Sebelum Salahkan Syampu, Ketahui Punca Sebenar Rambut Gugur


RAMBUT yang semakin banyak tertinggal di atas bantal, memenuhi sikat atau berkumpul di lantai bilik mandi sering dianggap sebagai perkara biasa.

Ada yang menganggap ia sekadar kesan cuaca, ada juga menyalahkan syampu yang digunakan. Tidak kurang yang terus menukar produk penjagaan rambut dengan harapan masalah itu akan berakhir.

Namun, rambut sebenarnya mempunyai cara tersendiri untuk ‘berkomunikasi’ dengan tubuh. Apabila ia mula gugur lebih banyak daripada kebiasaan, mudah putus atau kelihatan semakin menipis, mungkin ada sesuatu sedang berlaku di sebalik apa yang dapat dilihat pada permukaannya.

Walaupun kehilangan sejumlah rambut setiap hari adalah normal kerana rambut melalui kitaran pertumbuhan dan keguguran secara semula jadi, perubahan ketara tidak seharusnya dipandang ringan. Jika jumlah rambut gugur semakin banyak selama beberapa minggu, ia mungkin petanda bahawa tubuh memerlukan perhatian.

Salah satu cara mudah untuk membuat pemerhatian awal ialah melalui 'hair pull test'. Caranya mudah, pegang sekumpulan kecil rambut berhampiran kulit kepala dan tarik perlahan ke arah hujung rambut. Jika banyak helai tertanggal dengan mudah, ia mungkin menunjukkan rambut sedang mengalami keguguran yang lebih aktif daripada biasa.

Walaupun ujian ini tidak dapat mengenal pasti puncanya, ia boleh menjadi petunjuk awal untuk mendapatkan nasihat profesional.

Bila Masalah Rambut Bermula Dari Dalam Tubuh

Selama ini ramai memberi tumpuan kepada penjagaan luaran seperti syampu, serum atau rawatan kulit kepala. Namun, keadaan rambut sebenarnya sering dipengaruhi oleh apa yang berlaku di dalam tubuh. Jika rambut gugur disertai rasa letih berpanjangan, kuku rapuh, pening kepala atau haid yang banyak, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat faktor dalaman sebagai punca yang berpotensi.

Salah satu faktor sering dikaitkan dengan masalah ini ialah simpanan zat besi yang rendah. Menariknya, keadaan ini boleh berlaku sebelum seseorang mengalami anemia. Di sinilah ferritin memainkan peranan penting kerana ia bertindak sebagai penunjuk simpanan zat besi dalam badan. Apabila paras ferritin semakin rendah, tubuh mungkin mula menunjukkan pelbagai tanda seperti mudah letih, sukar menumpukan perhatian dan peningkatan keguguran rambut.

Bagi wanita, keadaan ini bukan sesuatu yang luar biasa. Kitaran haid bulanan, kehamilan, pemakanan yang kurang mengandungi zat besi atau amalan diet terlalu ketat boleh menyebabkan simpanan zat besi berkurangan tanpa disedari.

Selain zat besi, biotin juga sering menjadi antara nutrien yang dikaitkan dengan kesihatan rambut. Dikenali sebagai ‘vitamin rambut’, biotin membantu menyokong kesihatan rambut, kulit dan kuku. Ia mungkin bermanfaat bagi individu yang mengalami rambut lemah, mudah putus atau kuku rapuh.

Namun begitu, biotin bukanlah jawapan kepada semua masalah rambut gugur. Jika puncanya berkait dengan perubahan hormon, tekanan emosi atau kekurangan zat besi, penyelesaiannya mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza.

Sebelum tergesa-gesa membeli pelbagai suplemen, mulakan dengan perkara paling asas. Pemakanan seimbang, pengambilan protein mencukupi, makanan kaya zat besi, tidur berkualiti dan pengurusan stres yang baik merupakan antara faktor penting boleh menyokong kesihatan rambut dalam jangka panjang.

Pada masa sama, kurangkan penggunaan haba berlebihan, rawatan kimia agresif serta gaya rambut yang terlalu ketat kerana semua ini boleh menyebabkan rambut menjadi lebih rapuh dan mudah rosak.

Apa yang paling penting, proses pemulihan rambut memerlukan kesabaran. Rambut tidak berubah dalam sekelip mata dan hasilnya biasanya hanya dapat dilihat selepas beberapa bulan. Sebab itu, jangan terlalu cepat menilai keberkesanan sesuatu produk atau rawatan.

Rambut gugur mungkin bukan sesuatu yang perlu ditakuti, tetapi ia juga tidak seharusnya diabaikan. Kadangkala, helaian rambut yang tertinggal pada sikat bukan sekadar masalah kecantikan, sebaliknya petunjuk halus bahawa tubuh sedang meminta perhatian. - 7KLIK

[Kredit: Terima Kasih Ahli Farmasi Ng Yi Ling, Pengurus Pembangunan Profesional dan Penjagaan, Farmasi Alpro]


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments