Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Bisikan Qarin: Di Sebalik Seram, Terselindung Pesan Akidah


TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran Islam terulung negara dengan mempersembahkan telefilem terbaharu berjudul Bisikan Qarin, yang bakal menemui penonton pada Ahad, 9 November 2025, jam 9 malam.

Karya terbitan Sha’s Media arahan Ayie Mustafa ini bukan sekadar kisah seram, tetapi sebuah naskhah dakwah yang mengangkat mesej mendalam tentang pergelutan antara logik, kepercayaan dan kekuatan iman.

Menariknya, Bisikan Qarin merupakan telefilem pertama yang akan ditayangkan secara eksklusif di aplikasi penstriman AlHijrah Plus (AH+) bermula 6 November ini, tiga hari lebih awal sebelum siaran di TV AlHijrah.

Langkah itu menjadi sebahagian strategi baharu stesen dalam memperluas capaian dakwah digital serta memperkenalkan kandungan Islamik berkualiti tinggi kepada penonton melalui platform mudah alih.

Penonton digalakkan memuat turun aplikasi AH+ untuk menikmati tayangan awal Bisikan Qarin serta pelbagai telefilem eksklusif lain yang bakal menyusul mulai Disember ini, sebelum disiarkan di kaca televisyen.

Naskhah ini mengisahkan Dr. Hilal dan keluarganya yang berpindah ke sebuah rumah lama di kampung. Gangguan ghaib yang berlaku menimbulkan tanda tanya dan kekeliruan hingga menguji keimanan mereka.

Isterinya, Husna, mula terpengaruh dengan cerita pembantu rumah yang mendakwa rumah itu diganggu makhluk halus, tetapi kebenaran yang terbongkar akhirnya menjadi lambang kepada tipisnya batas antara iman dan ilusi.

Seram Yang Mendidik Jiwa

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, karya ini mencerminkan pendirian tegas stesen terhadap pematuhan syariah dan nilai dakwah dalam setiap kandungan diterbitkan.

“Kami di TV AlHijrah tidak sesekali berkompromi dalam hal akidah dan pematuhan syariah. Walaupun Bisikan Qarin berlatarkan kisah seram, setiap elemen visual dan dialog disemak dengan teliti agar tidak menyeleweng daripada prinsip Islam.

"Ia mendidik penonton untuk menilai kepercayaan secara waras dan berpaksikan tauhid, bukan menakut-nakutkan dengan mistik kosong,” jelasnya.

Tambahnya lagi, penerbitan telefilem ini seiring dengan misi dakwah TV AlHijrah untuk mengimbangi hiburan dan pendidikan rohani bagi mendekatkan masyarakat kepada Islam melalui pendekatan kreatif.

“Kami mahu setiap karya yang disiarkan mampu mendidik jiwa dan minda penonton. Dalam konteks Bisikan Qarin, ketakutan yang dipaparkan bukan untuk menakutkan, tetapi untuk menyedarkan bahawa tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah SWT,” katanya.

Zulkarnaen turut menegaskan bahawa TV AlHijrah komited memperkasa industri kreatif Islamik dengan membuka ruang kepada penggiat seni yang mampu mengolah mesej dakwah melalui karya berkualiti tinggi.

“Kami mahu mengangkat genre Islamik ke tahap arus perdana yang dihormati. Dengan kerjasama penerbit seperti Sha’s Media, TV AlHijrah membuktikan bahawa karya yang mematuhi garis panduan syariah juga boleh menjadi naskhah hebat, berkualiti dan diminati ramai.

"Gangguan sebenar bukan datang daripada makhluk yang tidak kelihatan, tetapi hati yang jauh daripada zikir. Jika selepas menonton telefilem ini penonton terdorong untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah, maka kami percaya matlamatnya telah tercapai,” ujarnya.

Bisikan Qarin membawa penonton menilai kembali makna ketenangan dan ketakutan dari sudut spiritual bahawa setiap kegusaran hati hanya akan reda apabila jiwa berpaut kepada Allah SWT.

Sesi pratonton bersama media turut diserikan dengan perkongsian khas oleh Eksekutif Kanan Unit Pematuhan Syariah, Syed Ali Alattas Syed Hassan, yang mengupas mesej dakwah serta aspek pematuhan syariah dalam karya tersebut.


Menurutnya, produksi berunsur seram perlu ditangani secara berhati-hati agar tidak menimbulkan kekeliruan akidah atau ketaksuban terhadap unsur ghaib.

“Dalam Islam, setiap unsur seram atau ghaib mesti disampaikan dengan kefahaman syarak yang betul. Bisikan Qarin menonjolkan keberanian untuk mendidik penonton agar tidak tunduk kepada ketakutan palsu, sebaliknya kembali kepada kekuatan zikir dan doa.

"Inilah bentuk hiburan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyucikan. Saya melihat TV AlHijrah bukan sekadar menyiarkan program Islamik, tetapi menunaikan tanggungjawab sebagai pendidik ummah.

"Telefilem seperti Bisikan Qarin membuktikan bahawa karya hiburan juga boleh menjadi wahana dakwah yang beradab dan beretika,” katanya.

Wahana Tazkirah

Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Nadiya Nisaa, Intan Ladyana, Fezrul Khan dan Rashidah Jaafar, naskhah ini menonjolkan keseimbangan antara kepercayaan, iman dan kasih sayang keluarga dalam menghadapi ujian hidup.

Ia turut menyentuh isu kebergantungan masyarakat terhadap amalan khurafat dan menyeru penonton kembali kepada al-Quran dan sunnah sebagai benteng menghadapi cabaran spiritual era moden.

Bisikan Qarin adalah bukti bahawa karya seram juga mampu menjadi wahana tazkirah yang mengingatkan manusia untuk kembali kepada Allah di tengah-tengah kekeliruan dan ketakutan duniawi.

Luangkan masa pada Ahad, 9 November, jam 9 malam di TV AlHijrah untuk menyaksikan Bisikan Qarin, sebuah kisah yang menegur lembut hati agar kembali berpaut kepada keimanan, bukan ketakutan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments