DALAM dunia yang semakin dipenuhi tekanan hidup dan persaingan demi kelangsungan, soal hak, maruah dan nilai kemanusiaan sering menjadi garis halus yang membezakan antara benar dan salah.
Realiti inilah yang cuba diterokai menerusi HAK: Tuntut Atau Tunduk, sebuah naskhah cuba yang membawa penonton menyelami sisi gelap masyarakat moden menerusi kisah penuh konflik, emosi dan dilema moral. Ia hadir sebagai antara filem tempatan yang berani mengangkat realiti sosial semasa menerusi naratif yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.
Dibawakan oleh Astro Shaw bersama Enotech Pictures dan Icon Pictures, filem ini turut mendapat sokongan Etika Sdn Bhd menerusi jenama 7UP dan Mirinda dalam usaha memperluaskan penceritaan yang lebih reflektif dan relevan dengan isu semasa.
Bukan sekadar naskhah thriller biasa, filem arahan Ezrie Gazali ini menyentuh soal maruah, integriti dan perjuangan mempertahankan hak dalam dunia yang semakin dipengaruhi tekanan ekonomi dan perubahan sosial. Skripnya pula ditulis oleh Alfie Palermo, nama di sebalik siri premium One Cent Thief, berdasarkan idea asal oleh Santharuban Thurai Sundaram.
Cerita ini mengikuti perjalanan Hakim lakonan Syafiq Kyle, seorang pegawai operasi di pasar awam yang berdepan tekanan kewangan menjelang kelahiran anak pertamanya. Dalam keadaan terdesak, Hakim mula terjebak dalam eksploitasi yang memberi kesan kepada pekerja asing di sekelilingnya.
Namun keadaan menjadi lebih rumit apabila dia menemui sebuah beg berisi wang tunai, sekali gus mengheret dirinya dan keluarga ke dalam ancaman individu berbahaya yang mahu mendapatkan semula wang tersebut.
Selain Syafiq, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Mimi Lana, Kodi Rasheed, Fadhli Masoot, Aziz M. Osman dan Fizz Fairuz.
Penggambaran filem ini berlangsung di sekitar Lembah Klang dengan beberapa lokasi autentik seperti pasar awam dan kawasan pangsapuri dipilih bagi memberikan sentuhan visual yang lebih realistik.
Refleksi Masyarakat dan Nilai Kemanusiaan
Apa yang menjadikan HAK: Tuntut Atau Tunduk menarik bukan hanya konflik jenayah dan suspens yang dibawakan, tetapi keberaniannya mengupas isu yang semakin dekat dengan masyarakat hari ini.
Filem ini cuba melihat bagaimana tekanan hidup mampu mengubah seseorang, selain membuka ruang kepada perbincangan tentang pekerjaan, pemilikan, tanggungjawab dan hubungan sesama manusia.
Menurut Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd merangkap Penerbit Eksekutif filem ini, Amy Gan, kerjasama bersama Astro Shaw lahir daripada keinginan untuk menyokong karya yang mempunyai nilai lebih daripada sekadar hiburan.
“Melalui HAK: Tuntut Atau Tunduk, kami melihat peluang untuk menyokong sebuah cerita yang membawa perhatian kepada perbualan sosial yang sudah pun berlaku di sekeliling kita.
Pendekatan itu juga memperlihatkan bagaimana jenama komersial kini semakin terbuka untuk menjadi sebahagian daripada karya yang membawa mesej sosial dan emosi kepada penonton.
Dengan gabungan penceritaan intens, tema yang relevan serta barisan pelakon berpengaruh, HAK: Tuntut Atau Tunduk dilihat berpotensi menjadi antara filem tempatan yang mencetuskan perbincangan apabila ditayangkan di pawagam seluruh negara penghujung tahun ini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments