ABARO Takraw Lengkapi Langkah Skuad Sepak Takraw Selangor Menuju SUKMA 2026

Wakil ABARO bersama barisan kepimpinan PSS serta skuad sepak takraw lelaki dan wanita Selangor SUKMA 2026 ketika pelancaran ABARO Langkah Juara, sebuah inisiatif untuk memperkasakan pembangunan atlet sepak takraw generasi baharu

DALAM dunia sepak takraw, setiap libasan bukan sekadar gerakan pantas di atas gelanggang, tetapi hasil daripada latihan, disiplin dan keyakinan yang dibina melalui ribuan langkah.

Menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, usaha memperkukuh perjalanan atlet muda terus mendapat perhatian apabila jenama kasut tempatan ABARO tampil menyokong pembangunan sukan tersebut menerusi pengenalan ABARO Takraw.

Direka khusus untuk memenuhi keperluan pemain sepak takraw, kasut jenama ini hadir dengan gabungan keselesaan, fleksibiliti dan cengkaman yang membantu atlet bergerak lebih yakin ketika beraksi.

Inisiatif itu turut menjadi sebahagian daripada kempen ABARO Langkah Juara, sebuah usaha yang mencerminkan komitmen jenama tempatan tersebut dalam menyokong perkembangan sukan sepak takraw di Malaysia.

Sebagai tanda sokongan terhadap persiapan skuad sepak takraw lelaki dan wanita Selangor menghadapi SUKMA 2026, ABARO menyumbang RM10,000 serta 56 pasang kasut ABARO Takraw kepada Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS).

Majlis tersebut turut menyaksikan pengenalan rasmi barisan pemain yang bakal membawa cabaran Selangor dalam temasya sukan berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi ABARO, Kevin Soh Kian Wee, kerjasama bersama PSS tercetus daripada keyakinan terhadap potensi besar sukan sepak takraw serta kepentingan pembangunan atlet dari peringkat akar umbi.

Katanya, sebagai jenama tempatan, pihaknya mahu memainkan peranan dalam menyokong komuniti yang menjadi asas kepada perkembangan sukan tersebut, selain memberi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda untuk mengenali dan menceburi sepak takraw.

Presiden PSS, Datuk Haji Ahmad Zaffry Sulaiman pula menyifatkan sokongan daripada rakan strategik seperti ABARO bukan sekadar sebuah tajaan, tetapi satu pelaburan terhadap pembangunan atlet dan masa depan sukan sepak takraw negara.

Direka Untuk Aksi Pantas Di Gelanggang

Turut menyertai kempen ini sebagai ABARO Takraw Pro ialah pemenang pingat emas Sukan SEA dan pemain sepak takraw kebangsaan, Farhan Adam, yang melihat pemilihan kasut sebagai aspek penting dalam memastikan prestasi pemain kekal optimum.

Menurut Farhan, sukan sepak takraw memerlukan pergerakan pantas, lompatan serta libasan yang konsisten, menjadikan kasut yang sesuai sebagai elemen penting ketika latihan mahupun pertandingan.

“Dalam sukan sepak takraw, kami sentiasa bergerak, melompat dan membuat libasan yang pantas. Sebab itu pemilihan kasut yang sesuai sangat penting.

"Bagi saya, ABARO Takraw memberikan cengkaman yang baik di gelanggang dan membuatkan kaki terasa stabil tanpa rasa terlalu ketat.

"Ruang di bahagian hadapan kasut juga luas, jadi saya boleh memakainya dengan selesa sepanjang sesi latihan mahupun ketika perlawanan,” katanya.

Farhan Adam beraksi bersama skuad sepak takraw lelaki Selangor sempena pelancaran ABARO Langkah Juara

ABARO menyerahkan replika cek bernilai RM10,000 kepada PSS sebagai sokongan terhadap persiapan skuad sepak takraw Selangor menjelang SUKMA 2026

ABARO Takraw direka dengan tapak luar getah anti-gelincir bagi memberikan cengkaman lebih baik di gelanggang, selain tapak dalam getah yang membantu menyerap hentakan untuk keselesaan pemain.

Rekaan tapak luar yang fleksibel turut menyokong pergerakan lebih lincah, manakala bahagian pelindung getah pada hujung kasut memberi perlindungan tambahan ketika melakukan libasan berulang kali.

Selain aspek prestasi, kasut ini turut menampilkan rekaan praktikal menerusi gelung pada bahagian belakang bagi memudahkan pemakaian, dengan pilihan warna hitam dan putih yang menyerlahkan gaya klasik serta versatil.

Bersempena SUKMA 2026, jenama kasut tempatan itu turut mengajak peminat sepak takraw menyertai kempen digital #RajaLibasChallenge yang berlangsung dari 3 hingga 31 Ogos 2026.

Diterajui oleh Farhan Adam, cabaran ini membuka peluang kepada peserta untuk mempamerkan aksi libas terbaik menerusi Instagram atau TikTok dengan menggunakan tanda pagar #RajaLibasChallenge serta menandakan akaun rasmi @abaroshoes.

Lima peserta dengan aksi libas paling mengagumkan berpeluang membawa pulang hadiah eksklusif daripada ABARO, termasuk produk istimewa serta barangan edisi khas bersama Farhan Adam. Sementara itu, 10 pemenang saguhati turut menerima hadiah penghargaan daripada penganjur.

Melalui gabungan sokongan terhadap atlet dan inovasi produk, inisiatif ini diharap dapat terus mengangkat sukan sepak takraw serta memberi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda untuk mencipta kejayaan di gelanggang. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments