DUNIA magis Disney bakal ‘hidup’ di depan mata peminat tempatan apabila Disney’s The Lion King Live in Concert akhirnya dibawakan ke Malaysia buat julung kalinya menerusi sebuah persembahan mega yang menggabungkan tayangan filem ikonik bersama iringan orkestra secara langsung.
Berlangsung di Dewan Plenari KLCC pada 13 Jun ini, persembahan anjuran Milestone Production dengan kerjasama Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO) Istana Budaya itu dijangka menjadi antara acara hiburan keluarga paling istimewa tahun ini, apatah lagi ia turut diadakan bersempena kempen Visit Malaysia 2026.
Lebih mengujakan, filem animasi legenda keluaran Disney tahun 1994 itu akan dipersembahkan bersama iringan 72 pemuzik secara langsung di bawah pimpinan Konduktor Residen NSO Malaysia, Eric Lee. Produksi tersebut turut menerima pengiktirafan dan kelulusan rasmi daripada Disney Concerts atas standard teknikal serta kualiti persembahan yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Penonton bakal dibawa menyelami semula dunia Pride Lands menerusi tayangan filem penuh di layar besar sambil diiringi skor muzik dan lagu-lagu ikonik hasil karya komposer terkenal dunia seperti Hans Zimmer, Elton John, Tim Rice dan Lebo M.
Gabungan visual sinematik dan persembahan muzik secara langsung ini dijangka mencipta pengalaman yang jauh lebih mendalam, emosional dan imersif berbanding menonton filem biasa.
Pengalaman Muzik Yang Lebih Hidup dan Emosional
Menurut Eric Lee, kekuatan utama konsert ini terletak pada bagaimana muzik dimainkan secara langsung mampu memberikan impak emosi yang lebih kuat kepada penonton.
“Ini akan membawa pengalaman yang sama sekali berbeza daripada mendengar rakaman di mana penonton benar-benar dapat merasai tenaga dan emosi orkestra secara langsung serta mengalami impak, resonans dan bunyinya sepenuhnya.
"Dengan skor ikonik Hans Zimmer, penonton dapat menghargai kekayaan orkestrasi dan harmoni kuat yang menjadikannya antara runut bunyi filem terlaris sepanjang zaman,” katanya.
Dalam masa sama, Pengarah Bahagian Produksi Istana Budaya, Hanida, menyifatkan penglibatan Istana Budaya dalam pementasan ini sebagai salah satu usaha memperkukuh landskap seni persembahan tempatan agar terus berkembang setanding produksi antarabangsa.
Menurutnya, sokongan terhadap Disney’s The Lion King Live In Concert juga mencerminkan komitmen berterusan institusi tersebut dalam memastikan ekosistem seni persembahan negara terus mampan dan relevan untuk jangka panjang.
| (Dari kiri) Eric Lee, Grace Lee dan Hanida Mohamed Yusof ketika sidang media Disney’s The Lion King Live In Concert baru-baru ini | FOTO: Milestone Production |
Sejak ditayangkan pada tahun 1994, The Lion King kekal sebagai antara karya animasi Disney paling berpengaruh dan dekat di hati penonton pelbagai generasi.
Kisah Simba yang sarat dengan elemen keberanian, kasih sayang dan pencarian jati diri menjadikan filem ini terus relevan sehingga hari ini. Malah, lagu-lagu ikonik seperti Circle of Life, Hakuna Matata dan Can You Feel the Love Tonight bukan sahaja membangkitkan nostalgia, tetapi turut menjadi elemen penting yang membentuk identiti filem tersebut selama lebih tiga dekad.
Dengan gabungan tayangan visual berskala besar dan persembahan muzik secara langsung, konsert ini dijangka membawa penonton kembali menikmati keindahan savana Afrika dalam suasana yang lebih emosional dan mengasyikkan, sesuai dinikmati bersama keluarga, rakan-rakan mahupun peminat setia Disney.
Tiket kini telah mula dijual pada harga RM168 hingga RM638. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman rasmi Milestone Entertainment. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments