Hot Posts

6/recent/ticker-posts

MAX, Jay ENHYPEN Berpadu Suara Dalam ‘Love Insane’


PENYANYI dan penulis lagu, MAX nampaknya sedang menikmati tahun paling hebat dalam kariernya. Selepas menjual habis tiket konsert jelajah utama di seluruh Amerika Syarikat untuk album Love In Stereo (2024), performer versatil ini terus memecut ke hadapan dengan pelancaran single terbaharu berjudul Love Insane yang menampilkan Jay daripada kumpulan K-pop sensasi, ENHYPEN.

Love Insane yang dihasilkan di bawah label Hundred Days Records, menjadi rilisan pertama MAX selepas album penuhnya, dan memperlihatkan evolusi baharu dalam perjalanan muziknya.

Lagu ini bukan saja dipenuhi emosi dan tenaga, tetapi turut menggabungkan vokal 'soulful' MAX yang menjadi identitinya bersama suara lembut dan penuh karisma daripada Jay.

Gabungan dua dunia iaitu pop Barat dan K-pop menjadikan kolaborasi ini antara yang paling dinanti dan menarik perhatian peminat muzik global.

Dari Blueberry Eyes ke Love Insane

Sebenarnya, ini bukan kali pertama MAX ‘bercinta’ dengan dunia K-pop. Sebelum ini, dia pernah bekerjasama dengan SUGA dari BTS menerusi lagu Blueberry Eyes, dan dengan Huh Yunjin dari LE SSERAFIM dalam lagu Stupid In Love.

Kedua-duanya menjadi hit, dan Love Insane hadir sebagai sambungan kepada sejarah kolaboratif MAX yang berjaya menyeberangi sempadan budaya dan bahasa.

Bukan hanya dari segi muzik, MAX juga sedang menikmati detik kemuncak sebagai penghibur pentas. Siri jelajah globalnya yang lalu bukan sahaja sold-out di Amerika Utara, Asia dan Eropah, malah turut menyaksikan dia memukau ribuan peminat di festival terkenal seperti Lollapalooza dan iHeartRadio Music Festival, selain pentas teater lebih intim di Tokyo, Seoul dan London.

Auranya di pentas telah meletakkan MAX sebagai antara bintang pop yang memiliki daya tarikan yang luar biasa.

Menerusi Love Insane, MAX tampil berani dengan bunyi yang lebih segar di mana gabungan bass bertenaga dan melodi yang melekat di kepala walaupun selepas lagu tamat. Lagu ini jelas mencerminkan kepercayaan diri MAX yang semakin tinggi, serta kesanggupannya untuk bereksperimen dan menyerap pengaruh muzik dari seluruh dunia.

Bagi Jay pula, penampilannya dalam single tersebut adalah projek kolaborasi antarabangsa pertamanya secara rasmi. Sebagai anggota ENHYPEN, Jay membawa bukan hanya suara unik, tapi juga satu komuniti peminat setia dari seluruh dunia.

Kolaborasi ini sekali gus menandakan satu langkah besar dalam perjalanan solonya dan membuktikan betapa besar pengaruhnya di luar dunia K-pop.

Dengan klip video rasmi Love Insane yang dilancarkan serentak dengan single pada 18 Julai lalu, para peminat boleh menyaksikan visual surreal dan persembahan artistik yang memukau daripada kedua-dua bintang ini.

Lagu ini kini tersedia di semua platform penstriman utama dan anda boleh menikmati 'banger' musim panas ini.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments