| Taylor Swift bersama barisan pelakon dan pembikin filem di tayangan perdana Toy Story 5 | FOTO: Disney |
MALAM tayangan perdana Toy Story 5 berubah menjadi lebih istimewa apabila Taylor Swift membuat kemunculan mengejut dengan persembahan lagu baharu berjudul I Knew It, I Knew You, sekali gus mencuri perhatian ramai di acara berprestij tersebut.
Tidak hanya itu, Taylor turut berkongsi pentas bersama komposer legenda dan pemenang pelbagai anugerah, Randy Newman, menerusi persembahan duet lagu klasik You’ve Got a Friend in Me. Momen istimewa ini menambah elemen emosi kepada malam yang sudah pun penuh dengan nostalgia dan kehangatan dunia Toy Story.
Acara tersebut turut dihadiri oleh barisan pelakon suara serta pembikin filem di belakang francais animasi Disney dan Pixar yang sangat dinanti-nantikan ini. Antara yang hadir termasuk Tom Hanks, Tim Allen, Joan Cusack, Conan O’Brien, Greta Lee, Craig Robinson, Tony Hale serta pengarah Andrew Stanton dan penerbit Lindsey Collins.
Barisan pelakon suara lain seperti Scarlett Spears, Shelby Rabara, Mykal-Michelle Harris, Lori Alan, Jay Hernandez, Bonnie Hunt, Kristen Schaal, Wallace Shawn, Krys Marshall, Jeff Bergman, Blake Clark, Anna Vocino, Matty Matheson, John Ratzenberger dan Melissa Villaseñor turut memeriahkan acara, bersama eksekutif Pixar Pete Docter dan penerbit Jonas Rivera.
Dunia Baharu Toy Story: Toy
Dalam Toy Story 5, kisah kali ini membawa penonton ke era baharu apabila dunia permainan klasik berhadapan dengan perubahan teknologi moden. Woody, Buzz Lightyear, Jessie dan rakan-rakan mereka berdepan cabaran apabila muncul watak baharu bernama Lilypad, sebuah peranti tablet pintar yang membawa idea berbeza tentang apa yang 'terbaik' untuk Bonnie, si pemilik mainan mereka.
Konflik antara dunia tradisional permainan dan teknologi moden ini menjanjikan satu perjalanan emosi yang segar, sambil menguji semula erti persahabatan, perubahan dan peranan mainan dalam kehidupan kanak-kanak.
Filem ini diarahkan oleh pemenang Anugerah Akademi Andrew Stanton, dengan Kenna Harris sebagai co-director, serta diterbitkan oleh Lindsey Collins. Sementara skrip ditulis oleh Stanton dan Harris berdasarkan idea cerita oleh Stanton.
Menambah sentuhan istimewa, lagu I Knew It, I Knew You dihasilkan oleh Taylor Swift bersama Jack Antonoff, manakala Randy Newman kembali menghidupkan dunia Toy Story melalui skor muzik untuk edisi kelimanya.
Toy Story 5 bakal menemui penonton di pawagam bermula 17 Jun 2026, dan akan ditayangkan secara eksklusif dengan klasifikasi PG. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments