KUALA Lumpur bakal kembali menjadi persinggahan Rizky Febian apabila penyanyi dan komposer popular Indonesia itu dijadualkan menemui peminat menerusi sebuah persembahan khas pada November ini.
Selepas beberapa kali hadir menghiburkan peminat tempatan, kepulangannya kali ini membawa konsep yang lebih dekat dengan sisi muzik dan emosi yang selama ini menjadi identiti karyanya.
Menerusi Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur, Rizky bakal membawa himpunan lagu yang cukup sinonim dengan perjalanan seninya ke pentas Zepp KL pada 29 November 2026.
Daripada kisah cinta dan kerinduan hingga pengalaman tentang hubungan dan kehidupan, karya-karyanya selama ini mempunyai cara tersendiri untuk mendekati pendengar.
Dibawakan oleh Kumho International dan dianjurkan oleh AM Entertainment dengan kerjasama RSI Solusi Indonesia, persembahan ini bakal menjadi satu lagi pertemuan Rizky bersama peminat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan muziknya.
Menerusi Malam Rawan, Diorama, penonton akan dibawa menyelami sisi muzik Rizky melalui karya-karya popular yang telah menemani perjalanan seninya.
Karakter vokal tersendiri serta lagu-lagu yang sarat dengan emosi dijangka menjadikan malam tersebut lebih daripada sekadar persembahan muzik, sebaliknya satu pengalaman untuk peminat menikmati karya Rizky secara langsung.
Bagi Rizky, peluang untuk kembali ke Kuala Lumpur turut membawa makna tersendiri, apatah lagi hubungan dengan peminat Malaysia sudah terbina menerusi beberapa kunjungan sebelum ini.
“Saya sangat senang dapat kembali bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan muzik saya dan saya tahu ramai yang sudah menantikan untuk bernyanyi bersama-sama.
“Kali ini, saya ingin memberikan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga meninggalkan kenangan yang istimewa buat semua yang hadir,” ujarnya.
Kepulangan Rizky ke Kuala Lumpur juga mengimbas kembali perjalanan muziknya yang bermula dengan karya-karya yang dekat dengan kehidupan dan perasaan.
Sejak mencipta nama menerusi Kesempurnaan Cinta, dia terus menghasilkan lagu yang memperlihatkan sisi romantik dan peribadinya sebagai seorang penyanyi serta pencipta lagu.
Antara karya yang turut menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut termasuk Penantian Berharga, Cuek, Makna Cinta, Terlukis Indah dan Hingga Tua Bersama.
Lagu-lagu berkenaan bukan sahaja memperkenalkan karakter muzik Rizky, malah membantu mengukuhkan kedudukannya dalam arena muzik pop Indonesia dan mendapat tempat dalam kalangan pendengar serantau.
Pertemuan Yang Dinantikan
Bagi peminat di Malaysia, kemunculan Rizky di Kuala Lumpur bukanlah sesuatu yang baharu. Beberapa kali tampil di negara ini sebelum ini, kehadirannya sentiasa mendapat perhatian daripada mereka yang mengikuti karya serta perjalanan muziknya sejak awal.
Namun, Malam Rawan, Diorama memberi peluang berbeza untuk peminat menikmati karya Rizky dalam sebuah persembahan yang dibentuk khusus untuk membawa mereka lebih dekat dengan muzik dan sisi emosinya.
Lagu-lagu yang selama ini didengarkan menerusi platform penstriman bakal dipersembahkan secara langsung, sekali gus membuka ruang untuk penonton turut menyanyi bersama dan menghayati setiap momen sepanjang konsert.
Lebih daripada sekadar himpunan lagu popular, persembahan ini turut menjadi ruang buat Rizky berkongsi emosi, cerita dan pengalaman melalui karya yang mempunyai kaitan rapat dengan perjalanan hidup serta kerjaya seninya. Elemen tersebut dijangka menjadi antara tarikan utama apabila dia kembali bertemu peminat Malaysia nanti.
Buat mereka yang sudah lama menantikan kemunculannya, Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 29 November 2026 di Zepp KL. Tiket mula dijual pada 18 September menerusi lama rasmi Ticket2U, dengan harga RM228, RM238 dan RM248 mengikut kategori.
Dengan pentas dan set persembahan yang bakal dipersiapkan khas, Malam Rawan, Diorama memberi ruang buat Rizky Febian membawa muziknya ke hadapan penonton dalam suasana yang berbeza daripada kebiasaan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments