"Dia Pelakon Kedua Paling Tampan di Malaysia" - M. Nasir Pilih Aliff Aziz Sebagai Teraju Utama Mansur & Liu


KISAH kepahlawanan, cinta dan sejarah Melayu lama bakal dihidupkan semula menerusi pentas teater muzikal Mansur & Liu, dengan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz diberi kepercayaan menggalas watak utama sebagai Sultan Mansur Shah.

Naskhah arahan Datuk M. Nasir itu bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 hingga 20 September depan, sekali gus mempertemukan barisan pelakon berpengalaman dengan bakat baharu dalam sebuah karya yang diinspirasikan daripada hikayat Melayu lama.

Mengulas mengenai pemilihan Aliff sebagai teraju utama, M. Nasir, berkata, aktor berusia 35 tahun itu memiliki pakej lengkap yang diperlukan untuk membawa watak Sultan Mansur Shah.

Malah, secara berseloroh, komposer terkenal itu turut mengakui ketampanan Aliff yang tinggi lampai itu menjadi antara faktor yang membuatkan dia memilih pelakon tersebut.

“Kenapa saya pilih dia? Kerana dia adalah pelakon kedua paling tampan di Malaysia,” katanya.

Pementasan itu turut menampilkan bakat baharu, Melinda Dadew sebagai Puteri Liu, selain barisan pelakon hebat termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Shahrul Mizad, Ruzana Ibrahim, Taqim Zaki, Fiza Thomas dan Anas Ridzuan. Tidak ketinggalan Hazama, Fadhli Masoot, Arena Wan, Brian Chan, Taufiq Izmir dan Marzuki Noh.

Kesemua pelakon terbabit dipilih menerusi sesi uji bakat yang dijalankan pihak produksi bagi memastikan setiap pelakon memenuhi kriteria serta keperluan watak yang telah ditetapkan.

Dari Hikayat Melayu Lama Ke Pentas Muzikal

Jelas M. Nasir, idea menghasilkan Mansur & Liu tercetus daripada penglibatannya dalam projek pembacaan buku audio Sulalatus Salatin, yang memuatkan kisah hikayat Melayu lama nukilan Tun Sri Lanang, kira-kira enam tahun lalu.

“Selepas membaca buku itu, saya mula mengetahui banyak perkara mengenai hikayat Melayu lama. Saya menemui kisah Mansur dan Liu. Kisah itulah yang menarik minat saya untuk menghasilkan karya ini,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media teater tersebut di Istana Budaya pada Jumaat.

Menariknya, naskhah ini turut menampilkan 30 lagu serta skor muzik asli ciptaan M. Nasir yang digarap khusus untuk menghidupkan kisah Mansur & Liu di pentas.


M.Nasir (tengah) bersama barisan pelakon Mansur & Liu

Sementara itu, Aliff menyifatkan pementasan ini menandakan kemunculan pertamanya di pentas teater. Kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawa watak Sultan Mansur Shah disifatkan sebagai satu peluang besar yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya.

“Alhamdulillah saya percaya inilah yang dikatakan rezeki. Memegang watak sebagai Sultan Mansur Shah ini merupakan satu penghargaan dan tanggungjawab buat saya,” katanya.

Teater Muzikal Mansur & Liu diterbitkan oleh M. Nasir dan Datin Marlia Musa menerusi Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment ini bakal membawa pengalaman teater muzikal yang pastinya menarik untuk diterokai.

Tiket pementasan dijual pada harga antara RM88 hingga RM408 mengikut kategori tempat duduk. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


Post a Comment

0 Comments