Spider-Man: Brand New Day Raih RM30 Juta, Pecah Rekod Pembukaan Terbesar Sony Pictures Malaysia


FENOMENA Spider-Man sekali lagi membuktikan kuasa luar biasanya apabila kemunculan terbaru sang wira berjaring, Spider-Man: Brand New Day, berjaya mencipta gelombang besar di pawagam Malaysia.

Sejak tayangan bermula pada Khamis lalu, filem arahan Destin Daniel Cretton itu bukan sahaja menjadi antara filem blockbuster musim panas paling dinantikan tahun ini, malah mencatat pencapaian luar biasa di carta box office tempatan.

Dalam tempoh empat hari pembukaan, Spider-Man: Brand New Day berjaya meraih kutipan sebanyak RM30 juta, sekali gus menjadikannya antara pembukaan hujung minggu terbesar sepanjang sejarah Sony Pictures Malaysia.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan anggaran hampir satu juta rakyat Malaysia memenuhi pawagam untuk menyaksikan kembali perjalanan Peter Parker di layar lebar.

Fenomena ini membuktikan bahawa tarikan Spider-Man masih kekal kuat dalam kalangan peminat francais tersebut serta penonton filem secara umum. Tidak hairanlah tayangan ini dianggap sebagai antara acara sinematik terbesar tahun ini, dengan keterujaan terhadap watak ikonik Marvel itu dapat dirasai sejak sebelum filem ini ditayangkan lagi.

Bagi meningkatkan pengalaman penonton, Sony Pictures Malaysia turut memperkenalkan beberapa aktiviti khas bersempena tayangan filem ini, termasuk acara perhimpunan peminat Spider-Man di pawagam terpilih sempena Spider-Man Day, selain menerangi suasana bandar menerusi pertunjukan dron dan bunga api bertemakan Spider-Man.

Menurut Simon Foo, Pengarah Urusan Sony Pictures Entertainment Malaysia, sambutan luar biasa terhadap filem ini menunjukkan keterujaan peminat yang seiring dengan pihak mereka dalam meraikan kemunculan terbaharu Spider-Man.

“Kami mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk meningkatkan pengalaman penonton menerusi pelbagai inisiatif seperti acara peminat Spider-Man serta pertunjukan dron dan bunga api. Kami sangat teruja melihat sambutan semua pihak yang sama bersemangat seperti kami,” katanya.

Selain kejayaan komersial, Spider-Man: Brand New Day turut menerima sambutan positif daripada penonton dan pengkritik. Filem ini mencatatkan skor tinggi 98 peratus di Rotten Tomatoes, sekali gus meletakkannya sebagai antara filem Spider-Man dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) dengan skor tertinggi dalam kalangan penonton setakat ini.

Dengan sambutan hangat daripada penonton serta pencapaian box office yang membanggakan, Spider-Man: Brand New Day kini menjadi antara acara sinematik paling mencuri perhatian tahun ini. Filem ini kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 30 Julai lalu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


Post a Comment

0 Comments