SARAWAK kini menyambut satu lagi penambahan menarik dalam dunia gastronominya apabila Pullman Kuching memperkenalkan Nu Er Hong, sebuah restoran Cina halal premium dengan wajah baharu serta pendekatan santapan yang lebih eksklusif.
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, bersama Pengerusi Eksekutif Interhill Group, Datin Lau Ngok Yung, Pengarah Urusan Interhill Group, Albert Hu, serta Pengarah Eksekutif Interhill Group, Rogina Hu.
Kini dibuka kepada umum, Nu Er Hong mengetengahkan pengalaman santapan mewah berinspirasikan tradisi kulinari pesisir pantai dari Zhejiang, Fujian dan Guangdong, lengkap dengan pensijilan halal yang memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.
Lebih daripada sebuah restoran, Nu Er Hong dibangunkan dengan idea bahawa setiap momen bermakna wajar diraikan dengan penuh perhatian terhadap masa, rasa dan nilai di sebaliknya.
Setiap ruang makan peribadi direka sebagai latar untuk pelbagai detik istimewa, daripada majlis perkahwinan hingga jamuan korporat dan pertemuan keluarga dengan setiap bilik membawa identiti tersendiri yang disesuaikan mengikut suasana acara.
Kehadiran Nu Er Hong di dalam Pullman Kuching turut memperkukuh kedudukan hotel berkenaan dalam sektor MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) yang semakin berkembang di Sarawak.
Bagi penganjur acara korporat, ia membuka pilihan lokasi jamuan eksklusif yang lebih mudah diakses dalam satu ruang hotel. Pada masa sama, ia turut menjadi tarikan bagi pasangan yang mencari lokasi perkahwinan yang menggabungkan elemen warisan, kemewahan dan pengalaman yang lebih inklusif.
Inspirasi Laluan Sutera Maritim
Menurut Pengurus Besar Pullman Kuching, Sunardi Song, pelancaran Nu Er Hong membawa makna lebih besar daripada sekadar pembukaan restoran baharu, sebaliknya mencerminkan potensi Sarawak sebagai destinasi yang semakin berkembang di peringkat antarabangsa.
Jelasnya lagi, konsep restoran ini menggabungkan sofistikasi global dengan identiti tempatan, di samping menyatukan integriti halal bersama seni kulinari Cina pesisir pantai dalam satu pengalaman gastronomi yang tersendiri.
Dari sudut reka bentuk, Nu Er Hong diinspirasikan oleh Laluan Sutera Maritim, rangkaian perdagangan bersejarah yang menghubungkan pelbagai budaya di seluruh Asia. Elemen seperti seni pertukangan Fujian, tona lembut teh Longjing serta sentuhan nautika yang melambangkan perjalanan kapal dagang diterapkan secara halus dalam suasana ruang makan.
| Ruang makan peribadi Nu Er Hong yang fleksibel untuk pelbagai majlis keluarga dan sambutan istimewa merentas generasi |
Di dapur, Chef Charles mengetuai penyediaan menu yang berasaskan teknik tradisional yang diperkemas, dengan penekanan kepada standard halal tanpa mengorbankan keaslian rasa.
Antara hidangan yang diperkenalkan semasa pelancaran termasuk Nu Er Hong Roasted Duck yang dihiris dan dihidangkan secara langsung di hadapan tetamu, Fujian Braised Two-Headed Supreme Abalone with King Oyster Sauce serta Baked Char Siu Cod Fish.
Kemunculan Nu Er Hong menambah satu lagi dimensi dalam evolusi santapan premium di Sarawak, memperlihatkan bagaimana warisan dan inovasi boleh bergerak seiring dalam satu ruang yang sama. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments