Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kontroversi 'Trauma' Melodi Terhangat



[Nota Kedai Kopi Bandara]

SOALAN yang cukup mudah untuk ditanyakan kepada TV3 dan Melodi, apa tujuan Anugerah Melodi Terhangat diadakan?

Apakah sekadar untuk kejar viral, kontroversi, tumpang trauma orang lain atau sebenarnya nak ikhtiraf mereka yang hangat, popular dan berbakat menerusi undian peminat?

Moto Melodi 'Tingkatkan Prestasi, Kurangkan Kontroversi dan Berdiri Atas Bakat Sendiri' nampaknya indah khabar daripada gambaran sebenar.

Anugerah yang berlangsung malam tadi sekadar anugerah yang sengaja diwujudkan untuk sensasi. Sedangkan dalam usia TV3 dan Melodi yang bukan setahun jagung itu, mempertaruhkan trauma Bella Astillah dan terpalitnya Sophia Albarakbah bukan sesuatu yang bijak dan wajar.

Amat memalukan kerana ia program secara langsung. Bukan mata di dewan sahaja menonton tetapi seluruh dunia sedang melihat betapa tidak cerdiknya tindakan itu.

Cerita Bella, Sophia itu cerita lama. Mereka semuanya sudah ‘move on’ dengan  agenda hidup masing-masing. Mengapa pula perlu dipertontonkan ‘drama sebabak yang mual’ itu tanpa restu keduanya. Pastinya juga tanpa pengetahuan keduanya.

Bagaimana agaknya jika seorang lagi bintang wanita yang turut hangat dikaitkan dengan Bella dan mantan suaminya turut tercalon dan menang pula? Saya tidak mahu menyebut nama pelakon wanita itu  di sini. Rasanya semua orang tahu.

Cuma yang ingin saya sampaikan adalah, setiap orang ada trauma dan cerita pilu yang ingin dipinggirkan serta dihapuskan dalam kamus hidup mereka. Mengapa pula di saat malam penghargaan kepada karyawan seni, luka lama dan trauma lalu diungkap kembali.

Simpati saya pada Bella Astillah dan Sophia Albarakbah. Mereka menjadi mangsa keadaan. Lihat sahaja betapa jelas hela nafas Bella dua kali tersekat sebelum umumkan nama Sophia. Dalam saat ini jangan tuduh Bella tidak profesional, jika saya sendiri dihadap dengan kejutan sebegitu saya pasti tersentak. Jangankan menyebut nama, memandangpun saya tidak mahu.

Apatah lagi untuk seorang wanita yang diuji pengalaman rumahtangga yang bukan biasa-biasa. Sophia pun saya pasti kurang selesa dengan situasi begitu.

Sewajarnya Anugerah Melodi Terhangat fokus pada Daiyan Trisha selaku pemenang utama, tidak pun Cik Puan Sarimah yang setelah 25 tahun memegang anugerah dan mereka yang lainnya mempertaruhkan bakat dan sokongan peminat. Ini tunggang cerita trauma orang lain. Aduhai…

TV3 dan Melodi wajar memohon maaf pada kedua-duanya. Jika Bella tidak menjadi penyampai anugerah Selebriti Feminin Terhangat semua ini tidak akan berlaku bukan?

Fikir-fikirkanlah. Binalah sedikit empati sesama manusia di saat anda ingin mengejar FYP, viral atau sensasi. - 7KLIK

~ Nota by Jebat Iskandar ~

(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments