ADA impian yang tersimpan lama dalam hati sebelum akhirnya menjadi kenyataan. Bagi Marsha Milan, peluang berkongsi pentas bersama kumpulan legenda Indonesia, Ungu, menerusi konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur menjadi salah satu detik istimewa dalam perjalanan seninya.
Bakal berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur, konsert yang meraikan tiga dekad perjalanan seni Ungu itu bakal menyaksikan Marsha tampil sebagai artis jemputan khas, sekali gus mempertemukan dua nama besar muzik Nusantara dalam sebuah persembahan penuh nostalgia.
Mengimbau kembali detik menerima tawaran tersebut, Marsha mengakui tidak menyangka impian kecilnya menjadi realiti.
"Sejujurnya, bila Pasha datang membuat persembahan di GV (Gegar Vaganza) sebelum ini, saya ada di sana. Dalam hati saya sempat terfikir, 'bestnya kalau satu hari nanti dapat berkongsi pentas dan berduet dengan Pasha.'
"Jadi apabila saya menerima tawaran ini, saya rasa sangat gembira. Rasa macam angan-angan kecil yang saya simpan dalam diam akhirnya menjadi kenyataan," ujarnya.
Buat penyanyi kelahiran Sabah itu, peluang bergandingan bersama Ungu bukan sekadar sebuah persembahan, sebaliknya satu penghormatan kerana lagu-lagu kumpulan tersebut telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai pencinta muzik, termasuk dirinya sendiri.
Persiapan Membawa Sebuah Persembahan Penuh Emosi
Walaupun kini memberi fokus kepada persiapan Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Marsha tetap memastikan persiapan untuk konsert Ungu berjalan seiring.
"Kedua-duanya memang menjadi keutamaan saya. Cuma buat masa sekarang, fokus saya lebih kepada AJL kerana tarikhnya semakin dekat. Selepas itu, kami masih ada masa untuk membuat persiapan bagi konsert Ungu pada bulan September," jelasnya.
Menurut Marsha, pemilihan lagu untuk persembahan solonya masih dalam proses perbincangan kerana dia mahu membawa beberapa karya sendiri, manakala pemilihan lagu duet diserahkan kepada Ungu kerana kumpulan itu memiliki banyak karya ikonik yang dekat dengan hati peminat.
"Buat masa ini saya masih dalam proses memuktamadkan lagu-lagu untuk persembahan solo saya kerana saya ingin membawakan beberapa lagu sendiri pada malam itu.
"Untuk lagu duet pula, saya serahkan kepada Ungu kerana semua lagu mereka sangat ikonik dan penuh nostalgia, termasuklah lagu-lagu duet mereka," katanya.
Bagi Marsha, persembahan pada malam itu bukan sekadar mengenai nyanyian, tetapi sebuah pengalaman yang ingin dikongsi bersama penonton menerusi penceritaan, emosi dan kenangan yang hadir melalui setiap lagu.
"Apa yang penonton boleh jangkakan daripada saya ialah sebuah persembahan yang penuh dengan penceritaan dan emosi, disertai momen-momen ‘sing-along’ yang pasti mengimbau nostalgia.
"Insya-ALLAH, saya harap semua orang dapat menikmati setiap detik persembahan bersama. Fokus utama kita adalah untuk benar-benar menikmati konsert ini dan mengimbau kembali kenangan melalui lagu-lagu hebat yang akan dipersembahkan oleh Ungu," ujarnya.
Selain membawakan rangkaian lagu popular sepanjang tiga dekad perjalanan mereka, Ungu turut menyediakan kejutan istimewa menerusi persembahan sebuah lagu baharu buat pertama kali di konsert tersebut.
Berkongsi mengenai hubungan peribadinya dengan karya-karya Ungu, penyanyi berusia 41 tahun itu berkata, hampir setiap lagu kumpulan itu mempunyai cerita dan memori tersendiri buat para pendengar.
"Kalau sebut sahaja lagu-lagu Ungu, memang terus teringat memori. Ramai yang menjadikan lagu mereka sebagai lagu tema perkahwinan, lagu putus cinta, atau teman ketika melalui pelbagai fasa kehidupan.
"Saya yakin ramai yang pernah ketawa, menangis dan menyanyi bersama lagu-lagu mereka. Saya sendiri pun begitu," katanya.
Menurut Marsha lagi, perkara itu menjadikan sambutan tiga dekad Ungu begitu istimewa kerana ia bukan sekadar meraikan perjalanan sebuah kumpulan muzik, tetapi turut menghimpunkan kenangan bersama jutaan peminat selama lebih tiga dekad.
Marsha turut mengajak peminat Ungu dan pencinta muzik tanah air agar tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert istimewa tersebut secara langsung.
"Walaupun tiket hampir habis terjual, jangan risau kerana masih ada lagi yang boleh dibeli. Jadi jangan tunggu lama-lama. Saya sendiri pun sudah tidak sabar hendak berkongsi pentas dengan Ungu dan mendengar lagu-lagu yang bakal mereka bawakan pada konsert nanti," katanya.
Menggabungkan perjalanan tiga dekad Ungu bersama sentuhan vokal Marsha, konsert ini bukan sekadar meraikan sebuah ulang tahun, tetapi turut menjadi ruang menghidupkan kembali memori yang telah menemani peminat menerusi lagu-lagu yang dekat di hati. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments