Menyingkap Sisi Berbeza Putrajaya, Dari Landskap Ikonik Hingga Pengalaman Gaya Hidup

(Atas kiri) Moxy Putrajaya, Le Méridien Putrajaya dan Palm Garden Hotel Putrajaya

Oleh: SORAYA AFNAN
DIKENALI sebagai pusat pentadbiran negara yang tersusun dengan seni bina ikonik dan landskap hijau yang memukau, Putrajaya kini semakin berkembang sebagai destinasi yang menawarkan lebih daripada sekadar urusan rasmi.

Gabungan tarikan rekreasi, pengalaman kulinari, ruang acara dan pilihan penginapan menjadikan bandar ini antara lokasi yang semakin mendapat perhatian pelancong tempatan serta antarabangsa.

Perkembangan ini turut dipacu oleh IOI Resort City, sebuah destinasi gaya hidup bersepadu yang menghimpunkan elemen hospitaliti, hiburan dan perkhidmatan acara dalam satu kawasan.

Menerusi tiga hotel utamanya iaitu Le Méridien Putrajaya, Palm Garden Hotel Putrajaya dan Moxy Putrajaya, pengunjung kini mempunyai pilihan pengalaman yang berbeza mengikut gaya percutian masing-masing.

Daripada penginapan moden yang berinspirasikan seni dan budaya, suasana resort yang santai, hinggalah konsep hospitaliti yang lebih dinamik dan sosial, setiap hotel membawa karakter tersendiri dalam memperkukuh landskap pelancongan Putrajaya.

Pengurus Besar Le Méridien Putrajaya, Sonal Malik berkata, trend pelancongan masa kini menunjukkan pengunjung semakin mencari destinasi yang menawarkan kemudahan lengkap, fleksibiliti serta pengalaman yang lebih bermakna.

Menurutnya, pilihan penginapan, restoran, kafe dan ruang acara yang tersedia dalam satu lokasi memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman yang lebih menyeluruh ketika bercuti atau menghadiri acara.

Tiga Hotel, Tiga Pengalaman Berbeza Di Putrajaya

Sebagai hotel yang meraikan ulang tahun ke-10 pada Ogos ini, Le Méridien Putrajaya terus mengekalkan identitinya menerusi pengaruh Perancis yang menggabungkan elemen budaya, kulinari dan pengalaman bermakna.

Menerusi 19 ruang acara serba guna, hotel ini menjadi pilihan untuk pelbagai acara termasuk majlis perkahwinan, persidangan dan pertemuan korporat.

Akses terus ke IOI City Mall turut memberi nilai tambah kepada tetamu, membolehkan mereka menikmati penginapan, pilihan sajian dan aktiviti membeli-belah dalam satu destinasi.

Pengalaman kulinari pula diperkaya menerusi Le Mei yang mengetengahkan masakan Kantonis, Latest Recipe dengan pilihan bufet pelbagai cita rasa, serta Latitude 02 yang menawarkan suasana santai bersama kopi artisan dan pencuci mulut.

Le Méridien Putrajaya menampilkan pengalaman unik yang menggabungkan sentuhan budaya, cita rasa kulinari dan momen istimewa

Moxy Putrajaya dan Palm Garden Hotel Putrajaya menggabungkan hospitaliti kontemporari dengan sentuhan budaya Malaysia

Berbeza dengan suasana moden Le Méridien, Palm Garden Hotel Putrajaya menawarkan pengalaman yang lebih tenang dengan sentuhan warisan tempatan.

Dikelilingi kehijauan, hotel ini menggabungkan hospitaliti kontemporari bersama elemen budaya Malaysia menerusi pengalaman seperti Madam Lee Nyonya Private Dining yang mengangkat citarasa Peranakan serta Kopi Dulu yang meraikan tradisi kopi tempatan.

Sementara itu, Moxy Putrajaya membawa suasana yang lebih bertenaga menerusi konsep hospitaliti sosial yang menggalakkan interaksi dan pengalaman spontan.

Menyediakan ruang komuniti yang dinamik, Three.6.5 dan Moxy Bar yang menawarkan pemandangan Putrajaya selepas senja, hotel ini menjadi pilihan untuk pengunjung yang mencari pengalaman staycation lebih santai dan moden.

Gabungan ketiga-tiga hotel ini memperlihatkan wajah baharu Putrajaya sebagai destinasi yang mampu memenuhi pelbagai keperluan, daripada percutian keluarga, pengalaman gastronomi, majlis istimewa hinggalah acara perniagaan.

Kini, Putrajaya bukan sahaja dikenali sebagai simbol pentadbiran negara, malah semakin berkembang sebagai destinasi gaya hidup yang menawarkan pelbagai pengalaman untuk diterokai. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 

Post a Comment

0 Comments