‘Pasar’ Dengan Cara Berbeza, Imersio 2026 Satukan Seni Dan Teknologi


PASAR mempunyai daya tarikan yang sukar digantikan. Bunyi peniaga menawarkan harga, tanda tulisan tangan, pelbagai bahasa dan loghat, serta kenangan berjalan bersama datuk atau nenek menjadikan pasar lebih daripada sekadar tempat membeli-belah. Daripada pengalaman harian hingga memori zaman kecil, ruang ini menyimpan cerita yang berbeza buat setiap orang.

Daripada idea itulah lahir Imersio 2026: Pasar, edisi ketujuh festival seni media baharu anjuran Filamen.

Berlangsung dari 11 hingga 27 September 2026 di GMBB, Muzium Telekom, Ombak KLCC dan REXKL, festival ini menghimpunkan kira-kira 100 seniman serta penggiat teknologi kreatif dari Asia, dengan lebih 70 karya berbentuk instalasi digital, interaktif, projek visual dan arca.

Di GMBB, pameran utama di Aras 5 menampilkan lebih 45 karya yang melihat ‘pasar’ daripada pelbagai sudut. Sekarat oleh seniman Indonesia Rimbawan Gerilya menghidupkan semula fenomena batu akik menerusi permainan video interaktif, manakala Arron Teo dari Singapura membawa suasana pasar basah ke dunia digital menerusi WTFish Wonderland ’87.

Seniman Malaysia turut menemukan unsur pasar dalam perkara yang dekat dengan kehidupan seharian. Lain Main Lab menjadikan RELA sebagai The Gatekeeper of Pasar, sementara Aresha Reza meneroka tabiat mengikat beg kopi atau teh dalam Ikat Tepi. Lee Mok Yee pula menggunakan tikar getah dalam When We Touch the Floor untuk mengimbau cara kita duduk, makan dan berkumpul.

Dari Filipina, Rhaz Oriente mengubah suasana malam Jumaat di Makati menjadi buruj digital menerusi After Hours Atlas: Makati.

Pasar, Generasi Baharu Dan Dunia Digital

Tema ini turut diperluas di Muzium Telekom menerusi karya pelajar MMU, UNIMAS dan The One Academy di bawah program iNYALA dan DTI, disokong Yayasan TM.

Enam ‘warung’ ciptaan pelajar The One Academy pula menawarkan pengalaman interaktif berasaskan konsep ‘rojak’, bahasa pertuturan, trend makanan seperti matcha dan pistachio, serta ikon seperti Ramly Burger.

Di Ombak KLCC, IMMERSIOx menampilkan Saya Seekor Dinosaur oleh Eugene Foo, yang membayangkan dunia Nusantara tempat manusia dan dinosaur hidup bersama. Pengunjung muda juga boleh mencipta dinosaur sendiri sebelum ia dipaparkan atau dianimasikan secara digital. Program ini berlangsung dari 27 Ogos hingga 30 Oktober.

Sementara itu, REXKL menjadi lokasi hujung minggu terakhir Immersio dari 25 hingga 27 September, dengan karya seniman bebas, ilustrator, pereka, pembuat dan kolektif kreatif, selain sesi bicara, bengkel serta persembahan seni audio-visual.



Menurut Pengasas Bersama Filamen, Abdul Shakir, idea ‘Pasar’ hadir daripada keinginan untuk melihat semula perkara yang sering dianggap biasa, termasuk warna-warni, papan tanda tulisan tangan, bunyi dan kekacauan yang sebenarnya mempunyai daya tarikan tersendiri.

Sebagai platform seni digital dan media baharu Asia Tenggara sejak 2017, Immersio terus membuka ruang kepada seniman untuk bereksperimen dan berhubung dengan khalayak.

Dengan karya yang menghubungkan kenangan, budaya dan teknologi, Imersio 2026: Pasar mengajak pengunjung melihat ruang yang dekat dengan kehidupan melalui perspektif seni media baharu. - 7KLIK

Pameran

GMBB (Aras 5)
Tarikh: 11–27 September 2026 (Ditutup Pada Hari Isnin)
Masa: 11am – 8pm
Tiket: RM15 (Umum) RM55 (Berkumpulan 5 orang)

Muzium Telekom (Level 1 & Level 2)
Tarikh: 11-27 September 2026 (Ditutup pada hari Isnin)
Masa: 11am - 5pm
Tiket: Kemasukan Percuma

OMBAK KLCC (Lot 8-01 & 8-02)
Tarikh: 27 Ogos - 30 Oktober 2026
Tiket: RM10 (Umum), RM5 (Kanak-kanak bawah 12 tahun), RM45 (Berkumpulan 5 Orang) & Warga Emas (Percuma)

REXKL
Tarikh: 25-27 September 2026
● Pameran Immersio Pasar (25-27 September) 11.30am - 6pm
● Sesi Bicara Artis & Bengkel (26-27 September) 2.30pm - 4pm
● Sesi Persembahan Seni Audio Visual (25-27 September) 8pm - 10.30pm
*Tiket boleh dibeli melalui CloudJoi di Immersio 2026 

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments