| Harvest Moon menjadi antara tarikan langit malam pada penghujung September ini |
Oleh: J.TAWFEQ
LANGIT hujung September bakal dihiasi satu pemandangan yang menarik untuk diperhatikan, terutama buat mereka yang suka mendongak melihat langit malam.
Harvest Moon merujuk kepada Bulan purnama yang paling hampir dengan ekuinoks September, iaitu ketika Matahari melintasi garisan Khatulistiwa setiap tahun.
Bagi pemerhati di Malaysia, kemunculan Bulan purnama ini boleh menjadi antara tarikan langit malam pada penghujung bulan. Lebih menarik, Zuhal turut berada tidak jauh daripadanya, membolehkan kedua-dua objek itu diperhatikan dalam kawasan langit yang sama.
Menurut National Aeronautics and Space Administration (NASA), agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, Harvest Moon disenaraikan sebagai salah satu tarikan utama langit September 2026.
Dalam panduan skywatching mereka, Harvest Moon akan terbit di timur selepas matahari terbenam pada 26 September dan kelihatan berhampiran Zuhal, manakala Neptune turut berada di kawasan yang sama.
Zuhal boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi Neptune terlalu malap untuk dilihat tanpa bantuan binokular atau teleskop.
Bila Masa Terbaik Untuk Melihatnya?
Bagi pemerhati langit di Malaysia, Bulan purnama dijangka berlaku pada 27 September, jam 12.49 pagi, ketika Bulan berada dalam buruj Pisces. Pada malam yang sama, Bulan dijangka berada sekitar 6.8 darjah daripada Zuhal pada jam 8.18 malam, kira-kira sejam selepas terbit. Jarak 6.8 darjah itu merujuk kepada jarak sudut di langit, bukannya jarak sebenar antara Bulan dengan Zuhal.
Dalam erti kata mudah, kedua-duanya kelihatan agak berdekatan apabila diperhatikan dari Bumi, walaupun hakikatnya Zuhal berada jauh di luar kawasan sekitar Bumi.
Untuk melihatnya, pemerhati di Malaysia boleh mencari Bulan di langit malam dan memerhatikan objek terang yang berada berdekatan.
Zuhal boleh dilihat tanpa teleskop, walaupun rupa planet itu tidak akan kelihatan seperti imej Zuhal lengkap dengan cincinnya yang biasa kita lihat dalam buku atau gambar astronomi. Untuk melihat cincin tersebut dengan lebih jelas, teleskop diperlukan. NASA turut menyatakan Neptune jauh lebih mencabar dan memerlukan binokular atau teleskop.
Harvest Moon bukan bermaksud Bulan berubah menjadi warna tertentu atau menjadi lebih besar daripada biasa. Ia ialah nama tradisional bagi Bulan purnama yang berlaku paling hampir dengan ekuinoks September.
Pada 2026, ekuinoks September berlaku pada 23 September, beberapa hari sebelum Bulan purnama. Jadi, jika cuaca mengizinkan, hujung September boleh menjadi masa yang sesuai untuk berehat seketika dan melihat ke langit.
Tidak memerlukan peralatan canggih untuk menikmati pemandangan Bulan dan Zuhal. Tempat dengan pandangan langit yang lebih terbuka dan kurang gangguan cahaya sudah memadai untuk memulakan sesi skywatching sendiri.
Buat pemerhati langit di Malaysia, 27 September boleh ditandakan dalam kalendar sebagai salah satu malam menarik untuk mendongak ke langit, terutama bagi mereka yang mahu melihat sendiri kedua-duanya dalam satu pandangan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments