Kemunculan semula ini bukan sekadar menandakan langkah baharu buat penyanyi yang sudah lebih lima dekad mewarnai industri muzik, malah hadir menerusi sebuah lagu yang begitu dekat dengan dirinya.
Bagi Khadijah, karya ciptaan sepenuhnya oleh Baizura Tazri dan terbitan Jasmine Raj Production itu mempunyai nilai sentimental yang membuatkan dia sendiri tersentuh ketika pertama kali mendengarnya.
"Kali pertama dengar lagu ini buat Ibu menangis. Sejak itu, Ibu tahu, Ibu mesti rakam lagu ini. Lirik dan melodinya sangat menyentuh hati. Kalau kita bukan seorang ibu pun, kita juga akan dapat merasai kesedihan dalam lagu ini," ujarnya.
Ibu Doa mengangkat kisah kasih seorang ibu yang tidak pernah mengenal batas, pengorbanan yang tidak ternilai serta doa yang sentiasa mengiringi setiap langkah kehidupan anak-anak.
Buat Khadijah yang mesra disapa sebagai 'Ibu' oleh peminat dan rakan industri, lagu tersebut cukup istimewa kerana bukan sahaja dekat dengan pengalaman hidup, malah ditujukan khas buat semua wanita bergelar ibu serta anak-anak agar tidak pernah mengambil ringan pengorbanan insan yang melahirkan mereka.
"Setiap daripada kita lahir dari kasih seorang ibu. Walau sejauh mana kita melangkah, doa ibu sentiasa menjadi pelindung dan kekuatan.
Kembali Ke Studio Dengan Cabaran Berbeza
Walaupun dirancang untuk dilancarkan lebih awal, perjalanan Ibu Doa turut berdepan sedikit kelewatan selepas Khadijah mengalami demam denggi yang serius sehingga menjejaskan keadaan vokalnya.
Berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single berkenaan di Hotel Pan Pacific pada Selasa, Khadijah berkata keadaan kesihatannya menyebabkan dia tidak dapat memberikan kualiti vokal terbaik ketika rakaman.
"Selepas kena dengggi Ibu tak boleh nyanyi dengan baik dan senang dapat batuk dan selsema. Ibu rasa belum pulih 100 peratus dan masalah vertigo pun masih ada.
"Namun disebabkan perancangan untuk rakam lagu ini sudah lama, kita teruskan juga. Cuma untuk pastikan hasil yang lebih baik, saya akan rakaman semula untuk polish demi memberikan yang terbaik buat peminat," katanya turut mementingkan penghayatan dalam setiap penyampaian lagu yang dinyanyikan.
Kembalinya ke studio selepas sekian lama tentunya membawa makna tersendiri buat perjalanan seninya. Memulakan kerjaya pada era 1970-an, Khadijah mencipta nama sebagai antara penyanyi wanita berpengaruh di Malaysia dan terus bertahan dalam industri menerusi karya-karya yang menjadi sebahagian daripada khazanah muzik tempatan.
Sepanjang lebih lima dekad berkarya, penyanyi yang kini menginjak usia 67 tahun itu telah menghasilkan 18 album yang menghimpunkan sekitar 180 buah lagu, selain menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Platinum dan pelbagai anugerah berprestij lain.
Dalam perkembangan lain, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu seperti Ku Pendam Sebuah Duka dan Doa Buat Kekasih ini dalam perancangan untuk merakamkan empat buah lagu baharu bersama legenda rock tanah air, Datuk Ramli Sarip, selain menyimpan impian untuk kembali mengadakan konsert solo berskala mega.
"Insya-ALLAH tahun ini Ibu fokus rakaman lagu baharu dulu dan konsert solo pada tahun tahun depan. Bagi Ibu bukan mudah nak buat konsert dan Ibu perlukan tempoh setahun untuk buat persiapan.
"Kalau Ibu boleh bawa balik vibe konsert era 1978-1979 di Stadium Merdeka dulu, itu yang akan dibawa balik. Ibu tak nak buat konsert hanya kerana mahu mengadakan konsert semata-mata, tapi Ibu mahu ia menjadi sebuah konsert yang benar-benar istimewa," jelasnya.
Lebih lima dekad dalam dunia muzik tidak pernah memadam kecintaan penyanyi legenda ini terhadap seni dan karya. Baginya, apa yang penting bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang baharu, tetapi memastikan setiap karya hadir dengan penghayatan dan nilai yang mampu dirasakan oleh pendengar. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- Ismail Izzani Kembali ‘One On One’, Bawa Pendengar Mengenali Sisi Baharu Dirinya
- Hijjaz Lancar Album ‘Akhir Bersamamu’, Raikan Perjalanan Konsert Rindu Sumayyah
- 'Pegang Tangan' Satukan Altimet dan Adam Nuqris Dalam Kolaborasi Sarat Emosi
0 Comments