L. Shankar Cipta Magis Bersama Barisan Virtuoso Muzik Malaysia Di Istana Budaya

L. Shankar menyifatkan kolaborasi bersama virtuoso muzik Malaysia sebagai sebuah pengalaman yang cukup bermakna.

APABIL pengalaman muzik bertaraf dunia bertemu dengan keunikan seni tempatan, lahirlah sebuah persembahan yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi mencipta detik istimewa dalam landskap muzik Malaysia.

Detik itu bakal direalisasikan menerusi Beyond Words – International Mastery Meets Malaysian Artistry, sebuah konsert eksklusif yang menemukan legenda muzik antarabangsa, L. Shankar, bersama barisan virtuoso muzik Malaysia dalam sebuah kolaborasi yang meraikan kreativiti, kesaksamaan seni dan pertukaran budaya.

Bakal berlangsung di Lambang Sari, Istana Budaya pada 22 Ogos 2026, konsert anjuran E2Rventures dengan sokongan Solara Group of Companies ini turut mencatat sejarah sebagai konsert antarabangsa pertama dipentaskan di venue ikonik itu selepas ia dibuka semula.

Lebih bermakna, persembahan ini turut membawa misi kemasyarakatan apabila sebahagian hasil kutipan akan disalurkan kepada SWARA Community Arts Centre bagi menyokong usaha memperkasa pendidikan muzik, memelihara warisan budaya serta membimbing bakat muda negara.

Menerajui persembahan ini ialah legenda muzik antarabangsa dan pemenang Anugerah Grammy, L. Shankar, yang dikenali menerusi kepakarannya sebagai pemain Double Violin, vokalis, komposer serta pencipta alat muzik ikonik Double Violin 10 tali.

Apa yang menjadikan Beyond Words lebih istimewa adalah pendekatannya yang melangkaui konsep persembahan konvensional. Setiap pemuzik tampil sebagai rakan seni yang setara, mencipta sebuah karya bersama menerusi perkongsian idea, kreativiti dan kecintaan terhadap muzik.

Melengkapkan barisan kolaborasi istimewa ini ialah Samuel J. Dass, yang dikenali sebagai 'Sultan of Sitar Malaysia', bersama barisan pemuzik unggul negara termasuk Prakash Kandasamy (tabla), Shawalnaz Hussin (komposer, penyusun muzik dan pemain keyboard), Muhardiman Ismail (seruling), Hadi Maswardi (bass), Paavendran Langkadran (perkusi dan pengaturcaraan muzik), serta pemain gitar Eliezer Enan dan Marco Alonso.

Gabungan ini bakal menghasilkan pengalaman muzik yang mengadunkan elemen Klasik India, Jazz, Rock, Pop dan sentuhan muzik tradisional Malaysia dalam sebuah karya yang lahir daripada semangat kolaborasi tanpa batas genre.

Menurut L. Shankar, kekuatan sesebuah kolaborasi muzik terletak pada keterbukaan setiap artis untuk berkongsi idea dan memahami perspektif kreatif antara satu sama lain. Baginya, muzik bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah perbualan yang terhasil daripada pertukaran emosi, pengalaman dan inspirasi.

“Sepanjang kerjaya, saya telah bekerjasama dengan ramai artis hebat dan ikon industri daripada pelbagai genre. Perkara paling penting adalah sentiasa membuka minda supaya idea dapat mengalir dua hala, seperti sebuah perbualan muzik.

"Bergantung kepada artis yang bekerjasama dengan kita, jika anda dapat memahami muzik mereka dan mereka juga memahami muzik anda, segalanya tidak mempunyai batasan," ujarnya.

Mengulas mengenai pengalaman bekerjasama bersama pemuzik Malaysia, L. Shankar menyifatkan peluang tersebut sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna.

“Berada di Malaysia untuk menghasilkan projek seperti Beyond Words bersama Samuel J. Dass yang luar biasa, serta menampilkan beberapa pemuzik hebat Malaysia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan besar buat saya.

"Perjalanan ini juga sangat istimewa, dan kami akan membawa anda ke sebuah pengalaman muzik yang berbeza di Istana Budaya yang ikonik,” kata legenda itu lagi.

Mengangkat Bakat Tempatan

Semangat itu turut dikongsi Samuel J. Dass yang menyifatkan Beyond Words sebagai bukti bahawa muzik terbaik lahir apabila setiap artis diberi ruang menyumbang idea dan identiti masing-masing.

Menurutnya, persembahan itu bukan sekadar mengiringi artis antarabangsa, tetapi memperlihatkan kemampuan pemuzik Malaysia berdiri sebaris dengan legenda dunia menerusi pertukaran idea yang berlangsung sepanjang proses latihan.

Samuel J. Dass, pemuzik sitar tersohor Malaysia (kanan), bersama virtuoso tabla Prakash Kandasamy

Bagi Istana Budaya pula, penganjuran konsert ini melambangkan komitmen baharu institusi seni berkenaan dalam memperkukuhkan pertukaran budaya dan mempersembahkan produksi bertaraf antarabangsa.

Nasran Nawi daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), Istana Budaya menyifatkan persembahan ini selari dengan visi pentas ikonik itu untuk mengangkat bakat tempatan ke peringkat global, sambil meraikan perpaduan budaya dan kecemerlangan seni, lebih-lebih lagi ketika negara menyambut Bulan Kebangsaan.

Dalam masa sama, Penerbit Eksekutif E2Rventures, James Isidore, percaya gabungan L. Shankar bersama pemuzik terbaik Malaysia membuktikan muzik mampu menjadi jambatan yang menyatukan budaya tanpa mengira latar belakang.

Baginya, produksi ini bukan sahaja meraikan bakat tempatan di peringkat antarabangsa, malah meninggalkan impak yang lebih besar terhadap ekosistem seni persembahan negara.

Melangkaui sebuah malam persembahan, Beyond Words – International Mastery Meets Malaysian Artistry hadir sebagai sebuah pertemuan seni yang meraikan pertukaran idea, kreativiti dan kecintaan terhadap muzik.

Lebih daripada sekadar hiburan, kolaborasi ini membuka ruang kepada generasi baharu untuk melihat bagaimana muzik mampu merentasi budaya dan menyatukan manusia tanpa batasan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 

Post a Comment

0 Comments