Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Semua Selamatkan Pokok, Tapi Siapa Selamatkan Ketam?


SEBAGAI rantau yang dikelilingi lautan luas, Asia Tenggara kaya dengan sumber marin. Laut membentuk budaya kulinari kita, menjadikan makanan laut sebahagian besar daripada kehidupan harian.

Kita di Malaysia pun sememangnya pencinta makanan laut, tidak kira mentah, bakar atau dijadikan hidangan tradisi.

Namun di sebalik kebergantungan ini, realitinya semakin membimbangkan. Pembangunan pesat di kawasan pesisir dan pembandaran telah menyebabkan kemusnahan habitat yang ketara, sekali gus menjejaskan biodiversiti marin termasuk populasi ketam.

Ketam memainkan peranan penting dalam ekosistem laut, dan bila jumlah mereka semakin berkurang, ia mengganggu keseimbangan rantai makanan serta spesies marin lain yang bergantung kepada mereka.

Di peringkat serantau, laporan BRIN (Badan Riset dan Inovasi Nasional Indonesia) bertajuk 'Pengelolaan Sumber Daya Perikanan Laut Berkelanjutan' pada 2023 menunjukkan bahawa Asia Tenggara mengalami penurunan pengeluaran ikan sehingga 7.5 juta tan setahun, satu kerugian ekonomi yang dianggarkan bernilai sekitar USD22.5 bilion.

Antara punca utama ialah perubahan iklim, pencemaran bahan kimia dan plastik, serta kemerosotan ekosistem seperti terumbu karang dan hutan paya bakau, yang kesemuanya memberi kesan langsung terhadap hasil laut.

Ketam Dalam Tangki: Usaha Komuniti Tangani Krisis Sumber Laut

Di wilayah Papua Barat, Indonesia, kesan kekurangan sumber laut ini semakin ketara, terutamanya melibatkan ketam. Penangkapan ketam berlebihan telah menyebabkan populasi semula jadi ketam merosot dengan mendadak, mengancam mata pencarian nelayan termasuk komuniti kecil seperti kumpulan penternak ketam Togar Puan di Kampung Patimburak.

Adino, salah seorang ahlinya, berkongsi cabaran yang dihadapi oleh mereka yang bergantung kepada hasil laut. Daripada perubahan iklim yang menjejaskan habitat bakau hingga kesukaran mencari makanan ketam, semuanya memberi tekanan kepada usaha mereka.

“Kami sedar perubahan ni penting untuk kelestarian ekosistem laut. Itulah yang mendorong kami, bagaimana komuniti boleh terus guna hasil laut tanpa menghabiskannya,” kata Adino.

Pada 2020, Kaleka, sebuah organisasi penyelidikan bukan berasaskan keuntungan di peringkat nasional mula bekerjasama dengan Togar Puan untuk menangani isu ini.

Namun pendekatan awal menghadapi cabaran, terutama dari segi saiz dan jenis bekas ternakan yang sukar diperoleh.

Selepas beberapa tahun, pada 2024, Kaleka kembali dengan pendekatan baharu iaitu ternakan ketam menggunakan bahan tempatan seperti buluh yang mudah didapati di Patimburak.

Bekas ternakan kini boleh disesuaikan mengikut kehendak penternak, dan komuniti boleh bina sendiri bekas tambahan menjadikan aktiviti ini lebih inklusif dan mudah disertai sesiapa sahaja.

“Kali ini kami cuba kaedah baharu, iaitu akuakultur restoratif. Maksudnya penternakan dijalankan serentak dengan usaha memulihara stok ketam di habitat asal.

"Setiap ketam diletakkan dalam bekas berasingan berhampiran rumah ketua kumpulan Togar Puan supaya senang dipantau. Bila ada ketam betina bertelur, ia akan dilepaskan semula ke hutan bakau untuk pastikan populasi terus terjaga,” jelas Venticia Hukom, Pengarah Penyelidikan Kaleka.

Selain mengukur saiz dan berat ketam, Kaleka juga membantu nelayan memantau tahap ammonia dalam air, langkah penting untuk menjaga kualiti air dan mengelak kematian ketam.

“Ini supaya nelayan faham kepentingan jaga kualiti air bagi menjamin kelangsungan ternakan. Dan bila ketam betina yang bertelur dilepaskan semula, komuniti juga belajar cara jaga stok ketam semula jadi,” tambahnya lagi.



Kaleka turut membantu membina satu sangkar ternakan berukuran 8x8 meter yang unik, menggabungkan ketam dan tanaman bakau sebagai pelindung cahaya matahari, dengan kapasiti sehingga 100 ekor ketam. Tujuannya untuk mencipta habitat yang menyerupai keadaan semula jadi agar ketam membesar secara optimum.

Bagi Adino, langkah-langkah ini hanya akan lebih bermakna jika disokong dengan dasar dan kesedaran awam.

“Perlu ada peraturan tentang permintaan pasaran, terutama ketam betina. Kalau dibiarkan bertelur dulu sebelum ditangkap, ia boleh kekalkan stok semula jadi dan bantu ekonomi,” katanya.

Dia juga percaya, dengan sangkar berskala besar yang terbuka kepada pengunjung, aktiviti ini juga boleh jadi tarikan ekopelancongan baru untuk Patimburak.

“Orang luar boleh datang belajar tentang kitar hidup ketam dan cara kami ternak sambil sokong pendapatan komuniti,” ujarnya.

Kerjasama antara Kumpulan Togar Puan, Kaleka dan kerajaan tempatan membuktikan bahawa pemuliharaan sumber laut bukan hanya tentang alam tetapi tentang masa depan ekonomi dan kehidupan masyarakat pesisir.

Dengan pendekatan ekonomi restoratif, nelayan bukan sekadar penerima bantuan, tapi jadi penjaga ekosistem yang berdaya tahan dan berdikari.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments