'Iskul Mapan Mapan, Angkat Kisah Anak Bajau Laut Ke Pentas DBP


TIDAK semua perjuangan mendapatkan pendidikan bermula di dalam bilik darjah yang sempurna. Di Kampung Mapan-Mapan, Pitas, Sabah, perjuangan itu bermula dengan sebuah sekolah alternatif yang membuka ruang pendidikan buat sekumpulan anak Bajau Laut yang berdepan kemiskinan serta ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Latar kehidupan tersebut kemudiannya diangkat ke pentas menerusi Iskul Mapan Mapan, naskhah teater tulisan Roydy Rokidy yang membawa persoalan pendidikan, hak asasi dan kemanusiaan melalui kisah komuniti Bajau Laut.

Terdahulu, naskhah ini pernah dipentaskan oleh Kelana Production yang mewakili Kolej Kediaman Kinabalu (KK8), Universiti Malaya, menerusi Karnival Teater Universiti Malaya (KARVITER) 2025. Pementasan tersebut menyaksikan karya ini dinobatkan sebagai Johan KARVITER 2025 selain menerima pelbagai pengiktirafan lain.

Pencapaian itu kemudiannya membuka ruang untuk Iskul Mapan Mapan dibawa semula ke pentas, kali ini dalam skala lebih besar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selepas melalui beberapa bulan penelitian dan perancangan.

Kembali Dengan Skala Lebih Besar

Pementasan kali ini menghimpunkan gabungan mahasiswa, alumni Universiti Malaya serta pelakon dan tenaga profesional dalam bidang teater.

Produksi terbaharu diterajui Khai Sabri sebagai penerbit dan pengarah, dengan barisan pelakon terdiri daripada Akmal Ahmad, Azman Hassan, Naza Manas dan Afiyah Azli, selain Rash Meng, Aqib Rama, Nurul Fatin, Aishah Azman, Sin Sin, Leith, Nessa Chie dan Asri Zamri.

Berlatar era 1990-an, kisahnya mengikuti Pak Kasan yang dibantu Cikgu Aisyah dalam mengusahakan sebuah sekolah alternatif di Kampung Mapan-Mapan untuk anak-anak yang hidup dalam serba kekurangan.

Ketika itu, desakan hidup menyebabkan pendidikan kurang diberi perhatian, sementara ketiadaan dokumen pengenalan diri yang sah turut menyukarkan akses kepada sistem pendidikan formal.

Sekumpulan kanak-kanak yang belajar di Iskul Buhuk Mapan-Mapan hadir dengan cerita dan cabaran masing-masing. Perjalanan mereka memperlihatkan bagaimana peluang mendapatkan pendidikan berkait rapat dengan keadaan hidup serta keterbatasan yang dihadapi keluarga dan komuniti.

Penceritaan turut menyentuh kehidupan penduduk kampung yang bergantung kepada sebuah perigi, selain pengalaman Belut yang mengimbas kembali kisah tersebut apabila sudah dewasa.

Pementasan yang diterbitkan oleh Frame Art Studio dan Universiti Malaya dengan kerjasama DBP serta disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini membawa penonton melihat isu pendidikan dan kehidupan komuniti yang berdepan keterbatasan akses kepada sistem formal melalui sisi empati dan kemanusiaan.

Iskul Mapan-Mapan akan dipentaskan pada 22 hingga 25 Oktober 2026, jam 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur.

Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi CloudJoi atau dengan mengimbas kod QR pada poster di Instagram @frameartstudio_. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments