ADA sesuatu tentang makanan tradisi yang sukar dijelaskan hanya dengan fakta. Ia bukan sekadar hidangan di atas meja, tetapi cara sesuatu budaya bercerita. Sama ada tentang keluarga, masa lalu, ddan tentang rasa yang terus hidup dari generasi ke generasi.Semangat itulah yang kembali dihidupkan menerusi Festival Warisan Selera Selatan 2026 (FWSS 2026), edisi terbaharu yang menghimpunkan cita rasa Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dalam satu ruang yang sama.
Bertempat di Evo Mall, Bandar Baru Bangi, festival tiga hari ini akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2026, dari jam 10 pagi hingga 10 malam, dengan tema 'Rasa Asli Menu Tradisi, Kini Di Bangi Lagi'.
Selepas kejayaan edisi terdahulu yang menarik lebih 12,000 pengunjung, penganjuran kali ini dijangka lebih meriah dengan sasaran lebih 15,000 pengunjung hadir bukan sekadar untuk makan, tetapi untuk merasai pengalaman warisan itu sendiri.
Di setiap sudut festival, hampir 200 variasi hidangan warisan daripada lebih 25 vendor menanti untuk diterokai, masing-masing membawa identiti negeri yang berbeza tetapi saling melengkapi.
Daripada Mee Rebus Haji Wahid yang sinonim dengan Johor, kepada kepekatan Asam Pedas Melaka yang membangkitkan selera, hingga ke Masak Lemak Cili Api Negeri Sembilan yang kaya dengan rasa santan dan cili api di mana setiap hidangan hadir dengan cerita tersendiri.
Bukan itu sahaja, aroma Burasak, Lemang Periuk Kera, Rendang Maman Warisan, Apam Johol, Kuih Sopang, dodol dan keria gula Melaka memenuhi ruang festival, mengingatkan pengunjung kepada dapur-dapur lama yang mungkin pernah mereka singgah suatu ketika dahulu.
Rasa, Cerita dan Memori di Setiap Sudut
Lebih daripada sekadar ruang makan, FWSS 2026 dibina sebagai pengalaman yang menghubungkan rasa dengan emosi. Di satu sisi, alunan Zapin dan Kuda Kepang mengisi ruang udara, sementara di sisi lain, aroma masakan tradisi bercampur dengan langkah pengunjung yang bergerak dari satu gerai ke gerai lain, seolah-olah sedang mengembara merentas negeri tanpa meninggalkan Bangi.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung bukan hanya boleh menikmati makanan, tetapi turut menyaksikan demonstrasi masakan tradisi, menyertai pertandingan Variasi Rasa 3 Negeri, pertandingan busana tradisional, serta aktiviti keluarga seperti '2 Generasi 1 Potret' yang merakamkan momen antara generasi.
Suasana festival turut diserikan dengan persembahan artis tanah air, sesi kuiz warisan, serta sembang santai bersama individu yang dekat dengan dunia seni dan budaya menjadikan setiap hari festival terasa seperti satu perayaan kecil yang berterusan.
Sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung, 200 hidangan warisan akan diagihkan secara percuma, di samping cabutan bertuah serta Anugerah Vendor FWSS 2026 yang mengiktiraf usaha usahawan makanan tradisi dalam memelihara rasa asal warisan.
Barisan artis dan pempengaruh popular turut hadir memeriahkan suasana termasuk Haziq Rosebi, Siti Nordiana, Naqiu Boboy, Nizam Jentik-Jentik, Adzrin Adzhar, Papayen, Dzulfqar Dzolkifley, Seorangaen, Squiggly CK dan Sara Anna, sekali gus menjadikan festival ini bukan sahaja tentang makanan, tetapi juga tentang budaya popular yang dekat dengan masyarakat hari ini.
Di sebalik kemeriahan itu, FWSS 2026 membawa satu mesej yang jelas, warisan makanan tidak sepatutnya hanya kekal sebagai kenangan, tetapi perlu terus hidup, dimakan, dan diceritakan semula oleh generasi baharu.
Sokongan pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia, MPKj dan TEKUN Nasional turut menguatkan usaha menjadikan festival ini sebagai sebahagian daripada gerakan memelihara warisan kulinari negara.
Perjalanan FWSS tidak terhenti di sini. Edisi seterusnya pada 2027 bakal membawa pengunjung menyusuri pula rasa dari negeri-negeri utara, meneruskan perjalanan yang menghubungkan satu negeri ke satu negeri, satu rasa ke satu rasa.
FWSS 2026 bukan hanya tentang makanan yang dihidangkan, tetapi tentang cerita yang kekal. Satu negeri, satu rasa, satu warisan yang terus hidup.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments