'Yang Tinggal' Satukan Malique, Zizi Kirana & Yasin Sulaiman

Zizi Kirana dan Yasin ketika pelancaran single Yang Tinggal | FOTO: Bangsawan Pictures

SESEBUAH karya kadangkala membawa cerita yang lebih panjang daripada tempoh penghasilannya. Apa yang didengar mungkin hanya beberapa minit, tetapi proses di sebaliknya boleh menyimpan kisah, emosi dan pengalaman yang jauh lebih panjang.

Begitu juga dengan single Yang Tinggal, kolaborasi Malique, Zizi Kirana dan Yasin Sulaiman yang bukan sekadar mempertemukan tiga karakter muzik berbeza, tetapi turut membawa kisah tentang kehilangan, harapan dan perjalanan untuk kembali berkarya.

Dicipta oleh Malique dan Tripdisz, single ini mengangkat persoalan tentang perkara yang masih kekal apabila manusia berdepan kehilangan, peperangan dan kemusnahan.

Harapan, kasih sayang, ingatan dan nilai kemanusiaan menjadi antara perkara yang diterjemahkan menerusi penulisan serta susunan muzik, dengan setiap artis membawa interpretasi tersendiri.

Namun, di sebalik kolaborasi tersebut, kisah Yasin memberikan dimensi tersendiri kepada karya berkenaan. Inikerana bahagian vokalnya dirakam ketika dia masih berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Dilakukan dalam keadaan yang jauh berbeza daripada proses rakaman biasa, suara tersebut akhirnya menjadi sebahagian penting daripada hasil akhir.

Ruang Baharu Perjalanan Seni Yasin

Selepas keluar dari hospital, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu kembali bertemu rakan-rakan seni dan pihak media menerusi karya yang dirakam dalam satu fasa berbeza dalam hidupnya.

Pertemuan tersebut turut menjadi titik permulaan kepada hala tuju baharunya bersama Icon Records. Sebagai penyanyi, komposer dan penerbit muzik, Yasin mempunyai pengalaman panjang serta identiti tersendiri dalam industri muzik tempatan.



Menurut Pengarah Icon Records, Iman Tang, kerjasama tersebut bukan bertujuan mengubah identiti seni Yasin, sebaliknya memberi ruang untuk penyanyi itu kembali berkarya berdasarkan kekuatan dan pengalamannya.

Perancangan itu akan dibangunkan secara berperingkat, termasuk peluang menghasilkan muzik baharu, kolaborasi, penulisan, penerbitan serta projek kreatif lain yang bersesuaian.

Bagi Yasin, single Yang Tinggal membuka ruang kepada lembaran seterusnya dalam perjalanan seninya, daripada rakaman vokal yang dilakukan ketika berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta, kepada peluang untuk kembali menghasilkan karya dan terlibat dalam projek kreatif.

Kolaborasi ini turut menampilkan koir Voices of Bilad al-Sham daripada Cinta Salam Malaysia, bersama barisan pemuzik dan tenaga produksi yang melengkapkan susunan muziknya.

Terdahulu karya hasil kerjasama Icon Records dan Sony Music Entertainment Malaysia ini turut diperkenalkan menerusi sesi eksklusif Pre-Listening di Qarma Studio, Kuala Lumpur. Sesi berkenaan memberi peluang kepada tetamu terpilih mendengar hasilnya serta mengenali proses kreatif dan cerita di sebalik pembikinan.

Kini, dengan penyatuan Malique, Zizi Kirana dan Yasin Sulaiman, kolaborasi ini membawa lebih daripada sebuah karya muzik. Ia turut menjadi ruang untuk melihat semula perkara yang masih ada selepas melalui satu fasa perubahan suara, karya, harapan dan peluang untuk memulakan perjalanan yang baharu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments