LANGIT malam di Bukit Bintang bertukar menjadi medan pertempuran intergalaksi apabila Amazon MGM dan Sony Pictures Entertainment Malaysia menganjurkan pertunjukan cahaya dron berskala besar sempena tayangan filem Masters of the Universe yang bakal menemui penonton di pawagam.Bermula sekitar jam 10.30 malam, kawasan tumpuan ramai itu menjadi lokasi kepada persembahan visual yang mengagumkan apabila 600 dron berteknologi tinggi diterbangkan secara serentak, menghasilkan pelbagai formasi ikonik yang diinspirasikan daripada francais legenda tersebut.
Dikendalikan oleh pakar pertunjukan cahaya bertaraf dunia dari Hollywood, Heads in the Sky, persembahan berkenaan menampilkan imej-imej yang cukup dikenali peminat, termasuk pedang kuasa ikonik Power Sword dalam bentuk tiga dimensi yang bercahaya terang di ruang udara Kuala Lumpur.
Lebih mengujakan, para penonton turut disajikan dengan visual pertarungan sinematik berskala besar antara He-Man dan Skeletor yang dipaparkan menerusi susunan dron di langit malam, mencipta pengalaman seolah-olah berada di tengah-tengah dunia fantasi Eternia.
Malaysia Antara Negara Terpilih
Penganjuran acara ini turut mencatat satu pencapaian istimewa buat industri hiburan tempatan apabila Malaysia dipilih sebagai antara dua negara di dunia yang menjadi lokasi kempen global eksklusif tersebut, bersama Amerika Syarikat menerusi bandar Los Angeles.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan suasana, para tetamu dan pencipta kandungan yang hadir dibekalkan dengan Power Sword versi tiupan angin. Ketika kemuncak persembahan berlangsung, mereka mengangkat pedang tersebut secara serentak, sekali gus mencipta momen simbolik yang selari dengan jalan cerita filem berkenaan.
Reaksi penuh semangat daripada para peminat dan pengunjung turut dirakam secara langsung oleh pasukan produksi profesional untuk dimuatkan dalam video kompilasi global yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.
Pertunjukan itu diakhiri dengan satu formasi khas yang direka khusus untuk penonton tempatan apabila dron-dron berkenaan membentuk ucapan 'Malaysia We Have The Power!' di langit malam, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh daripada orang ramai yang memenuhi kawasan tersebut.
Menurut wakil Sony Pictures Entertainment Malaysia, objektif utama penganjuran acara itu adalah untuk menghadirkan pengalaman yang mampu menggabungkan elemen nostalgia dengan hiburan moden berskala besar.
Jelasnya, pemilihan Malaysia sebagai antara negara yang terlibat dalam kempen global eksklusif tersebut membuktikan betapa kuatnya sokongan dan semangat peminat tempatan terhadap francais berkenaan.
Melihat komuniti peminat berkumpul dan mengangkat Power Sword berlatarbelakangkan panorama Kuala Lumpur yang indah juga menjadi pembuka tirai yang sempurna menjelang tayangan filem itu di pawagam.
Filem
Masters of the Universe, yang digelar antara tayangan paling dinanti tahun ini, mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 Jun 2026.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments