'Spider-Man: Brand New Day' Bawa Pengalaman Sinematik 270 Darjah di SCREENX


PEMINAT Spider-Man bakal menikmati pengalaman tontonan yang lebih imersif apabila filem terbaharu Spider-Man: Brand New Day menjadi antara produksi pertama francais itu yang direka khas untuk format SCREENX.

Diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, filem terbitan Sony Pictures ini menandakan satu langkah baharu dalam evolusi pengalaman pawagam premium menerusi kerjasama dengan CJ 4DPLEX, peneraju global dalam teknologi tontonan imersif.

Menerusi pendekatan 'Shot for SCREENX', filem ini bukan sahaja dihasilkan untuk tayangan di skrin utama, malah dirancang sejak peringkat awal produksi bagi memanfaatkan sepenuhnya paparan panorama 270 darjah yang menjadi identiti format SCREENX.

Di Malaysia, penonton boleh menikmati pengalaman SCREENX ini di dua lokasi Golden Screen Cinemas (GSC), iaitu Aurum Theatre, The Exchange TRX serta GSC 1 Utama.

Pengalaman Sinematik Bermula Di Set Penggambaran

Keistimewaan projek ini terletak pada penglibatan awal pasukan SCREENX di lokasi penggambaran, membolehkan visual tertentu dirakam khusus untuk pengalaman tontonan 270 darjah di pawagam.

Pendekatan ini membuka ruang baharu dalam penceritaan visual, apabila babak-babak tertentu direka bukan hanya untuk skrin utama, tetapi untuk meluaskan pengalaman penonton ke seluruh ruang auditorium.

Pengarah Spider-Man: Brand New Day, Destin Daniel Cretton, menjelaskan bagaimana proses tersebut berlaku di set penggambaran.

"Pasukan CJ 4DPLEX turun sendiri ke lokasi penggambaran Spider-Man: Brand New Day untuk merakam babak-babak khas yang hanya dapat dinikmati oleh penonton di auditorium SCREENX. Ia merupakan pengalaman yang benar-benar unik," katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif CJ 4DPLEX, Jun Bang, inisiatif 'Shot for SCREENX' menandakan satu evolusi penting bagi format tersebut.

Menurutnya, kerjasama rapat dengan Sony Pictures serta Destin Daniel Cretton, disokong oleh teknologi produksi proprietari SCREENX, membolehkan ruang visual filem diperluaskan tanpa menjejaskan visi kreatif pengarah.

Pendekatan itu juga bertujuan memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada penonton, sekali gus membawa mereka lebih dekat dengan jalan cerita, aksi dan dunia Spider-Man.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden CJ 4DPLEX Americas, Don Savant, pula menyifatkan Sony Pictures serta Destin Daniel Cretton sebagai rakan kerjasama yang memainkan peranan besar dalam merealisasikan projek ini.

Jelasnya, francais Spider-Man merupakan contoh terbaik bagaimana format pawagam premium mampu memperkukuhkan lagi pengalaman menonton filem blockbuster, sambil menyerlahkan skala, tenaga dan emosi watak ikonik itu melalui persembahan SCREENX yang direka khusus untuk pengalaman di pawagam.

Tiket awal bagi tayangan Spider-Man: Brand New Day dalam format SCREENX kini telah mula dijual menerusi aplikasi serta laman web GSC. Penonton digalakkan mendapatkan tiket lebih awal kerana tayangan ini hanya ditawarkan untuk tempoh terhad di auditorium terpilih di Malaysia dan beberapa negara lain.

Sebagai format multi-projeksi pertama di dunia, SCREENX memperluaskan visual filem ke dinding kiri dan kanan dewan, menghasilkan paparan panorama 270 darjah yang menjadikan penonton seolah-olah berada di dalam dunia cerita itu sendiri.

Dengan pendekatan sinematik ini, pengalaman menonton filem bukan lagi sekadar di skrin utama, tetapi menjadi satu ruang visual yang lebih luas, mendalam dan imersif.

Kerjasama berterusan antara CJ 4DPLEX dan Sony Pictures turut mencerminkan usaha kedua-dua pihak untuk terus memperkenalkan inovasi dalam pengalaman pawagam, sekali gus menawarkan cara baharu kepada penonton menikmati filem blockbuster pada skala yang lebih mengasyikkan.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments