Di Sebalik Angka 8, Ada Kisah Persahabatan Dan Inspirasi Seni Drewfunk


BAGI seorang seniman, setiap karya bukan sekadar gambaran visual, tetapi ruang untuk menyimpan memori, hubungan dan pengalaman yang membentuk identiti kreatifnya.


Menerusi pameran solo terbaharunya, Eight (8), artis kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Melbourne, Australia, Drewfunk atau Andrew ‘Jin’ Yeoh mengajak pengunjung menyelami dunia potret yang sarat dengan simbolik, persahabatan serta hubungan manusia dengan alam.

Pameran ini menandakan satu fasa baharu dalam perjalanan seni Drewfunk selepas lebih dua dekad berkarya. Berbeza daripada karya terdahulu yang banyak berteraskan naratif, Eight (8) memberi tumpuan kepada penerokaan potret secara lebih intim menerusi bahasa visual ikoniknya yang diinspirasikan daripada estetika porselin biru dan putih.

Di sebalik koleksi ini, Drewfunk mengetengahkan empat figura seni yang dekat dengan dirinya. Bukan sahaja sebagai individu yang dikagumi, tetapi juga sebagai sahabat yang berkongsi perjalanan kreatif bersamanya.

Setiap potret dipadankan dengan salah satu daripada empat elemen alam iaitu tanah, air, api dan udara, serta empat musim yang melambangkan perubahan, pertumbuhan, keseimbangan dan kitaran kehidupan.

Bagi Drewfunk, angka lapan mempunyai makna peribadi yang mendalam. Dalam budaya Cina, angka tersebut sering dikaitkan dengan kemakmuran, keharmonian, kelimpahan dan nasib baik.

Gabungan empat figura, empat elemen alam serta empat musim akhirnya membentuk sebuah naratif lengkap yang dirangkumkan menerusi judul Eight (8).

Eight (8) turut menjadi pencapaian penting dalam kerjaya Drewfunk apabila ia merupakan pameran solo ke-13 sepanjang lebih 21 tahun perjalanan seninya, selain menjadi pameran solo keduanya di Malaysia.

Karya terbaharu ini memperlihatkan perubahan pendekatan dalam proses kreatifnya, daripada membina cerita kepada meraikan individu yang memberi inspirasi dalam kehidupannya.

“Koleksi karya baharu ini beralih daripada penceritaan kepada potret, sebuah instalasi yang dibina berdasarkan empat figura inspirasi, empat elemen alam dan perubahan musim.

“Dilukis menerusi bahasa visual porselin biru dan putih saya, potret-potret ini meraikan empat artis hebat serta sahabat yang masing-masing membawa kekuatan tersendiri daripada alam semula jadi,” ujarnya.

Bagi Drewfunk, keempat-empat figura ini bukan sekadar inspirasi visual, tetapi cerminan kepada kisah, nilai dan pengalaman yang membentuk dirinya sebagai seorang seniman.

Setiap potret hadir dengan makna tersendiri, menghubungkan elemen manusia, alam dan perubahan dalam sebuah naratif seni yang lebih mendalam.

“Bersama-sama, mereka menjadi lebih daripada sekadar subjek; mereka menjadi simbol pertumbuhan, perubahan, ketahanan, keberanian dan keseimbangan.

“Seperti porselin yang menyimpan sejarah, karya-karya ini turut menyimpan detik, persahabatan dan keindahan tenang insan yang telah membentuk perjalanan seni saya,” jelasnya.

Empat Figura, Empat Elemen, Satu Kisah Persahabatan

Menghidupkan konsep tersebut, Eight (8) menampilkan empat karya campuran media di atas kanvas yang memaparkan beberapa tokoh kreatif kontemporari Malaysia, termasuk artis bertaraf antarabangsa Red Hong Yi, rapper Joe Flizzow, pemuzik dan penerbit SonaOne serta penyanyi dan penulis lagu Zamaera.

Namun, karya-karya ini bukan sekadar potret wajah. Setiap satunya membawa kisah tentang hubungan, rasa hormat dan dialog kreatif yang menjadi sumber inspirasi Drewfunk sepanjang perjalanan seninya.


Drewfunk terkenal menerusi pendekatan artistiknya yang menggabungkan seni jalanan dan seni halus, sambil mengetengahkan estetika urban moden dengan naratif budaya berteraskan warisan Asia, memori peribadi serta pengalaman hidup.

Bermula dengan latar belakang seni grafiti dan memiliki ijazah Multimedia & Design dari RMIT University, seniman ini membangunkan bahasa visual tersendiri yang menghubungkan tradisi Timur dengan ekspresi seni kontemporari.

Karyanya merangkumi mural berskala besar, ilustrasi dakwat, karya media campuran serta lukisan yang sering menampilkan motif haiwan dan makhluk mitos.

Sepanjang lebih dua dekad berkarya, Drewfunk telah mempamerkan hasil seninya di Australia, Malaysia dan peringkat antarabangsa, dengan karya yang terus berkembang sambil mengekalkan hubungan rapat dengan kisah, budaya serta pengalaman manusia.

Drewfunk – Eight (8) yang dibawakan oleh AweGallery dan dikurasi oleh Ong Jian Yang ini berlangsung dari 8 hingga 18 Ogos 2026, setiap hari dari 11 pagi hingga 8 malam di AweGallery, Petaling Jaya. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments