Tracie Sinidol Kini Wajah Rasmi Carlo Rino, Bawa Inspirasi Wanita Moden


JENAMA fesyen dan gaya hidup Carlo Rino membuka lembaran baharu apabila memilih bintang sedang meningkat naik, Tracie Sinidol, sebagai duta rasmi.

Pemilihan itu hadir seiring dengan usaha jenama berkenaan untuk terus mendekati wanita moden yang berani menampilkan personaliti sendiri, yakin dengan identiti diri dan tidak takut bereksperimen dengan gaya.

Dikenali menerusi personaliti ceria, mudah didekati dan semakin mendapat perhatian dalam industri hiburan tanah air, Tracie dilihat memiliki karakter yang selari dengan imej Carlo Rino. Aura muda, bergaya dan penuh keyakinan yang dibawanya menjadikan dirinya pilihan tepat untuk mewakili jenama itu, sekali gus menghubungkan dunia fesyen dengan gaya hidup wanita masa kini.

Di sebalik kolaborasi ini, kedua-dua pihak berkongsi aspirasi yang sama iaitu menggalakkan wanita meraikan keunikan diri melalui pilihan fesyen dan produk gaya hidup yang versatil serta sesuai digayakan dalam pelbagai situasi harian.

Sebagai duta rasmi, Tracie akan mewakili pelbagai kategori produk Carlo Rino termasuk beg tangan, kasut, penjagaan kulit, wangian dan aksesori. Melalui gaya peribadi yang autentik serta pendekatan moden terhadap fesyen, bintang berusia 25 tahun itu dijangka membawa nafas segar kepada komuniti pencinta fesyen yang sentiasa mencari inspirasi baharu.

Menurut Pengarah Urusan Carlo Rino, Datuk Sri Chiang Fong Yee, Tracie mewakili imej wanita moden yang ingin diketengahkan oleh jenama itu. Dengan personaliti yang yakin, bergaya dan sentiasa mengikuti perkembangan trend semasa, Tracie dilihat sebagai figura yang mampu mendekati generasi baharu wanita yang mencintai fesyen.

Pengaruhnya yang semakin berkembang serta hubungan autentik yang dibina bersama golongan muda turut menjadikan kerjasama ini satu padanan cukup serasi, selari dengan aspirasi Carlo Rino yang mahu terus relevan dalam landskap fesyen semasa.

Inspirasi Buat Wanita Muda

Kerjasama ini turut membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar dunia fesyen. Ia mengangkat idea bahawa setiap wanita berhak mengekspresikan pelbagai sisi diri mereka dengan penuh keyakinan, sama ada melalui pilihan gaya harian, rutin gaya hidup mahupun identiti peribadi yang ingin diketengahkan.

Dalam masa sama, Carlo Rino terus mengekalkan identitinya sebagai jenama yang menawarkan sentuhan kemewahan yang mudah didekati, tanpa mengabaikan elemen sofistikasi dan gaya yang dekat dengan cita rasa generasi muda.



Bagi Tracie sendiri, peluang untuk bekerjasama dengan Carlo Rino hadir secara semula jadi kerana nilai yang dibawa jenama itu begitu dekat dengan dirinya.

“Apa yang saya suka tentang Carlo Rino ialah bagaimana jenama ini menggalakkan wanita untuk mengekspresikan diri dengan yakin sambil terus menikmati keseronokan dalam berfesyen.

“Rekaannya terasa muda, versatil dan sangat dekat dengan gaya hidup harian saya, sekali gus menjadikan kerjasama ini terasa begitu semula jadi. Saya sangat teruja untuk mencipta lebih banyak inspirasi fesyen yang menyeronokkan dan bergaya bersama Carlo Rino,” katanya.

Sementara itu, Tracie terus mengukuhkan namanya dalam industri hiburan menerusi perkembangan kerjaya lakonan yang semakin memberangsangkan. Anak kelahiran Sabah itu baru-baru ini turut mencuri perhatian ramai menerusi kemunculannya dalam filem Malaikat Malam, yang menyerlahkan lagi versatiliti lakonan serta karismanya di layar.

Popularitinya yang semakin meningkat dalam kalangan generasi muda turut meletakkan Tracie sebagai antara personaliti yang semakin menyerlah dalam landskap hiburan dan gaya hidup tempatan.

Lebih daripada sekadar kolaborasi fesyen, gandingan ini memperlihatkan bagaimana gaya dan keyakinan diri mampu bergerak seiring.

Dengan pengaruh Tracie yang semakin berkembang serta identiti Carlo Rino yang dekat dengan wanita moden, kerjasama ini dijangka menghadirkan lebih banyak inspirasi buat mereka yang gemar bereksperimen dengan gaya tanpa mengabaikan keselesaan dan keaslian diri. Gabungan kedua-duanya turut menjanjikan pelbagai idea fesyen yang segar, moden dan relevan dengan gaya hidup generasi hari ini.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments