| Datuk Razali Idris (tengah) bersama Krishnan Ramaswami (tiga dari kanan) selepas pengumuman kerjasama strategik Tourism Terengganu dan redBus bagi memperkasa pelancongan digital negeri | FOTO: redBus |
Oleh: SORAYA AFNAN
MERANCANG percutian hari ini tidak lagi bermula di kaunter pelancongan atau melalui risalah destinasi. Sebaliknya, semuanya hanya di hujung jari, daripada mencari penginapan hinggalah menempah aktiviti yang ingin dilakukan sepanjang percutian.
Perubahan itu turut membuka ruang baharu kepada pengusaha pelancongan tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada lebih ramai pelawat, bukan sahaja dari dalam negara malah ke pasaran antarabangsa.
Menyedari perubahan tersebut, redBus dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) berganding bahu melaksanakan Inisiatif Pendigitalan Pelancongan Terengganu bagi membantu lebih ramai pengusaha tempatan memanfaatkan platform digital.
Menerusi kerjasama ini, tarikan pelancongan, penyedia aktiviti, perusahaan berasaskan komuniti dan PKS tempatan akan disenaraikan dalam platform 'Things to Do' redBus.
Langkah itu membolehkan pelancong mencari, menempah dan menikmati pelbagai pengalaman menarik di Terengganu menerusi satu platform yang sama.
Lebih menarik, pengusaha yang menyertai program ini akan menerima penyertaan digital secara percuma, termasuk kemudahan penyenaraian produk, sistem e-tiket, pengurusan inventori dan sokongan teknikal.
Inisiatif itu dijangka membantu lebih banyak perniagaan tempatan mengembangkan pasaran tanpa perlu mengeluarkan kos permulaan yang tinggi.
Usaha ini dilihat bertepatan dengan peningkatan jumlah pelawat ke Terengganu yang merekodkan 2.45 juta ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang suku pertama tahun 2026.
Dengan permintaan yang terus meningkat, kehadiran digital dilihat mampu membantu pengusaha tempatan memanfaatkan peluang tersebut dengan lebih berkesan.
Buka Lebih Banyak Peluang
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Terengganu, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, usaha memperkukuh ekosistem digital menjadi antara keutamaan negeri ketika Terengganu bersiap sedia menghadapi Visit Malaysia 2026 dan Visit Terengganu 2027.
Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja membantu memperluaskan capaian produk pelancongan tempatan, malah memberi peluang kepada pengusaha komuniti dan PKS untuk bersaing dalam landskap pelancongan yang semakin digital.
Bagi menjayakan inisiatif tersebut, Tourism Terengganu dan redBus akan mengenal pasti lebih ramai pengusaha di seluruh negeri untuk dibawa ke platform digital, selain disokong menerusi kempen promosi destinasi dan aktiviti pemasaran.
Ketua Pegawai Perniagaan redBus, Krishnan Ramaswami pula berkata, tabiat pelancong kini semakin berubah apabila kebanyakan perjalanan dirancang dan ditempah secara dalam talian.
Justeru, kerjasama itu diharap dapat memudahkan pelawat mendapatkan pengalaman pelancongan tempatan sambil membuka peluang pertumbuhan baharu kepada perusahaan di Terengganu.
Secara tidak langsung, inisiatif ini dijangka memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang lebih mudah diakses, selain membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat melalui penggunaan teknologi digital. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments