Sarawak Jadi Pentas Pengembaraan Penuh Adrenalin Dalam 'AXN Ultimate Challenge'


SARAWAK bukan sekadar terkenal dengan keindahan alam semula jadi, malah menyimpan pelbagai pengalaman unik yang sukar ditemui di destinasi lain.

Keistimewaan itulah yang menjadi nadi kepada siri realiti pengembaraan terbaharu, AXN Ultimate Challenge: Sarawak, yang menggabungkan cabaran ekstrem, penerokaan budaya dan kisah masyarakat tempatan dalam sebuah pertandingan yang penuh aksi.

Diterbitkan hasil kerjasama KC Global Media Asia, AXN Asia dan Lembaga Pelancongan Sarawak (Sarawak Tourism Board), siri original ini bukan sahaja menawarkan hiburan, malah membawa penonton menyelami sisi lain Sarawak menerusi pengalaman yang lebih dekat dan autentik.

Terdiri daripada empat episod berdurasi 15 minit, siri ini mengikuti dua pasukan pencipta kandungan yang bersaing dalam pelbagai cabaran fizikal dan mental yang diinspirasikan daripada landskap semula jadi serta warisan budaya negeri itu.

Sepanjang pertandingan, mereka bukan sahaja menguji ketahanan diri dan semangat berpasukan, malah berpeluang menyelami kehidupan komuniti tempatan, mengenali tradisi masyarakat serta meneroka lokasi-lokasi tersembunyi yang jarang dipaparkan kepada umum.

Elemen seperti ekopelancongan, semangat komuniti, budaya dan tradisi menjadi tunjang utama setiap episod, sekali gus memberikan gambaran lebih menyeluruh tentang keunikan Sarawak sebagai salah satu destinasi pelancongan paling menarik di Asia Tenggara.

Dekat Dengan Budaya Tempatan

Siri terbitan KCGM Studios ini menampilkan Mark O'Dea sebagai pengacara, manakala pasangan pencipta kandungan Khenji Saito bersama Adam Samuel serta Estelle Fly bersama Saffron Sharpe dipilih sebagai peserta.

Turut memeriahkan siri ini ialah beberapa personaliti tempatan seperti Chef Achang Libat, Louis Samai, Luke Kenny Doo, pakar seni sumpit Cikgu Nyoging serta Alfa yang membawa perspektif lebih dekat terhadap budaya dan kehidupan masyarakat Sarawak.


Antara cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta dalam AXN Ultimate Challenge: Sarawak

Selain menyelesaikan cabaran yang disediakan, para peserta turut menghasilkan kandungan digital mereka sendiri, sekali gus memberi peluang kepada penonton melihat pengalaman tersebut daripada sudut pandang yang lebih peribadi dan spontan.

Antara cabaran yang bakal dipaparkan termasuk pengalaman mencari ulat sagu, makanan tradisional yang menjadi sumber protein penting bagi sesetengah komuniti di Sarawak, selain pelbagai tugasan lain yang disertakan dengan ganjaran dan penalti bagi menguji kebijaksanaan serta daya tahan peserta.

Kehadiran wira-wira tempatan dalam setiap episod turut memperkukuhkan keaslian siri ini apabila mereka berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kisah di sebalik budaya yang dipaparkan, menjadikan setiap cabaran lebih bermakna.

Pengasas Bersama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KC Global Media, George Chien berkata, kerjasama itu lahir daripada hasrat untuk menghasilkan kandungan hiburan yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu memperkenalkan budaya, masyarakat serta semangat pengembaraan Sarawak kepada penonton antarabangsa.

Harapannya, siri tersebut dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai penonton untuk merasai sendiri keunikan Sarawak, di samping membuka ruang kepada lebih banyak destinasi untuk diterokai menerusi francais AXN Ultimate Challenge pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Dr. Sharzede Datu Haji Salleh Askor menyifatkan Sarawak sebagai destinasi yang menawarkan gabungan pengembaraan, budaya dan keindahan alam semula jadi yang sukar ditandingi, sekali gus menjadikan setiap kunjungan ke negeri itu satu pengalaman yang cukup istimewa.

Jelasnya, siri tersebut membuka peluang kepada penonton untuk mengenali kepelbagaian Sarawak menerusi pelbagai cabaran, pengalaman budaya dan kisah komuniti tempatan yang membentuk identiti sebenar Bumi Kenyalang.

AXN Ultimate Challenge: Sarawak mula ditayangkan di saluran YouTube AXN Asia pada 31 Julai sebelum diperluaskan ke YouTube AXN Taiwan pada 4 Ogos. Bermula tarikh sama, siri ini turut disiarkan di AXN East Asia, AXN Singapore dan AXN China pada setiap Selasa, jam 9.30 malam selama empat minggu berturut-turut.

Lebih daripada sebuah pertandingan realiti, AXN Ultimate Challenge: Sarawak membawa penonton menyaksikan bagaimana cabaran, budaya dan alam semula jadi bergabung dalam satu pengembaraan yang menghiburkan.

Pada masa sama, ia membuka ruang untuk dunia mengenali Sarawak daripada perspektif yang lebih segar, autentik dan penuh warna. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments