawah permukaan tanah menunjukkan bagaimana masyarakat terdahulu menyesuaikan kehidupan mereka dengan persekitaran semula jadi di wilayah ini.
Tidak lengkap perjalanan ke sini tanpa mencuba masakan tempatan. Antara hidangan yang terkenal ialah testi kebab, iaitu daging dan sayuran yang dimasak perlahan dalam periuk tanah liat sebelum periuk tersebut dibuka ketika dihidangkan.
Nevşehir mantısı dan kayısı yahnisi turut mencerminkan tradisi kulinari tempatan, sementara sajian pencuci mulut tradisional melengkapkan pengalaman menikmati makanan di sini. Reputasi gastronominya turut mendapat perhatian antarabangsa apabila 18 restoran di Cappadocia tersenarai dalam Panduan Michelin pada 2025.
Daripada belon udara panas dan landskap luar biasa kepada hotel gua, warisan sejarah serta cita rasa tempatan, Cappadocia menawarkan pengalaman yang melangkaui percutian biasa.
Setiap sudutnya membawa cerita tersendiri, menjadikan perjalanan ke ‘Bumi Kisah Dongeng’ Türkiye sesuatu yang sukar dilupakan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments