Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Lagu Untuk Yang Telah Pergi – Aishah Bangkitkan Kenangan Dalam 'Taman Keabadian'


Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN

HAMPIR hampir empat dekad mewarnai dunia seni suara tanah air dan antarabangsa, penyanyi Datuk Aishah kekal teguh sebagai penyanyi yang terus berkarya dengan jiwa dan makna.


Terbaru, Aishah atau nama lengkapnya, Wan Aishah Wan Ariffin hadir dengan single baharu berjudul Taman Keabadian, sebuah lagu yang mengangkat tema kehilangan, kerinduan dan pertemuan semula, karya ciptaan Senna yang cukup emosional.

Lagu menyentuh hati ini membawa tema tentang kehilangan insan tersayang seperti ibu bapa, sahabat, pasangan atau teman seperjuangan yang telah pergi.

Menurut Aishah, Taman Keabadian mengajak pendengar untuk melihat kesedihan bukan sekadar sebagai akhir, tetapi sebagai satu janji pertemuan di tempat abadi.

“Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negeri abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati.

“Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana… di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian,” ujarnya penuh emosi.

Hadiah Buat Hati Yang Masih Merindu

Bagi Aishah, lagu ini bukan sekadar karya, tetapi sebuah hadiah buat mereka yang sedang merindui orang yang telah pergi. Meniti usia 60 tahun, dia tetap ingin berkongsi karya dan semangatnya kepada pendengar yang mungkin sedang bersedih, atau memerlukan ketenangan jiwa.

“Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negeri abadi.

“Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat. Ini hadiah saya buat anda semua,” katanya.

Sementara itu, Senna, selaku komposer berkata, karya tersebut ditulis khas buat Aishah kerana hanya dia yang diyakini mampu menyampaikan roh lagu itu dengan penghayatan paling sempurna.

“Lagu ini begitu peribadi buat saya. Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tetapi penuh penghayatan dan spiritual.

“Saya yakin hanya Aishah sahaja yang dapat membawa roh lagu ini dengan begitu mendalam. Dia menyanyi bukan hanya dengan suara, tetapi dengan seluruh jiwa,” katanya.


Single istimewa itu juga merupakan simbol keutuhan Aishah, dalam dunia seni sebagai seorang artis yang terus relevan berkarya dan menyentuh hati generasi demi generasi.

“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus menyanyi dan berkarya. Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya, dan saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain,” katanya.

Single Taman Keabadian akan dilancarkan di semua platform digital mulai 8 Ogos ini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments