‘Tanpa Rasa Jemu’ Jadi Janji Azeva Buat Datuk A. Aida


ADA impian yang mengambil masa untuk direalisasikan, namun ada juga janji yang akhirnya menjadi dorongan untuk seseorang melangkah lebih jauh.

Bagi Azeva, perjalanan sebagai penyanyi bermula dengan sebuah lagu yang bukan sahaja dekat dengan dirinya, malah mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana turut melibatkan insan paling penting dalam hidupnya.

Mempertaruhkan Tanpa Rasa Jemu sebagai single sulung, bintang baharu itu membuka langkah pertamanya dalam industri muzik tanah air menerusi karya yang mengangkat tema kasih sayang dan kesetiaan tanpa syarat.

Lagu ciptaan Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi dengan lirik hasil nukilan ibunya sendiri, Datuk A. Aida itu menjadi titik permulaan buat Azeva dalam mengenali dunia rakaman secara lebih dekat.

Menurutnya, daripada beberapa pilihan lagu yang diterima, Tanpa Rasa Jemu menjadi karya yang paling mencuri perhatian sejak pertama kali diperdengarkan. Susunan muziknya yang indah, lirik yang menyentuh jiwa serta dinamik lagu yang kuat membuatkan penyanyi berusia 25 tahun itu yakin ia adalah pilihan tepat untuk diperkenalkan sebagai single sulung.

Lebih bermakna, proses menghasilkan lagu berkenaan turut menemukan Azeva dengan pengalaman bekerja bersama ibunya sendiri, selain mendapat bimbingan daripada barisan komposer berpengalaman sepanjang proses rakaman.

Pengalaman itu membuatkan dirinya tidak sekadar melihat Tanpa Rasa Jemu sebagai sebuah lagu pertama, tetapi juga sebagai karya yang membuka ruang untuknya belajar dan memahami selok-belok dunia muzik.

“Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar-benar menyentuh hati saya. Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini. Setiap kali mendengarnya, saya rasa tidak puas.

“Lagu ini juga sangat istimewa kerana mama turut terlibat dalam proses pembikinannya, manakala Abang Zul, Aiman dan Madi banyak membimbing saya sepanjang proses rakaman.

“Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa,” katanya.

Lebih Daripada Sekadar Kisah Cinta

Di sebalik melodi dan susunan muziknya, Tanpa Rasa Jemu membawa makna yang lebih luas buat Azeva. Malah menurut pemilik nama lengkap Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin itu, lagu berkenaan berkisar tentang kasih sayang yang tetap utuh meskipun berdepan pelbagai dugaan.

Lagu tersebut turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) filem lakonannya, Bisikan Nafsu, yang mengisahkan seorang lelaki yang terus setia mencintai pasangannya walaupun berdepan ujian yang amat berat. Filem berkenaan bakal menemui penonton pada 1 Oktober 2026 di pawagam seluruh negara.


Single 'Tanpa Rasa Jemu' jadi hadiah istimewa buat ibu

Namun, bagi Azeva, mesej yang dibawa lagu itu tidak terhad kepada hubungan antara pasangan. Ia juga boleh diterjemahkan menerusi kasih sayang dalam keluarga, khususnya hubungan yang sentiasa menerima, menyokong dan kekal ada tanpa mengenal penat atau jemu.

Di sebalik keyakinannya terhadap lagu tersebut, perjalanannya ke studio juga hadir dengan cabaran tersendiri. Tanpa pengalaman menyanyi secara profesional ketika memulakan rakaman, dia perlu membiasakan diri dengan teknik vokal, sebutan serta kawalan suara.

Proses itu bagaimanapun menjadi antara pengalaman paling penting dalam membentuk keyakinannya sebagai penyanyi, termasuk ketika membuat persembahan secara langsung.

“Pengalaman mengikuti kelas vokal menjadikan saya lebih yakin untuk membuat persembahan secara langsung, sekali gus membuktikan bahawa setiap proses pembelajaran telah membentuk diri saya sebagai seorang penyanyi yang lebih matang,” jelasnya.

Selepas memperkenalkan langkah pertama menerusi single debut tersebut, Azeva juga sudah mula melihat ke hadapan. Bintang Talk To My Manager itu memaklumkan dua lagi projek rakaman sedang dalam perancangan, termasuk sebuah versi baharu lagu Sejiwa yang mempunyai nilai sentimental buat keluarganya serta sebuah lagu OST untuk sebuah animasi.

Buat masa ini, bintang muda itu hanya mahu lagu sulungnya terus menemui pendengar dan meninggalkan kenangan yang baik dalam perjalanan muziknya.

“Harapan saya semoga semua orang terus mendengar Tanpa Rasa Jemu, tanpa rasa jemu juga. Saya mahu lagu ini kekal di hati pendengar dan menjadi karya yang sentiasa mereka ingati.

“Ini hanyalah permulaan perjalanan saya dalam dunia muzik, dan saya berharap dapat terus berkongsi lebih banyak karya selepas ini,” katanya.

Bagi Azeva, sebuah lagu mungkin menjadi permulaan kepada perjalanan yang panjang, namun single itu hadir dengan cerita yang jauh lebih peribadi. Daripada karya sulung yang membawa nama ibunya dalam pembikinan, kini tiba masanya dia membina suara dan identitinya sendiri sebagai penyanyi.

Tanpa Rasa Jemu yang diterbitkan secara usahasama antara Nova Music Malaysia dan A. Aida Production boleh mula distrim di semua platform penstriman sejak 11 September, manakala muzik video rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments