CASIO tampil dengan koleksi jam tangan kolaborasi terbaharu bersama Liberty, jenama ikonik dalam dunia reka bentuk dari United Kingdom yang terkenal dengan warisan seni tekstil yang kaya dan berpengaruh.Kolaborasi ini melahirkan dua model baharu iaitu AQ-230ELT dan AQ-230EBLT, yang menggabungkan identiti reka bentuk klasik Casio dengan sentuhan artistik Liberty yang lebih ekspresif dan berkarakter.
Liberty, yang diasaskan di London pada tahun 1875, telah lama dikenali sebagai salah satu nama penting dalam dunia seni reka dan tekstil. Gedung ini terkenal dengan rekaan fabrik yang unik, sarat dengan corak floral dan botani yang berwarna-warni serta penuh perincian.
Sepanjang lebih satu abad, rekaan Liberty telah melangkaui dunia tekstil semata-mata, meresap ke dalam pelbagai produk gaya hidup termasuk aksesori, barangan rumah dan fesyen, menjadikannya antara jenama reka bentuk yang dihormati di peringkat global.
Corak IkonikKedua-dua model ini berasaskan siri Casio AQ-230, sebuah jam tangan analog-digital dengan rekaan muka segi empat yang sudah lama menjadi pilihan bagi mereka yang menghargai gaya klasik yang ringkas tetapi versatil.
Untuk kolaborasi ini, rekaan diinspirasikan daripada corak ikonik Liberty iaitu Paisley Fanfare, yang diterjemahkan dalam bentuk motif paisley halus yang mengalir pada tali jam serta dial.
Setiap perincian corak pada jam tangan ini dihasilkan melalui teknik ukiran laser yang teliti, memberikan kemasan lebih halus dan tampak sofistikated. Logo Liberty turut diukir pada bahagian clasp dan penutup belakang casing, menambah sentuhan eksklusif yang memperkukuhkan identiti kolaborasi ini tanpa mengganggu estetika rekaan keseluruhan.
Dari segi pilihan warna, dua variasi ditawarkan iaitu silver case bersama silver band, serta gunmetal case dengan black band. Kedua-duanya direka dengan pendekatan yang lebih universal, menjadikannya mudah dipadankan dengan pelbagai gaya harian, sama ada santai mahupun lebih formal.
Setiap jam tangan turut hadir dalam pembungkusan khas yang menampilkan motif Paisley Fanfare, menjadikan keseluruhan persembahan produk ini lebih tersusun dan beridentiti.
Kolaborasi antara Casio dan Liberty ini memperlihatkan bagaimana dua dunia reka bentuk yang berbeza boleh bertemu dalam satu bahasa visual yang harmoni, antara ketelitian fungsi dan kehalusan seni. Ia bukan sekadar sebuah jam tangan, tetapi juga representasi bagaimana warisan reka bentuk klasik terus diberi nafas baharu dalam konteks gaya hidup moden.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments