Barisan pelakon Anak-Anak Malik | KREDIT FOTO: Tat Chin |
SELEPAS lebih satu dekad, pengarah teater tersohor Christopher Ling kembali mengangkat karya klasik Federico García Lorca ke pentas tempatan.
Kali ini menerusi naskhah Anak-Anak Malik, sebuah adaptasi penuh interpretasi baharu, dipersembahkan sepenuhnya dalam naskhah lelaki dan berlatar belakangkan sebuah kampung nelayan di Pulau Pinang, era 1970-an.
Dipentaskan di Pentas 2, KLPAC dari 24 hingga 27 Julai 2025, produksi oleh Yayasan The Actors Studio dan The Actors Studio Seni Teater Rakyat ini bakal membawa penonton menyelami sisi maskulin kepada kisah kepatuhan, kehilangan dan pemberontakan dalam rumah tangga tradisional berasaskan naskhah terakhir García Lorca yang terkenal, La casa de Bernarda Alba (The House of Bernarda Alba).
Sebelum tercetusnya Perang Saudara Sepanyol, penyair dan penulis drama ikonik, Federico García Lorca, menulis karya terakhirnya yang menjadi simbol tekanan sosial terhadap wanita dalam masyarakat patriarki.
Dalam versi asal, La casa de Bernarda Alba mengisahkan Bernarda, seorang ibu yang memegang kawalan mutlak ke atas lima anak perempuannya.
Selepas kematian suami keduanya, Bernarda memaksa anak-anaknya menjalani tempoh berkabung selama lapan tahun, mencetuskan pergelutan batin dan konflik dalam rumah yang terkunci.
Menariknya, karya ini diinspirasikan daripada kisah benar jiran Lorca sendiri, dan rumah asal keluarga tersebut kini diabadikan sebagai muzium.
Adaptasi Tempatan dengan Suasana dan Suara Baharu
Selepas 16 tahun sejak mementaskan versi muzikal arahan Michael John LaChiusa di KLPAC, Christopher Ling kembali menyelami dunia Lorca menerusi adaptasi tempatan yang ditulis oleh Yusof Bakar.
Menerusi naskhah Anak-Anak Malik, seluruh watak utama dibawakan oleh pelakon lelaki, menjadikan pementasan ini unik dari segi pendekatan dan tafsiran.
Kisahnya dipindahkan ke sebuah perkampungan nelayan terpencil di Pulau Aman, Pulau Pinang pada era 70-an, dengan Malik, seorang ketua keluarga, sebagai pusat konflik.
Selepas isterinya meninggal dunia, Malik memerintahkan kesemua anak lelakinya untuk berkabung selama 100 hari, dan tidak dibenarkan meninggalkan rumah sepanjang tempoh itu.
Larangan tersebut akhirnya mencetuskan pemberontakan dalam kalangan anak-anaknya. Ada yang membantah, malah melanggar arahan untuk bertemu kekasih secara rahsia.
Keingkaran itu membawa kepada musibah dan tragedi, memecahkan tembok keluarga yang selama ini dibina atas asas kawalan dan ketaatan mutlak.
Sebuah naskhah yang menjanjikan pengalaman teater menggugah emosi | KREDIT FOTO: Tat Chin |
Pementasan ini mengetengahkan 10 pelakon lelaki iaitu Aidil Rosli, Ammar Aqsya, Aniq Syahmi, Asraf Zulk, Danish Zakwan, Mark Beau De Silva, SaifulWazien, Sudhan Nair, Sunio Rushairi dan Ubai Talib.
Naskhah ini dipersembahkan dalam bahasa Melayu dengan sari kata bahasa Inggeris, turut menampilkan pergerakan oleh Zhafir Muzani serta muzik oleh Kirthana Kuhendran.
Dengan sentuhan baharu dan suasana budaya tempatan yang kuat, Anak-Anak Malik menjanjikan pengalaman teater yang menggugah emosi.
Naskhah ini juga mengajak penonton merenung kembali struktur kekuasaan, trauma warisan dan kesan pengasingan dalam keluarga, dari lensa baharu yang lebih jujur dan dekat dengan realiti masyarakat hari ini.
Pementasan Anak-Anak Malik berlangsung selama empat hari bermula 24 Julai 2025. Harga tiket bermula dari RM60, manakala tiket untuk pelajar, warga emas berumur 60 tahun ke atas, orang kurang upaya dan warga pendidik berharga RM50. Pembelian tiket boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web www.cloudjoi.com/klpac . - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments