Hijjaz Lancar Album ‘Akhir Bersamamu’, Raikan Perjalanan Muzik Menerusi Konsert Rindu Sumayyah


BAGI peminat irama nasyid tanah air, nama Hijjaz pastinya membawa memori tersendiri. Sejak kemunculan mereka dalam industri muzik, kumpulan ini telah mewarnai perjalanan nasyid Malaysia menerusi karya-karya yang dekat dengan jiwa pendengar, menggabungkan mesej ketuhanan, lirik penuh penghayatan serta keharmonian vokal yang menjadi identiti tersendiri.

Selepas sekian lama mewarnai industri, Hijjaz kini kembali mengubat kerinduan peminat menerusi album studio terbaharu berjudul Akhir Bersamamu yang mengekalkan identiti muzik mereka, di samping menampilkan sentuhan susunan lebih segar mengikut perkembangan semasa.

Album tersebut menghimpunkan enam lagu baharu yang masih mengekalkan kekuatan utama Hijjaz iaitu keharmonian vokal, namun diberi nafas baharu menerusi pendekatan muzik yang lebih moden.

Menariknya, kesemua lagu dalam album ini mendapat sentuhan kreatif daripada anggota Hijjaz sendiri iaitu Isman Hijjaz, Munif Hijjaz, Faizal Hijjaz dan Ariffin Rahim yang bertindak sebagai komposer.

Bagi memastikan setiap karya membawa mesej yang dekat dengan pendengar, Hijjaz turut bekerjasama dengan barisan penulis lirik berpengalaman yang terkenal dengan karya-karya puitis dan penuh makna.

Antara nama yang terlibat termasuk Datuk Habsah Hassan, Lukhman S, Ahmad Fedtri Yahya, Atie, Isman Isam dan Abai Os, yang masing-masing memberikan warna tersendiri dalam menyampaikan tema dakwah, kemanusiaan serta kecintaan menerusi lagu-lagu album tersebut.

Nuansa Muzik Baharu

Album Akhir Bersamamu menampilkan enam buah lagu iaitu Salam Maulidur Rasul, Mati Itu Pasti, Inang Cinta Memuji, Akhir Bersama-MU, Seiring Seganding dan Rufaidah Al-Aslamiyah.

Diterbitkan menerusi Inteam Records Sdn. Bhd., album ini menjadi sebahagian daripada perjalanan seni Hijjaz yang terus berkembang, sambil memperlihatkan kematangan mereka dalam berkarya.

Lebih daripada sekadar himpunan lagu baharu, Akhir Bersamamu membawa kesinambungan perjuangan muzik Hijjaz dalam menyampaikan mesej ketuhanan, nilai kemanusiaan serta kisah sirah yang diharapkan mampu menyentuh hati pendengar.

Album tersebut kini boleh didengari menerusi pelbagai platform penstriman digital utama sejak 10 Julai lalu.


Dalam perkembangan lain, Hijjaz turut bakal mengadakan konsert istimewa Rindu Sumayyah sempena meraikan 30 tahun perjalanan mereka dalam industri nasyid.

Konsert yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober 2026 itu dijangka menjadi pentas istimewa buat peminat mengimbau kembali karya-karya popular kumpulan ini.

Menurut wakil penganjur daripada Inteam Records, Muhammad Hazamin Harun, penganjuran konsert tersebut hadir seiring perkembangan positif industri nasyid yang kembali mendapat perhatian serta sambutan hangat daripada peminat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambahnya, konsert berkenaan bakal menampilkan sekitar 30 lagu yang merangkumi karya popular, lagu-lagu nostalgia serta beberapa karya baharu yang kini sedang dimuktamadkan.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan penuh nostalgia ini, jualan tiket akan dibuka kepada umum bermula 24 Julai ini.

Pastinya, konsert Rindu Sumayyah bakal menjadi satu lagi detik istimewa buat Hijjaz dan peminat yang mengikuti perjalanan muzik mereka.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments