MENJELANG tayangan filem seram dramatik Khadam, sebuah karya muzik yang sarat emosi tampil melengkapkan pengalaman penceritaan filem tersebut menerusi lagu tema rasmi berjudul Tak Berlagu.
Karya yang dipersembahkan oleh Ernie Zakri itu bukan sekadar menjadi latar kepada perjalanan cerita, malah berfungsi sebagai suara kepada perasaan yang tidak terucap. Mengangkat tema kehilangan, kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu, Tak Berlagu menzahirkan kerinduan, doa dan harapan yang terpendam demi melindungi insan tersayang.
Dihasilkan menerusi kerjasama Rendra Zawawi dan NJWA, dengan lirik sepenuhnya ditulis oleh NJWA, lagu ini dibentuk mengikut perkembangan emosi watak utama, Melor. Susunan melodinya bergerak daripada nada yang lembut dan tenang sebelum berkembang menjadi lebih berat serta mendalam, selari dengan perjalanan emosi yang dilalui watak tersebut.
Menurut Penerbit Eksekutif Khadam, Datuk Ahmad Izham Omar, kekuatan utama lagu ini terletak pada bagaimana melodi dan ritmanya dibina secara terperinci dari sudut teknikal dan emosi, sekali gus bergerak seiring dengan perkembangan cerita serta perjalanan Melor sepanjang filem.
Pendekatan itu juga mencerminkan identiti Khadam yang memilih untuk menonjolkan kekuatan emosi berbanding bergantung sepenuhnya kepada elemen kejutan yang sering menjadi formula filem seram. Dalam karya ini, muzik memainkan peranan penting dalam membentuk suasana dan membantu penonton menyelami dunia dalaman setiap watak.
Sementara itu, Rendra pula menyifatkan kerjasamanya bersama NJWA sebagai elemen penting yang membantu memperhalusi lapisan emosi lagu tersebut. Sebagai seorang ibu, NJWA berjaya membawa perspektif yang lebih dekat dan jujur ke dalam melodi yang dihasilkan, menjadikan setiap bait terasa lebih tulus dan menyentuh perasaan.
Kerjasama Kreatif
Di sebalik pembikinannya, Tak Berlagu turut menampilkan sentuhan tenaga kreatif bertaraf antarabangsa. Proses adunan dilakukan oleh Alvin Wee, anak Malaysia yang kini menetap di Los Angeles, manakala proses mastering disempurnakan oleh Jett Galindo. Kedua-duanya merupakan penerima Anugerah Grammy yang diiktiraf dalam industri muzik global.
Lagu ini juga dirakam menggunakan orkestrasi alat muzik akustik secara langsung termasuk piano, violin, viola, cello dan double bass. Pendekatan tersebut memberikan tekstur bunyi yang lebih organik serta pengalaman mendengar yang lebih mendalam.
Bagi Ernie Zakri, penglibatannya dalam Tak Berlagu hadir daripada hubungan emosi yang kuat dengan kisah yang dibawakan oleh filem tersebut.
"Saya terpanggil kerana jalan cerita ini sangat dekat dengan perasaan saya sebagai seorang ibu. Apabila mengetahui ia merupakan kerjasama antara Rendra dan NJWA, saya terus yakin untuk menerimanya.
"Sepanjang rakaman, air mata saya tidak berhenti mengalir kerana saya benar-benar dapat merasai emosi itu," katanya.
Tak Berlagu merupakan hasil kerjasama antara Komet Productions, Red Communications dan Universal Music Malaysia, yang menghimpunkan kepakaran daripada dunia perfileman, komunikasi strategik dan penerbitan muzik dalam satu kolaborasi yang saling melengkapi.
Pelancaran lagu tema ini sekali gus memperluaskan kehadiran Khadam ke platform muzik digital dan membuka ruang kepada audiens untuk mengenali dunia filem itu lebih awal sebelum tayangan rasmi. Ia juga mengukuhkan identiti filem tersebut sebagai sebuah karya seram dramatik yang memberi perhatian kepada kekuatan emosi, ketelitian bunyi dan mutu produksi secara keseluruhan.
Tak Berlagu kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya bakal dilancarkan tidak lama lagi menerusi saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia. Sementara itu, Khadam akan m enemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments