HoYo FEST 2026 bakal kembali memeriahkan Asia Tenggara pada penghujung Julai ini dengan pelbagai aktiviti yang menghimpunkan komuniti peminat permainan video di bawah jenama HoYoverse.
Acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan itu turut mengumumkan barisan aktiviti, maklumat tiket serta pelbagai tarikan baharu menerusi pelancaran laman web rasminya.
Berlangsung dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026 (31 Julai hingga 2 Ogos di Singapura), HoYo FEST akan diadakan serentak di Bangkok, Ho Chi Minh City, Jakarta, Kuala Lumpur, Manila dan Singapura.
Sepanjang empat hari penganjuran, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman interaktif, persembahan pentas serta pelbagai aktiviti komuniti yang menampilkan dunia permainan popular seperti Genshin Impact, Honkai Impact 3, Honkai: Star Rail, Tears of Themis dan Zenless Zone Zero.
Pengunjung turut berpeluang melihat pratonton awal permainan terbaharu, Honkai: Nexus Anima, yang bakal diperkenalkan kepada peminat.
Bagi mereka yang hadir, pengalaman akan bermula di Check-in Zone, di mana pelbagai aktiviti merangkumi kesemua enam judul permainan menanti, termasuk hadiah eksklusif yang disediakan khas sepanjang acara.
Suasana kemudian diteruskan di Game Booths, yang menawarkan permainan mini berinspirasikan Genshin Impact, Honkai: Star Rail dan Zenless Zone Zero, sekali gus membolehkan peminat merasai sendiri detik-detik ikonik daripada permainan kegemaran mereka dalam suasana dunia sebenar.
Pengalaman Eksklusif
Salah satu tarikan utama tahun ini ialah Experience Zone, yang membolehkan pengunjung menjadi antara yang terawal mencuba Honkai: Nexus Anima sebelum pelancaran rasminya.
Selain itu, ruang tersebut turut menyediakan pengalaman interaktif bagi Genshin Impact, Honkai: Star Rail dan Zenless Zone Zero, membolehkan peminat lebih mendalami dunia permainan yang mereka ikuti.
Bagi pengumpul barangan rasmi, Merchandise Store sekali lagi menjadi destinasi wajib dengan pelbagai koleksi eksklusif HoYo FEST termasuk standee edisi khas, bantal, Character Giftboxes serta pelbagai cenderamata lain yang menjadi buruan peminat setiap tahun.
Pada masa sama, Artist Alley kembali dengan skala yang lebih besar, menyediakan ruang kepada artis dan pencipta kandungan untuk mempamerkan, menjual serta berkongsi hasil karya yang diinspirasikan daripada dunia HoYoverse.
Kemeriahan acara turut diteruskan di HoYo FEST Stage menerusi pelbagai persembahan komuniti termasuk Open Stage, Cosplay Runway Walk serta pelbagai persembahan yang meraikan kreativiti dan minat peminat dari seluruh rantau Asia Tenggara.
Jualan tiket HoYo FEST 2026 akan dibuka bermula 16 Julai dengan beberapa pilihan pas mengikut keperluan pengunjung. Antara yang ditawarkan ialah 1-Day Pass, 1-Day Fast Pass yang hadir bersama akses keutamaan serta koleksi eksklusif, selain 4-Day Pass bagi kebanyakan lokasi penganjuran.
Bagi peminat di Singapura pula, pas yang ditawarkan ialah 3-Day Pass berikutan tempoh acara yang berlangsung selama tiga hari.
Maklumat lengkap mengenai acara serta pembelian tiket kini boleh didapati menerusi laman web rasmi HoYo FEST 2026.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments