Ismail Izzani Kembali Dengan ‘One On One’, Bawa Pendengar Mengenali Sisi Baharu Dirinya


SELEPAS melalui pelbagai fasa dalam perjalanan muziknya, Ismail Izzani kini hadir dengan sisi yang lebih matang menerusi single terbaharunya, One On One.

Bukan sekadar sebuah lagu tentang perasaan, karya ini menjadi gambaran kepada perkembangan seorang artis yang terus mencari identiti dan arah baharu dalam berkarya.

Dikenali menerusi lagu-lagu yang dekat dengan pendengar sejak awal kemunculannya, Ismail kini mengambil langkah seterusnya dengan memperkenalkan karya yang membawa warna berbeza.

One On One dipilih sebagai lagu pembuka kepada album penuh yang bakal dilancarkan tahun ini, sekali gus menjadi permulaan kepada perjalanan muzik baharunya.

Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu hasil ciptaan oleh ALYPH ini mengetengahkan tema cinta yang sederhana tetapi mempunyai makna tersendiri. Ia mengangkat momen apabila seseorang hanya mahu meluangkan masa bersama insan tersayang, tanpa gangguan dunia luar.

Bagi Ismail, konsep lagu tersebut dekat dengan pengalaman emosi manusia apabila berada bersama seseorang yang begitu bermakna dalam hidup.

“Lagu ini sangat straightforward. Ia tentang seseorang yang kita benar-benar sayang dan bagaimana kita hanya mahu meluangkan masa bersamanya, walaupun hanya untuk seketika. Bila bersama orang itu, rasa macam dunia berhenti sekejap dan hanya tinggal kita berdua,” kongsinya.

Identiti Muzik Yang Lebih Matang

One On One turut memperlihatkan gandingan semula antara Ismail dan ALYPH selepas beberapa karya terdahulu yang pernah dihasilkan bersama.

Namun, bagi Ismail, proses menghasilkan lagu kali ini hadir dengan pengalaman yang lebih istimewa kerana mereka mempunyai ruang lebih luas untuk membangunkan idea secara semula jadi.


Menurutnya, hubungan rapat yang terjalin bersama ALYPH bukan sahaja tertumpu kepada muzik, tetapi turut melibatkan perkongsian pengalaman dan cerita kehidupan yang membantu membentuk arah lagu tersebut.

“Setiap kali masuk studio dengan ALYPH, kami bukan hanya berbual tentang muzik. Kami banyak berkongsi cerita tentang kehidupan dan perkara-perkara peribadi.

"Hubungan yang rapat itu menjadikan proses menghasilkan lagu lebih mudah dan jujur. One On One lahir daripada sesi brainstorming kami bersama, dan saya rasa itu yang menjadikan lagu ini lebih dekat dengan diri saya,” katanya.

Walaupun ada pendengar yang melihat One On One membawa kembali aura lagu-lagu awal Ismail seperti Bidadari, penyanyi berusia 26 tahun itu menjelaskan bahawa karya terbaharunya bukan usaha untuk mengulangi formula lama.

Sebaliknya, lagu ini menjadi ruang untuk memperkenalkan sisi muziknya yang lebih berkembang selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang kerjaya.

“Saya tak mahu orang membandingkan lagu ini dengan karya-karya saya sebelum ini. Setiap lagu mempunyai cerita dan tempatnya yang tersendiri.

"Bagi saya, One On One adalah permulaan kepada fasa baharu. Ia memberi gambaran tentang vibe dan arah muzik yang saya ingin bawakan menerusi album akan datang,” tegasnya.

Selain menjadi single terbaharu, One On One turut mempunyai nilai istimewa buat Ismail apabila dipilih sebagai lagu pertama yang bakal dimuatkan dalam album penuhnya.

Berbeza daripada beberapa karya terdahulu, lagu ini menjadi titik permulaan kepada sebuah projek yang telah lama dirancang bersama pasukannya.

Dengan perubahan perspektif serta kematangan dalam menghasilkan muzik, Ismail berharap pendengar dapat mengikuti perjalanan baharu yang ingin diketengahkan menerusi album tersebut.

“Saya harap semua orang boleh rasa vibe lagu ini dan menikmatinya. Saya juga harap mereka terus bersabar kerana saya dan seluruh pasukan sedang bekerja keras untuk menyiapkan album ini. Insya-ALLAH, banyak perkara menarik sedang menanti,” tegasnya.

One On One kini boleh distrim di semua platform penstriman digital, membuka ruang kepada peminat untuk mengenali sisi berbeza Ismail Izzani menerusi karya yang lebih dekat dengan emosi dan pengalaman peribadi. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments