TRAILER rasmi Stranger Things 5 yang baru sahaja dilancarkan menandakan momen penuh epik buat peminat di mana babak terakhir kisah Hawkins akhirnya bermula.
Selepas sekian lama terpisah, sekumpulan sahabat kembali bersatu, bersiap untuk cabaran paling getir dalam hidup mereka iaitu mencari dan menghapuskan Vecna, apa jua harga yang perlu dibayar.
Selepas kejadian dramatik membuka Rifts pada penghujung Musim 4, Hawkins kini berada di bawah kawalan ketenteraan dan suasana tegang terus memuncak. Vecna pula kembali menghantui, membawa mimpi ngeri baharu kepada watak-watak utama. Taruhannya kini terbalik sepenuhnya, ibarat dunia Upside Down mengambil alih realiti.
Untuk penantian kemuncak ini, Stranger Things 5 akan ditayangkan dalam tiga fasa eksklusif di Netflix iaitu Volume 1 pada 27 November 2025 (empat episod), disusuli Volume 2 pada 26 Disember 2025 (tiga episod), dan episod penutup The Finale pada 1 Januari 2026. Setiap tayangan bermula jam 9 pagi (MYT).
Kekacauan Bermula Dari Detik Pertama
Menjelang bab penamat ini, barisan pelakon, pencipta serta penerbit eksekutif Stranger Things mula memberi gambaran tentang apa yang menanti dan di mana perjalanan watak-watak ini bakal bermula.
Seperti yang dikongsikan Ross Duffer selaku Pencipta Bersama, Penerbit Eksekutif, Penulis dan Pengarah kepada Tudum, musim ini membawa aura berbeda daripada sebelumnya.
“Saya rasa apa yang menjadikan musim ini berbeza ialah ia bermula dalam keadaan yang agak kacau kerana wira-wira kita sebenarnya tewas di penghujung Musim 4.
"Selalunya, kami mulakan dengan kehidupan harian mereka pergi ke sekolah, hidup macam biasa sebelum elemen supernatural muncul perlahan-lahan. Tapi kali ini, musim ini terus memecut sejak detik pertama,” jelasnya.
Musim luruh 1987 membawa rentetan peristiwa yang suram di mana Hawkins penuh luka hasil pembukaan Rifts, dan kumpulan wira muda kembali bersatu dengan satu tujuan untuk mencari dan membunuh Vecna. Namun, penjenayah dimensi itu hilang tanpa jejak, menjadikan perburuan ini penuh ketidaktentuan.
Komplikasi bertambah apabila kerajaan mengisytiharkan kuarantin ketenteraan di Hawkins sambil meningkatkan operasi memburu Eleven, memaksa gadis berkuasa luar biasa itu sekali lagi bersembunyi.
Ketika ulang tahun kehilangan Will semakin hampir, perasaan ngeri yang pernah menghantui mereka kembali menyelubungi. Peperangan terakhir semakin dekat, membawa kegelapan yang jauh lebih ganas daripada apa yang pernah dilalui sebelumnya.
Untuk menamatkan mimpi ngeri ini, mereka perlukan semua ahli dan seluruh pasukan berdiri bersama, sekali lagi dan untuk kali terakhir.
Siri fenomena Strangse Things ini diterbitkan oleh Upside Down Pictures & 21 Laps Entertainment dengan The Duffer Brothers sebagai penerbit eksekutif bersama Shawn Levy dari 21 Laps Entertainment serta Dan Cohen.
Barisan pelakon merangkumi nama-nama besar seperti Winona Ryder, David Harbour, Millie Bobby Brown, Finn Wolfhard, Gaten Matarazzo, Caleb McLaughlin, Noah Schnapp, Sadie Sink, Natalia Dyer, Charlie Heaton, Joe Keery, Maya Hawke, Priah Ferguson, Brett Gelman, Jamie Campbell Bower, Cara Buono, Amybeth McNulty, Nell Fisher, Jake Connelly, Alex Breaux dan Linda Hamilton.
Kini, yang tinggal hanyalah detik untuk menyaksikan bab penutup yang dijanjikan sarat dengan debaran, nostalgia, dan kekuatan persahabatan yang selama ini menjadi jiwa siri ini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments