INDUSTRI filem tempatan sekali lagi menyaksikan kebangkitan naskhah seram apabila Khadam muncul sebagai antara filem paling mencuri perhatian di pawagam Malaysia ketika ini.Sejak mula ditayangkan, filem arahan Shamyl Othman itu pantas mencatat kutipan RM1.2 juta, sekali gus meletakkannya di kedudukan teratas carta filem tempatan dan mencetuskan gelombang tontonan dalam kalangan penonton.
Bukan sekadar angka, sambutan yang diterima turut menggambarkan bagaimana filem seram tempatan kini semakin mendapat tempat, apabila penonton menunjukkan sokongan terhadap karya lokal yang tampil dengan naratif lebih segar dan berani.
Reaksi penonton di media sosial turut memperkukuh fenomena tersebut, dengan ramai yang berkongsi ulasan positif serta menyifatkan Khadam sebagai antara naskhah seram yang memberi impak tersendiri dalam landskap filem Malaysia.
Saka Lama, Ketakutan Baharu
Di tengah-tengah sambutan hangat itu,
Khadam membawa penonton menyelami kisah Melor, seorang ibu yang berdepan warisan saka yang menghantui keluarganya sejak sekian lama.
Berlatar era 1950-an, perjalanan Melor menjadi semakin genting apabila usaha untuk melindungi keluarga mula menuntut pengorbanan yang lebih besar, sehingga menguji batas antara kasih sayang, ketakutan dan kehilangan.
Dibintangi barisan pelakon seperti Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak, Jun Lojong, Siti Khadijah Halim dan Karl’ El, filem ini menyajikan pengalaman sinematik yang bukan sahaja sarat elemen seram, tetapi turut meninggalkan persoalan yang terus bermain di fikiran penonton selepas meninggalkan pawagam.
Dengan momentum yang semakin meningkat, naskhah terbitan Red Communications dan Komet Productions ini dijangka terus mencatat pertambahan kutipan sepanjang minggu-minggu akan datang, didorong oleh sambutan penonton serta perbualan hangat dalam kalangan peminat filem tempatan.
Bagi yang masih belum menonton,
Khadam kini ditayangkan di pawagam seluruh negara, membawa pengalaman seram yang menggabungkan emosi, misteri dan ketegangan dalam satu naskhah.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments