Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia bersama Astro melancarkan Jaguh Rakan Muda, sebuah rancangan realiti baharu yang meraikan kekuatan, keberanian dan perpaduan belia Malaysia.
Program berkonsepkan pertandingan ini menjadi wadah inspirasi buat generasi muda untuk berani menyahut cabaran, menonjolkan daya ketahanan, semangat berpasukan dan keazaman diri melalui pelbagai ujian fizikal serta mental yang menguji had kemampuan mereka.
Penuh dengan tenaga dan emosi, Jaguh Rakan Muda akan mula bersiaran pada 10 November 2025, setiap Isnin jam 9 malam di Astro Ria (CH104), 9.30 malam di Astro AEC (CH306) dan 11.30 malam di Astro Vinmeen (CH202). Keseluruhan siri ini turut boleh distrim melalui Astro GO dan sooka.
Secara asasnya, program ini menjadi platform untuk belia Malaysia mencabar diri sendiri, berkembang dan mencungkil potensi mereka melalui 10 Gaya Hidup Rakan Muda iaitu Rakan Demokrasi, Rakan Litar, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.
Jaguh Rakan Muda mencerminkan komitmen Astro terhadap penghasilan kandungan tempatan yang meraikan semangat anak muda dengan menampilkan peserta berani, berdisiplin dan berwawasan dengan mencipta inspirasi sekali gus menyatukan rakyat Malaysia.
Belia Berdaya Saing, Generasi Masa Depan
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, KBS memberi tumpuan terhadap usaha membentuk generasi muda yang yakin, berdaya saing dan bersedia memimpin masa depan.
“Matlamat kami adalah untuk membina komuniti belia yang dinamik dan berdaya tahan, yang mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan serta perpaduan negara.
"Jaguh Rakan Muda merupakan salah satu inisiatif untuk merealisasikan visi ini dengan menyediakan peluang kepada golongan muda mencabar diri, memperkukuh kepimpinan dan memupuk semangat berpasukan melalui 10 Gaya Hidup Rakan Muda.
"Kami amat menghargai sokongan Astro dalam memperluaskan usaha ini menerusi kandungan berimpak tinggi yang menonjolkan kekuatan, kreativiti dan potensi belia Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario, menjelaskan bahawa matlamat utama Astro adalah untuk menghasilkan kandungan yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia.
“Kami komited dalam menghasilkan kandungan asli dan berkualiti tinggi yang mampu mencetuskan tindakan positif dalam komuniti.
"Jaguh Rakan Muda adalah contoh terbaik kerana ia memberi peluang kepada belia Malaysia menguji kemampuan diri serta menginspirasi orang lain melalui kisah sebenar yang sarat dengan semangat dan emosi dalam format hiburan yang menarik.
"Kerjasama bersama KBS ini mengukuhkan lagi peranan Astro dalam menyokong inisiatif nasional yang memperkasa generasi masa depan,” ujarnya.
Program ini menghimpunkan peserta berusia antara 13 hingga 30 tahun dari seluruh Malaysia hasil sesi uji bakat di lima zon utama; Utara (Pulau Pinang), Tengah (Kuala Lumpur), Pantai Timur (Terengganu), serta Sabah dan Sarawak.
Mereka datang daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, jurulatih kecergasan, peserta ratu cantik, pencipta kandungan, atlet kelainan upaya serta golongan profesional muda.
Sepanjang pertandingan, peserta akan berdepan pelbagai cabaran fizikal dan mental yang menguji ketahanan diri, kepimpinan serta kekuatan emosi. Pasukan terbaik akan dinobatkan sebagai Jaguh Rakan Muda dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM100,000.
Jaguh Rakan Muda turut menampilkan Mat Redho sebagai pengacara, bersama ikon badminton negara, Goh Liu Ying, dan Ain Edruce sebagai pengulas. Menambah warna kepada rancangan ini, beberapa pengulas jemputan seperti Intan Serah, Bang Med, Que Haidar, dan Denes Kumar juga akan tampil berkongsi pandangan unik mereka terhadap perjalanan para peserta. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments