Oleh: SORAYA AFNAN
MALAYSIA bukan sekadar destinasi dengan pemandangan indah dan budaya yang pelbagai, tetapi juga sebuah negara yang menyimpan kisah melalui setiap hidangan tradisionalnya. Walaupun nasi lemak, char kuey teow, roti canai, laksa dan sate sering menjadi pilihan utama, masih banyak khazanah kulinari daerah yang menanti untuk diterokai.Setiap negeri mempunyai sajian tersendiri yang mencerminkan sejarah, geografi serta kehidupan komuniti setempat. Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang memberi tumpuan kepada warisan kulinari negara, inilah masa terbaik untuk keluar daripada laluan biasa dan mengenali Malaysia melalui cita rasa unik di setiap negeri.
Menerusi redBus Malaysia Food Map, pengembara kini boleh merancang perjalanan sambil menemui hidangan daerah yang bukan sahaja enak, tetapi turut membawa cerita turun-temurun.
Masak Lemak Cili Api Itik Salai (Negeri Sembilan)Bagi pencinta makanan pedas, Masak Lemak Cili Api Itik Salai merupakan antara hidangan yang wajib dicuba. Kuah kuning berasaskan kunyit, santan dan cili api digabungkan bersama daging itik yang disalai perlahan sehingga menghasilkan rasa berasap, berlemak dan kaya aroma.
Teknik menyalai secara tradisional dipercayai digunakan masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan sebagai kaedah mengawet daging sebelum kewujudan peti sejuk. Apabila pengaruh Minangkabau dari Sumatra hadir, teknik tersebut digabungkan dengan kuah santan berempah sehingga melahirkan hidangan ikonik ini.
Sambal Hitam Belimbing Buluh (Pahang)Berbeza daripada sambal biasa, Sambal Hitam Belimbing Buluh Pahang mempunyai warna gelap serta rasa unik hasil proses merebus belimbing buluh selama berjam-jam sehingga menjadi pes pekat. Digoreng bersama cili api, bawang dan ikan bilis, sambal ini menawarkan gabungan rasa masam, pedas dan gurih yang sempurna bersama nasi panas.
Dahulu digunakan sebagai cara mengawet hasil tanaman berlebihan, kini ia menjadi makanan istimewa Pahang yang sering dijadikan buah tangan.
Pek Nga (Kedah)Di tengah hamparan sawah padi Kedah, Pek Nga menjadi simbol sarapan desa yang diwarisi turun-temurun. Lempeng kelapa tradisional ini mempunyai tekstur lembut dengan rasa kelapa yang tersendiri dan biasanya dinikmati bersama kari ikan, sambal ikan bilis atau ikan masin.
Hidangan ringkas ini pernah menjadi bekalan tenaga petani sebelum turun ke sawah dan sehingga kini kekal menjadi sajian pagi yang dekat dengan masyarakat Kedah.
Laksam (Kelantan)Kelantan pula menawarkan Laksam, hidangan yang berbeza daripada variasi laksa lain di Malaysia. Menggunakan gulungan tepung beras yang tebal, Laksam disajikan bersama kuah putih berasaskan ikan kembung, santan, bawang merah dan lada hitam.
Gabungan ulam segar, taugeh rangup dan sambal pedas menjadikan hidangan ini mempunyai identiti tersendiri. Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu antara lokasi popular untuk menikmati sajian tradisional ini.
Umai (Sarawak)Beralih ke Sarawak, Umai memperlihatkan hubungan erat masyarakat Melanau dengan kehidupan pesisir pantai. Hidangan ini menggunakan isi ikan segar yang diperap dengan jus limau sebagai kaedah penyediaan tradisional tanpa menggunakan api.
Digaul bersama cili, bawang merah, garam dan sagu goreng rangup, Umai menawarkan rasa masam, gurih dan segar yang mencerminkan kekayaan hasil laut Sarawak.
Tuaran Mee (Sabah)Melengkapkan perjalanan gastronomi ini ialah Tuaran Mee, hidangan mi ikonik Sabah yang berasal dari pekan Tuaran. Dicipta pada tahun 1952 oleh Madam Si, mi telur buatan tangan ini digoreng dengan api besar sehingga menghasilkan tekstur unik dan aroma sedikit garing.
Resipi ini kemudiannya berkembang sebagai hidangan istimewa masyarakat Sabah, khususnya hasil pengaruh komuniti migran Cina Hakka.
Meneroka Malaysia melalui makanan membuka peluang untuk mengenali kisah di sebalik setiap negeri. Daripada masakan pedas Negeri Sembilan hingga sajian laut Sarawak, setiap hidangan membawa identiti dan warisan tersendiri.
Melalui redBus Malaysia Food Map, pengembara boleh menemui lebih banyak destinasi kulinari tempatan serta berkongsi cadangan makanan wajib cuba untuk membantu lebih ramai menikmati perjalanan penuh rasa di Malaysia.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments