SELEPAS sembilan tahun bersiaran di konti Suria FM, Suraya Borhan akhirnya menamatkan tugasnya sebagai penyampai radio apabila kontraknya bersama stesen tersebut tidak disambung.
Perpisahan yang penuh emosi itu diumumkan secara langsung oleh Suraya sendiri ketika bersiaran untuk kali terakhir menerusi segmen Suria Petang, bersama gandingannya Chiwan, pada Jumaat.
"Hari ini hari terakhir saya ke udara di Suria (FM). Itulah pengumuman saya," kata Suraya dalam nada sebak yang menggambarkan beratnya perpisahan itu.
Menurutnya, dia sudah mengetahui tentang penamatan kontrak tersebut sejak dua minggu lalu, namun memilih untuk menyimpannya sehingga hari terakhir bersiaran.
“Saya bukan berhenti, tapi kontrak saya dah habis 12 Ogos ini. Hari ini, saya diberitahu adalah hari terakhir untuk saya ke udara di Suria.
“Saya simpan berita ini selama dua minggu. Banyak persoalan yang orang tanya, tapi ada benda yang saya tak boleh jawab.
"Jadi hari ini adalah hari rasmi untuk saya memberitahu ini adalah hari terakhir saya di Suria FM,” jelasnya tenang.
Dalam nada yang jujur dan terbuka, Suraya menjelaskan bahawa meskipun tidak lagi bersama Suria FM, cintanya terhadap dunia penyiaran tidak pernah luntur.
Malah, ibu kepada dua anak itu berharap agar masih berpeluang untuk meneruskan kerjayanya sebagai penyampai radio selepas ini.
“Saya tidak berhenti dalam dunia penyiaran radio, dan saya masih lagi perlukan pekerjaan. Kalau nampak saya bekerja di tempat lain selepas ini, itu adalah kerana saya masih ada komitmen yang perlu dilunaskan. Anak-anak masih kecil dan saya masih perlu bekerja,” katanya.
Pendengar Setia Terkesan
Suraya, 43, Suraya yang pernah berkhidmat di stesen radio Hot FM menyertai Suria FM pada 2016 dan setia bersama stesen radio itu sehinggalah kontraknya ditamatkan.
Selama sembilan tahun, dia bukan sahaja mencipta pelbagai kenangan indah, malah turut membina hubungan erat dengan rakan-rakan penyampai yang dianggap sebagai keluarga sendiri.
Justeru, dia turut mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih buat semua rakan sekerja dan pendengar yang telah menjadi sebahagian besar hidupnya sepanjang sembilan tahun di konti.
"Terima kasih kepada rakan-rakan penyampai yang sentiasa bersama saya sepanjang bertugas di sini. Kita semua macam satu keluarga, dan saya harap ikatan ini tidak akan berakhir walaupun saya tidak lagi berada di Suria.
"Semoga kita dapat terus mengekalkan silaturahim di luar juga," katanya mengakhiri ucapan perpisahan yang menyentuh hati.
Sebelum ini, pelakon Datuk Fizz Fairuz turut mengumumkan pengundurannya daripada Suria FM pada 18 Julai lalu selepas setahun enam bulan bersama stesen radio itu mengendalikan segmen Morning Morning Suria.
Pengunduran dua figura ini menjadi perbualan hangat di laman media sosial dan secara tidak langsung memberi kesan besar kepada pendengar setia stesen radio berkenaan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- Sinar Perkenal Penyampai Baharu, Sarah Kamilla
- Sharifah Shahirah Sertai Radio SINAR
- Penyampai 3Pagi ERA Kembali Ke Konti Selepas Direhatkan
0 Comments