[REVIEW] Kata Hati: Rom-Com Selesa Ditonton, Tapi Terlalu 'Selamat'


INDUSTRI filem tempatan kembali menambah satu lagi naskhah romantik moden menerusi Kata Hati, arahan Nadiah Hamzah, yang cuba mengisi ruang rom-com yang semakin jarang diberi perhatian dalam landskap sinema tanah air sejak kebelakangan ini.

Dalam lambakan filem tempatan yang kini lebih cenderung kepada genre seram dan aksi, Kata Hati  muncul sebagai sebuah percubaan untuk membawa semula kisah cinta ringan, moden dan mudah didekati. Sebuah naskhah yang tidak terlalu kompleks, tetapi masih mahu menyentuh sisi emosi penonton.

Cerita ini mengikuti perjalanan Ayra Natasha lakonan Nia Atasha, seorang selebriti yang kehidupannya mula goyah selepas terpalit kontroversi viral. Dalam keadaan rapuh dan kehilangan arah, dia bertemu Imran (Yusof Hashim), seorang pemandu e-hailing yang melihatnya bukan sebagai bintang, tetapi manusia biasa yang sedang mencari ruang untuk bernafas.

Dari situ bermulalah perjalanan emosi yang cuba menggabungkan cinta, identiti dan pencarian diri. Premis ini jelas bukan sesuatu yang baharu dalam genre romantik di mana pertemuan antara dua dunia berbeza sudah lama menjadi formula asas rom-com.

Namun, naskhah ini cuba mengangkatnya dalam konteks yang lebih moden, dengan latar dunia media sosial, tekanan populariti, dan bagaimana imej seseorang boleh dibentuk atau dimusnahkan dalam sekelip mata berdasarkan persepsi awam.

Walaupun naratifnya bergerak dalam landasan yang agak familiar, filem ini tidak cuba menjadi sesuatu yang terlalu 'berat' atau terlalu eksperimental. Sebaliknya, ia memilih jalan selamat, sebuah kisah cinta hangat, santai, dan mudah diikuti.

Nadi Menghidupkan Cerita

Salah satu kekuatan dalam Kata Hati ialah bagaimana elemen komedi digunakan untuk menyeimbangkan emosi cerita. Humor tidak terasa dipaksa, sebaliknya hadir secara natural dalam interaksi watak, menjadikan ritma filem ini lebih hidup dan tidak terlalu melodramatik.

Keseimbangan tona ini turut diperkukuhkan melalui pilihan pelakon yang membentuk dunia cerita tersebut. Walaupun teraju utamanya dibarisi bintang baharu, sokongan daripada pelakon berpengalaman seperti Scha Al-Yahya memberikan sedikit graviti dan lapisan keyakinan dalam beberapa momen penting, sekali gus membantu memastikan elemen komedi dan emosi tidak terasa terlalu longgar atau berat sebelah.



Nadiah (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon Kata Hati | FOTO: Key Billions


Kata Hati terasa seperti sebuah rom-com yang tidak cuba membuktikan apa-apa selain menjadi kisah cinta yang selesa ditonton. Satu pilihan yang mungkin konservatif, tetapi tetap berfungsi untuk audiens yang mencari hiburan ringan.

Akhirnya, naskhah ini dilihat kekal bermain dalam ruang yang agak selamat. Ia tidak banyak mencabar genre, dan tidak benar-benar keluar daripada struktur rom-com yang sudah biasa dilihat. Kekurangan bukan pada ideanya, tetapi pada keberanian untuk mengembangkan idea tersebut.

Cerita bergerak dalam laluan yang sangat dijangka. Penonton sudah boleh meneka arah emosi, konflik dan penyelesaiannya sejak awal. Tiada banyak kejutan naratif, dan lebih penting lagi, tiada risiko yang benar-benar diambil untuk mengangkat cerita ini ke tahap yang lebih berlapis.

Secara keseluruhan, Kata Hati adalah sebuah rom-com yang mudah disukai, bukan kerana ia luar biasa, tetapi kerana ia tahu apa yang mahu dicapai iaitu membuat penonton tersenyum, sedikit ketawa, dan mungkin sedikit tersentuh di hujungnya.

Jangan ketinggalan menonton filem terbitan Wayangworks dan Filmscape ini di pawagam berdekatan mulai 4 Jun ini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


KATA HATI
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: P13
Genre: Romantik Komedi
Pengarah: Nadiah Hamzah
Pelakon: Nia Atasha, Yusof Hashim, Fazziq Muqris, Scha Al-Yahya, Takim Zaki, Norreen Iman
Terbitan: Wayangworks Sdn. Bhd. & Filmscape Sdn Bhd.
Tarikh Tayangan: 4 Jun 2026
Bintang: 6/10

Post a Comment

0 Comments