Latihan Pestapora Malaysia 2026 Umum Barisan Artis Fasa 2, Tipe-X, Last Child & Ruffedge Sertai Festival


FESTIVAL muzik bukan lagi sekadar medan menyaksikan persembahan artis kegemaran, sebaliknya menjadi ruang pertemuan budaya, nostalgia dan pengalaman yang dikongsi bersama ribuan peminat.

Itulah yang bakal dibawakan menerusi Latihan Pestapora Malaysia 2026, apabila festival yang menghimpunkan pemuzik dari Malaysia dan Indonesia ini melengkapkan barisan persembahannya menjelang penganjuran pada 15 Ogos 2026 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Kurang sebulan sebelum acara berlangsung, festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator itu mengesahkan penyertaan lima lagi nama yang bakal memeriahkan pentas iaitu Tipe-X dan Last Child dari Indonesia, serta Ruffedge, Lah Ahmad dan DJ Disko Santan & Friends dari Malaysia.

Gabungan nama-nama ini bukan sahaja menampilkan variasi genre muzik, malah mempertemukan artis daripada dua negara dalam sebuah festival yang meraikan kepelbagaian budaya dan semangat serumpun.

Festival Serumpun Satukan Pelbagai Genre Muzik

Bagi peminat tempatan, penampilan Last Child pastinya menjadi antara tarikan utama apabila kumpulan popular Indonesia itu bakal membuat kemunculan sulung di Malaysia. Dalam masa sama, Tipe-X dijangka menghidupkan suasana menerusi deretan lagu ska yang telah menjadi kegemaran peminat selama lebih dua dekad.

Tidak ketinggalan, kemunculan Ruffedge dan Lah Ahmad dijangka mengimbau era kegemilangan muzik R&B tempatan menerusi lagu-lagu malar segar yang masih mendapat tempat di hati peminat. Sementara itu, DJ Disko Santan & Friends bakal melengkapkan kemeriahan acara dengan seleksi muzik yang mengiringi suasana festival sepanjang hari.


Selain barisan artis yang pelbagai, pengunjung turut bakal menikmati pengalaman festival selama kira-kira 12 jam yang dipenuhi persembahan muzik tanpa henti serta pelbagai aktiviti menarik.

Sepanjang acara, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan daripada 15 artis Malaysia dan Indonesia, di samping menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh vendor.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, setiap orang akan menerima sebotol air mineral percuma ketika memasuki lokasi acara. Turut disediakan ialah stesen isi semula air (free refillable water) bagi membolehkan pengunjung kekal segar sepanjang menikmati persembahan.

Gabungan muzik, pilihan makanan dan suasana festival yang penuh warna-warni menjadikan Latihan Pestapora Malaysia 2026 sebagai destinasi wajib buat pencinta muzik serantau.

Jualan tiket kini telah memasuki kategori General Admission Phase 2 pada harga RM249 bagi setiap tiket. Bagi mereka yang ingin hadir secara berkumpulan, penganjur turut menawarkan Bundle Pesta, iaitu pembelian empat tiket General Admission pada harga Fasa 1 yang disertakan satu tiket General Admission percuma. Sementara itu, kategori tiket tempat duduk masih dibuka untuk jualan, namun bilangannya semakin terhad.

Gabungan muzik, budaya dan pelbagai aktiviti menarik menjadikan Latihan Pestapora Malaysia 2026 lebih daripada sekadar sebuah festival. Ia bakal menjadi ruang buat peminat dari kedua-dua negara berkongsi pengalaman, meraikan kepelbagaian budaya serta menyemarakkan kecintaan terhadap dunia muzik dalam suasana penuh meriah. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments